CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1591|Reply: 2

Sedih berpada, titipkan doa

[Copy link]
Post time 13-7-2021 09:55 AM | Show all posts |Read mode
Sedih berpada, titipkan doa


SESIAPA yang meninggal dunia kerana wabak Covid-19 tergolong syahid akhirat.


Sesiapa saja ketika berhadapan berita kematian, lebih-lebih lagi melibatkan insan tersayang dalam kalangan ahli keluarga terdekat, nescaya tidak dapat menahan perasaan sebak dan pilu. Semenjak lebih setahun lalu, ramai kehilangan ahli keluarga dan sahabat handai akibat badai pandemik Covid-19 yang melanda dunia serta negara.

Sebahagian besar tidak dapat memeluk, mengucup, dan menatap wajah insan tercinta yang meninggal dunia dari jarak dekat buat kali terakhir. Baru-baru ini tular di media sosial video menyayat hati memaparkan kesedihan keluarga yang hanya dapat melihat dan melambai dari jauh kenderaan yang membawa jenazah ahli keluarga akibat Covid-19 berlalu pergi di hadapan rumahnya sendiri.

Perasaan cinta dan kasih itulah yang membuatkan manusia bersedih dan menangis. Ia adalah fitrah yang dikurniakan oleh Allah SWT sebagai tanda kasih sayang sesama insan. Nabi Muhammad SAW ketika berhadapan detik kehilangan Ibrahim, anakanda yang tercinta, baginda turut bersedih dan menangis.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA beliau berkata ketika putera Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia baginda menangis kerana kesedihan lalu berkata Abdul Rahman bin Auf RA kepada baginda maksudnya: "Dan engkau pun menangis wahai Rasulullah? Maka sabda Rasulullah SAW: 'Wahai anak Auf.

Sungguhnya ia adalah rahmat.' Kemudian Rasulullah bersabda: 'Bahawasanya mata itu menitiskan air dan hati itu bersedih dan tiada kami sebut melainkan barang yang diredai oleh Tuhan kami sahaja. Dan sesungguhnya kami dengan perpisahan denganmu wahai Ibrahim sedang bersedih.'" Hadis Riwayat al-Bukhari

Namun kesedihan itu bukanlah sehingga meratapi dengan tindakan yang bercanggah dengan syariat seperti sabda Rasulullah bermaksud : "Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah daripada perbuatan orang kafir, mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat." Hadis Riwayat Muslim

Dalam ajaran Islam, apabila seseorang menerima berita kematian, kita dianjurkan untuk mengungkapkan doa sebagaimana hadis daripada Ummi Salamah katanya yang bermaksud, "Rasulullah SAW bersabda: 'Jika ada di antara kalian tertimpa musibah, hendaklah dia berkata: Maksudnya: Sesunggunya kami milik Allah dan sesunguhnya kami akan kembali kepada-Nya. Ya Allah aku hanya menghitung pahala musibah ini di sisi-Mu, maka berikanlah kepadaku pahala itu dan gantikanlah aku dengan sesuatu yang lebih baik daripada musibah ini." Hadis Riwayat Abu Daud

Umat Islam dianjurkan berdoa dan beristighfar sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 10 yang bermaksud: "Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: 'Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki serta dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu."

Bagi yang masih hidup, berusahalah menjalani kehidupan dengan amalan kebajikan memberikan manfaat kepada ahli keluarga yang meninggal dunia. Dalam sebuah hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim, "Daripada Aisyah bahawa Sa'd bin Ubadah pernah bertanya bermaksud: 'Hai Rasulullah. Sesungguhnya ibuku mati mengejut dan tidak sempat wasiat. Apakah baginya pahala jika aku sedekah untuknya? Jawab baginda SAW, 'Ya.'"

Selain itu, bagi ibu bapa yang sudah meninggal dunia, anak dianjurkan menghubungkan silaturahim dengan rakan taulan kedua-duanya yang masih ada. Ajaran Islam amat menganjurkan setiap umatnya untuk menyambung pertalian silaturahim dengan sesiapa sahaja bukan hanya sesama ahli keluarga. Perkara itu berdasarkan sebuah hadis daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim." Hadis Riwayat al-Bukhari

Di dalam buku Soal Jawab Fiqh Covid-19 yang diterbitkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menukilkan pandangan bahawa sesiapa yang meninggal dunia kerana wabak Covid-19 dianggap sebagai mati syahid sebagaimana difahami daripada hadis sahih. Namun, syahid yang dimaksudkan ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid pada hari akhirat kelak.

Dalam kes jenazah yang disyaki Covid-19 iaitu kategori penyakit berjangkit yang boleh memberi kesan kepada orang yang memandikan dan mengebumikannya, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020 memutuskan bahawa dibolehkan untuk dilakukan tayamum sahaja sebagai menggantikan proses memandikan. Ahli keluarga yang terhalang dan tidak dapat menunaikan solat jenazah secara berdepan, dibolehkan melaksanakan solat jenazah ghaib di tempat masing-masing.

Sejak lebih setahun lalu, pasukan pengurusan jenazah Covid-19 Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jakim menguruskan lebih 1,095 jenazah orang Islam yang dikaitkan dengan Covid-19 di Wilayah Persekutuan. Amanah itu digalas bagi menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah ke atas umat Islam dengan merujuk kepada Garis Panduan Tatacara Pengurusan Jenazah Orang Islam (Covid-19) yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jawi dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Setiap kali menguruskan jenazah, pasukan terbabit melalui detik sebak dan hiba menyaksikan kesedihan dihadapi ahli keluarga. Bahkan pasukan ini pernah menguruskan jenazah Covid-19 dalam kalangan rakan terdekat. Sebagai iktibar bagi yang masih hidup, teruskanlah memelihara diri daripada penularan wabak penyakit ini melalui segala kaedah dan ikhtiar yang disyorkan. Kirimkanlah doa kepada mereka yang pergi dulu meninggalkan kita kerana itu tuntutan paling utama.

Semoga kita dapat dipertemukan kembali dengan ahli keluarga tercinta di syurga kelak. Firman Allah dalam Surah al-Thur ayat 21 bermaksud: "Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikit pun pahala amal mereka, tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya."



Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)
Sumber:https://www.hmetro.com.my

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 13-7-2021 10:14 AM From the mobile phone | Show all posts
Sesungguhnya kita diuji dari org2 yg kita sayang. Diuji sakit, kematian..perangai yg mintak penampar. Tp Ia adalah ujian yg memerlukan kesabaran dan iman yg tinggi.
Reply

Use magic Report

Post time 13-7-2021 11:15 AM | Show all posts
Bila berlakunya musibah bangun lah dari lena hakikat segalanya di dunia ini hanya lah pinjaman.
Sayangilah ahli keluarga kerana Allah swt.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-12-2024 05:31 AM GMT+8 , Processed in 0.049308 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list