Guardiola sandar skuad kedua hadapi Perisai Komuniti
London: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola membayangkan mereka mungkin terpaksa memulakan saingan Perisai Komuniti dengan menggunakan barisan kurang berpengalaman. Ia disebabkan barisan pemain utama skuad Citizens itu masih diberikan tempoh rehat selepas mengharungi jadual padat musim lalu dan berdepan saingan Euro 2020. Bercakap dalam laman web kelab itu selepas menewaskan Preston, Guardiola berkata: "Saya sedar kami tidak mempunyai banyak masa. Kami perlu menghadapi perlawanan Perisai Komuniti dengan hanya beberapa pemain utama dan kami akan terus mencuba dengan menurunkan pemain pasukan kedua. "Setiap musim adalah amat mencabar, jadi perkara ini amat penting, kami memerlukan rehat, secara mental. "Sebagai pengurus dan staf belakang tabir, kami mempunyai waktu tetapi pemain kami bersaing dalam Kejohanan Eropah dan disebabkan itu mereka perlu berehat selama tiga atau empat minggu," katanya selepas aksi pramusim menewaskan Preston North End 2-0. City dijangka akan berdepan Barnsley hujung minggu ini sebelum membuat perhitungan menentang Leicester City dalam perebutan Perisai Komuniti pada 7 Ogos depan. - Agensi sumber : HMetro
|