|
Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto akui kecewa dengan kesilapan mudah yang dilakukan anak didiknya sehingga mengakibatkan mereka terpaksa berkongsi mata dengan KL City FC dalam aksi Liga Super, di Stadium Likas, di sini, malam kelmarin.
Bagaimanapun, beliau enggan menyalahkan mana-mana pemain, sebaliknya kesilapan itu perlu ditanggung oleh keseluruhan pasukan.
"Kita banyak kehilangan mata musim ini dan ia berpunca daripada kesilapan kita sendiri yang terpaksa dibayar dengan kita kehilangan mata.
"Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana kita perlu melihat persembahan pasukan secara keseluruhannya, kegagalan yang kita alami adalah kegagalan satu pasukan kerana sebagai satu pasukan, kita harus menang bersama, kalah bersama dan seri juga bersama," katanya.
Kurniawan berkata, walaupun sekali lagi gagal mencatat kemenangan malam tadi, beliau tetap berterima kasih dengan kerja keras para pemain.
"Keputusan ini (bertemu KL City FC) memang kita kecewa kerana sasaran kita adalah tiga mata penuh.
"Kita menguasai hampir keseluruhan permainan tetap sayang sekali kita menghadapi sedikit masalah di bahagian penyudah," katanya.
Dalam aksi malam tadi, Sabah sekadar seri 1-1 dengan KL City FC dan ia juga keputusan seri kali ketiga berturut-turut buat skuad Badak.
Pasukan pelawat mendahului tuan rumah hasil jaringan sendiri Randy Baruh Samson di babak sebelum Levy Madinda berjaya menyamakan kedudukan hasi sepakan percuma cantik di babak kedua.
Sementara itu, ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak berkata, ketumpulan di bahagian penyudah sekali lagi menjadi faktor skuad kendaliannya itu gagal mencatat kemenangan.
Katanya, perkara itu juga berlaku dalam beberapa aksi sebelum ini dan menyifatkan masalah berkenaan seakan-akan sukar diatasi.
"Masalahnya adalah kita mencipta banyak peluang tetapi kita juga terlepas banyak peluang hari ini (semalam), ini sudah berlaku dalam tiga empat perlawanan.
"Saya tidak dapat bercakap banyak mengenai ini (ketumpulan bahagian serangan), mungkin kalau saya bermain saya akan cuba jaringkan gol," katanya.
Selepas 17 perlawanan, Sabah kekal di tangga ketujuh dengan 19 mata, hasil daripada empat kemenangan, tujuh seri dan enam kekalahan.
Sementara itu, KL City FC juga kekal berada di kedudukan keenam selepas mencatat empat kemenangan, sembilan seri dan empat kekalahan.
sumber : HMetro
|
|