|
Paris: Monaco menewaskan Sparta Prague 3-1 awal pagi tadi untuk mara ke peringkat playof Liga Juara-Juara, seminggu selepas pemain kelab Ligue 1 itu, Aurelien Tchouameni berdepan cemuhan perkauman ketika aksi peringkat pertama di Republik Czech.
Semalam, Sparta dalam kenyataannya sangat kecewa dengan insiden itu ketika mereka tewas 0-2 yang menyaksikan Tchouameni menjadi sasaran ejekan perkauman selepas meledak gol pertama di ibu kota Czech.
Tchouameni, 21, sekali lagi membarisi skuad utama Monaco namun dilayangkan kad kuning pada babak pertama sebelum Gelson Martins dan Aleksandr Golovin meletakkan mereka selesa di depan memasuki sejam perlawanan.
David Moberg-Karlsson merapatkan kedudukan ketika permainan berbaki 12 minit tetapi Sofiane Diop mengesahkan kemenangan tiga minit selepas itu.
Monaco akan menentang Shakhtar Donetsk pada 17 Ogos sebelum aksi kedua minggu berikutnya. Kelab Ukraine itu menewaskan Genk 2-1 untuk kemenangan agregat 4-2.
"Kami lulus ujian pertama, ia tidak semudah itu,'' kata jurulatih Monaco, Niko Kovac.
"Mereka (Shakhtar) pasti lawan sukar. Mereka sudah biasa dengan Liga Juara-Juara dan menjadi pasukan pilihan,'' katanya.
Sementara itu, PSV Eindhoven menewaskan Mitjylland 4-0 dan mara ke aksi playof menentang juara dua kali, Benfica yang menang 3-0 ke atas Spartak Moscow.
Malmo menewaskan juara Scotland, Rangers 2-1 untuk menang agregat 4-2 manakala juara Greece, Olympiakos tewas 1-4 menerusi penentuan penalti kepada kelab Bulgaria, Ludogorets.
sumber : HMetro
|
|