View: 3947|Reply: 1
|
Konsep tradisional rona kayu, rotan tampak mewah
[Copy link]
|
|
GABUNGAN rona hijau gelap pada dinding dengan coklat pada perabot serlahkan konsep Barn House yang dipilih.
Konsep tradisional rona kayu, rotan tampak mewah
BERLATARKAN rona putih dan hijau gelap yang dihias indah perabot-perabot kayu coklat pada keseluruhan kediaman jelas menunjukkan penghuninya, Muhammad Idham, 32, dan Amira Raudhah, 31, menggemari suasana ala-ala desa Inggeris.
Dikenali sebagai Barn House, kediaman teres dua tingkat dengan keluasan 199 meter persegi yang terletak di Kota Warisan, Sepang ini sememangnya unik dan mempunyai cita rasa yang begitu eksklusif.
Berbeza dengan tata rias kediaman pilihan kebanyakan pemilik rumah di negara ini, pasangan suami isteri ini cuba mengetengahkan konsep
tradisional dengan mengintegrasikan elemen natural seperti kayu dan rotan.
Menurut wanita yang merupakan seorang pensyarah ini, idea tersebut diperolehnya hasil daripada carian di Pinterest dan kumpulan dekorasi yang diikutinya di Instagram.
Ditambah lagi hasil menonton rancangan hiasan rumah seperti Property Brothers dan Fixer Upper siaran HGTV yang turut banyak membantunya dalam mendapatkan idea bagi melengkapkan dekorasi kediaman mengikut tema pilihan.
Rona hijau gelap sengaja dipilih sebagai tema utama kerana wanita yang mesra dipanggil Amira ini berasakan warna tersebut nampak mewah, tetapi masih mempunyai unsur tradisional.
Begitupun bagi menyeimbangkan warna yang dipilih itu, Amira turut memasukkan elemen-elemen natural seperti kayu dan rotan.
PENGGUNAAN rona cerah membuatkan ruang tampak luas.
Biarpun hampir kesemua aksesori turut bermain dengan rona coklat, namun ia langsung tidak membuatkan keseluruhan ruang tampak mendatar.
Sebaliknya, setiap penjuru kediaman begitu menyerlah dengan sentuhan dan susun atur hasil sentuhan air tangan pasangan suami isteri ini.
Elemen besi berwarna hitam pada lampu dan kaki perabot turut diselitkan bagi menyerlahkan lagi konsep yang dipilih.
Begitupun ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini, ciri penarik utama yang paling digemari wanita ini ialah meja jati rebung yang telah diubah suai dengan mengecatnya warna hitam.
“Saya membeli meja tersebut di sebuah kedai perabot jati di Nilai 3. Saya amat gemar mengubah suai perabot atau hiasan-hiasan rumah yang saya beli secara DIY bagi disesuaikan dengan cita rasa saya.
“Disebabkan itu juga, dekorasi setiap ruang mengambil masa yang lama dan kami masih lagi dalam proses melengkapkan setiap ruang dalam kediaman ini satu per satu,” katanya yang telah setahun mendiami kediaman itu.
Melihatkan keseluruhan ruang yang sentiasa cantik tersusun kemas, menurut wanita ini, mereka sekeluarga mementingkan dekorasi kerana baginya rumah yang selasa mampu memberikan ketenangan dan seterusnya memberi kualiti hidup yang baik pada keluarga.
“Rumah yang kemas mampu membantu saya menghilangkan keletihan setelah seharian bekerja.
SUDUT dapur turut mengetengahkan konsep sama.
“Pada penghujung hari sebelum semua lampu dimalapkan, saya dan suami akan memastikan setiap ruang kekal kemas sebelum naik ke atas untuk tidur.
“Saya mempunyai keluarga yang kecil. Mungkin ini faktor yang menjadikan mudah untuk saya mengekalkan rumah yang kemas. Selain itu, saya selalu disiplinkan diri agar ia berada dalam keadaan rapi.
“Setelah semua asas ini diterapkan pada keluarga saya, sekiranya kami meninggalkan rumah dalam keadaan tidak kemas, ia secara automatik
menjadikan kami tidak tenteram,” ujarnya.
Sumber:https://www.kosmo.com.my
|
|
|
|
|
|
|
|
Saya pun minat konsep mcm ni.
Dulu rajin beli overseas house deco magazines, tapi sekadar enjoy the pictures je. |
|
|
|
|
|
|
| |
|