View: 1899|Reply: 0
|
Membina ummah berkualiti
[Copy link]
|
|
Membina ummah berkualiti
FOTO HIASAN
Mengingati peristiwa hijrah, banyak catatan dalam kitab hadis dan sirah Nabi SAW yang memperihal kejadian dan peristiwa yang dilalui Rasulullah SAW. Kejadian dan peristiwa ini pastinya memberi seribu satu pedoman berguna kepada ummah dalam menghadapi cabaran kehidupan individu, ummah dan negara.
Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Salam RA menceritakan sebaik sahaja Rasulullah SAW tiba di Madinah, orang ramai keluar sambil berlari-lari menyambut ketibaannya sambil berteriak: Rasulullah SAW telah tiba! (tiga kali). Abdullah bin Salam turut keluar bersama di tengah-tengah orang ramai untuk melihat sendiri wajah baginda SAW. Beliau memerhati dengan penuh teliti ke wajah baginda SAW. Hatinya berbisik dengan penuh yakin bahawa adalah mustahil itu wajah seorang pendusta.
Antara ucapan awal yang disampaikan olehnya dan didengarinya ketika itu ialah: "Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makanan, hubungkan silaturahim dan dirikan solat malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur. Pasti kamu akan masuk syurga dengan selamat." (Hadis Riwayat Ibn Majah & al-Tirmizi)
Ini ucapan sulung Rasulullah SAW sebaik sahaja tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah. Kata-kata ini boleh dianggap sebagai ucapan dasar seorang pemimpin kepada rakyat bawahannya yang akan menjadi agenda utama negara.
Terdapat dua asas kehidupan beragama yang dinaungi bimbingan wahyu. Iaitu hubungan yang disebut sebagai hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan manusia sesama manusia. Hubungan pertama terlaksana dengan pengabdian hanya kepada Allah SWT melalui ibadah yang dibina di atas asas iman dan Islam.
Manakala hubungan kedua tercapai melalui interaksi manusia sesama manusia dalam hubungan sosial, kekeluargaan dan kemasyarakatan yang dibina di atas asas syariat Allah SWT. Kedua-dua asas beragama ini disampaikan oleh baginda SAW dalam ucapan sulungnya ini.
Tiga perkara pertama yang disebutkan baginda SAW ialah menyebarluaskan ucapan salam, memberikan makanan kepada golongan miskin dan menyambung hubungan silaturahim. Ucapan salam adalah lambang keperibadian dan keistimewaan orang Islam. Ia melambangkan seruan sejagat kepada keamanan dan keselamatan.
Ia ucapan kasih sayang sesama orang Islam. Rasulullah SAW bersabda: "Kamu tidak dapat masuk syurga sehinggalah kamu terlebih dahulu beriman. Dan kamu tidak beriman sehingga kamu saling mengasihi. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang jika kamu melakukannya maka kamu dapat saling mengasihi? sebarlah salam di antara kamu." (Hadis Riwayat Muslim)
Menghulurkan bantuan kepada orang miskin terutama makanan adalah besar ertinya kerana makan dan minum adalah sumber kesihatan. Tanpa makan dan minum boleh mengundang kemudaratan. Memberikan makan dan minum kepada orang miskin terutama ketika saat yang sangat diperlukannya menjadi galang ganti penyelamat daripada api neraka.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? iaitu melepaskan perhambaan atau memberi makan pada hari kelaparan, kepada anak yatim yang ada hubungan kerabat atau kepada orang miskin yang sangat fakir." (Surah al-Balad: 12-16)
Orang yang tidak menyokong memberikan bantuan makanan kepada fakir miskin digelar pendusta agama.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin." (Surah al-Maun ayat 1-3)
Menyambung silaturahim adalah perintah wajib dalam agama. Manakala memutuskannya adalah dosa besar. Sabda Rasulullah SAW: "Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim." (Hadis Riwayat Muslim)
Baginda SAW juga bersabda: "Tidaklah seseorang itu digelar penyambung silaturahim apabila dia bersifat al-Mukafi'i (orang yang menyambung silaturahim jika saudaranya menyambungnya dan akan memutuskan apabila mereka memutuskannya), akan tetapi penyambung silaturahim itu ialah seseorang yang apabila terputus silaturahim, beliau segera menyambungkannya." (Hadis Riwayat Bukhari)
Imam Nawawi berkata menyambung silaturahim bermaksud melakukan kebaikan kepada kaum kerabat sesuai dengan kemampuannya dan keperluan keadaan kaum kerabatnya. Kadang-kadang dengan menghulurkan kebaikan dalam bentuk kebendaan, tenaga atau barangkali dengan berziarah, mengucapkan salam dan sebagainya.
Dalam keadaan ramai orang yang dalam kesusahan dan kesulitan akibat pandemik Covid-19 ketika ini maka tiga perkara ini amat perlu diambil perhatian. Ia adalah sebahagian daripada sistem sokongan (support system) yang sangat penting untuk diwujudkan.
Sikap bertanya khabar dan mengambil cakna mengenai saudara-mara, kaum kerabat dan jiran tetangga serta saling bantu membantu sangat diperlukan ketika ini. Menyediakan kemudahan dan keperluan asas di pusat khidmat masyarakat, bantuan bakul makanan, mewujudkan gerobok rezeki di masjid dan surau, menubuhkan pasukan sukarelawan khidmat nasihat kaunseling dan pelbagai lagi bentuk bantuan sokongan adalah tindakan yang bijak.
Ummah Rabbani sentiasa meletakkan keyakinan iman kepada Allah SWT mengatasi segala-galanya. Kebergantungan dan tawakkal yang tinggi kepada-Nya dengan mengharapkan ihsan-Nya tidak pernah pudar. Munajat, doa dan solat pada waktu malam adalah jalan ikhtiar yang diajar Rasulullah SAW.
Ini resipi kehidupan beragama yang memandu ummah berkualiti berpandukan manhaj Rabbani ke arah hidup yang lebih bermakna dalam usaha mencari keredaan Allah SWT. Justeru, dalam suasana menyambut ketibaan tahun baharu hijrah umat Islam mesti melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk ummah, agama, bangsa dan negara. Umat Islam mesti menjadi pelopor keamanan dan keharmonian hidup pelbagai kaum, agama dan negara. Di samping menghindari perkara yang boleh menimbulkan ketakutan, kekacauan dan kesusahan. Umat Islam mesti sentiasa kehadapan dan responsif kepada keperluan individu dan masyarakat tanpa mengira kepercayaan, agama dan bangsa.
Penulis Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAHEAINS)
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
|