CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1313|Reply: 0

Urus sakit emosi berlandas syarak

[Copy link]
Post time 13-7-2021 09:52 AM | Show all posts |Read mode
Urus sakit emosi berlandas syarak



MANUSIA secara fitrahnya akan mengalami kemelut yang dahsyat apabila berhadapan ujian besar dalam hidup.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkahnya hingga hari kiamat.

Pandemik Covid-19 sememangnya memberi kesan yang besar kepada kita semua daripada segenap sudut. Kita sedang diuji dengan wabak yang tidak nampak jelas di mata, tetapi membawa kesan teramat dahsyat. Setiap hari, semakin ramai individu yang putus asa dengan hidup. Tidak kurang ramai juga yang mengalami stres melampau.

Manusia secara fitrahnya akan mengalami kemelut yang dahsyat apabila berhadapan ujian besar dalam hidup. Saidatina Maryam juga merasai perkara yang sama ketika melahirkan Nabi Isa AS dalam keadaan bersendirian dan tidak memiliki suami.

Menerusi Surah Maryam ayat 22 dan 23 bermaksud: "Maka Maryam pun hamil, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika dia hendak bersalin) maka sakit bersalin itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma), dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini lalu aku menjadi seorang yang dilupakan dan tidak dikenang-kenang orang!"

Kata-kata Saidatina Maryam yang dirakam dalam al-Quran menunjukkan manusia diuji secara fitrahnya akan rasa putus asa ke tahap bercita-cita untuk mati atau lenyap. Ia terjemahan sakit emosi yang tidak jelas di mata kasar.

Islam melalui kalam Allah mengiktiraf perasaan ini. Namun, perasaan ini perlu disalurkan dengan cara yang betul sebelum terjebak kepada perbuatan yang melanggar syarak seperti membunuh diri atau mencederakan diri sendiri.

Perbincangan Hukum Syarak Mengenai Perbuatan Membunuh Diri

Hukum membunuh diri disebabkan berputus asa dengan kehidupan adalah haram. Kami bawakan sebahagian hadis yang menyebut berkenaan ini. Antaranya:

1. Maksudnya: "Jabir bin Samurah meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah dihadapkan dengan jenazah seorang lelaki yang membunuh dirinya sendiri menggunakan sebatang anak panah. Baginda tidak mendirikan (solat jenazah) ke atasnya." Hadis Riwayat Muslim

2. Daripada hadis lain yang diriwayatkan oleh Jundub RA, Nabi SAW bersabda: "Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba-Ku menyegerakan mati dengan dirinya sendiri, aku mengharamkan ke atasnya syurga." Hadis Riwayat al-Bukhari

3. Menurut riwayat hadis yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan akibat dan siksaan atas mereka yang membunuh diri dengan sengaja. Baginda SAW bersabda: "Sesiapa membunuh diri dengan besi maka di neraka Jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, dia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun maka di neraka Jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung maka di neraka Jahanam nanti, dia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya." Hadis Riwayat Muslim, Sunan al-Tirmizi

Antara ciri-ciri dosa besar ialah ancaman keras terhadap pelakunya. Namun, persoalan yang lebih penting ialah bagaimanakah cara kita mengelak diri daripada terjebak dalam perbuatan ini?

Bingkisan Buat Mereka yang Sangat Tertekan Dengan Situasi Sekarang

Memupuk sabar dalam diri tidak semudah menyebutnya dengan lidah. Apabila seorang individu bercita-cita atau bercadang untuk lenyap dari muka bumi, ini menunjukkan kesabarannya teruji di tahap yang teramat tinggi. Mengadu kelemahan kepada Allah SWT adalah langkah pertama untuk meredakan keserabutan di jiwa.

Dalam Surah al-Ra'd ayat 28 bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia."

Nabi dan rasul terdahulu juga mengadu ketidakmampuan kepada Allah. Antaranya, kisah Nabi Yaakub AS yang kehilangan anaknya, Nabi Yusuf AS yang diceritakan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: (Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) daripada Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya." Surah Yusuf ayat 86

Dalam ayat yang lain, Allah SWT juga merakamkan bahawa Rasulullah SAW dan sahabat RA mengadu kepada Allah ketika dalam kesusahan.

Firman Allah bermaksud: "Adakah patut kamu menyangka kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti berlaku kepada orang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)." Surah al-Baqarah ayat 215

Apabila kita mengakui perhambaan kepada Allah, kita merendahkan diri kepada satu kuasa agung yang Maha Hebat. Ia akan memberi kekuatan dalaman kerana kita bersandar kepada Yang Maha Berkuasa.

Nabi Musa AS melakukan perkara ini sewaktu baginda berada dalam keadaan teramat penat dan keseorangan apabila diburu oleh kaumnya. Sewaktu Nabi Musa AS bersandar daripada kepenatan, kelaparan dan kesunyian itu, baginda melafazkan maksudnya: "…kemudian beliau pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan." Surah al-Qasas ayat 24

Selain itu, penting untuk kita kenal pasti terlebih dahulu punca bagi pemikiran sebegini. Setiap individu memiliki sebab yang tersendiri seperti masalah rumah tangga, kehilangan punca pendapatan, kesempitan hidup, masalah keluarga, tidak memiliki sokongan moral mencukupi, tekanan daripada insan sekeliling, atau menghidap mana-mana kecelaruan mental.

Pertolongan mesti didapatkan daripada orang lain atau pakar kerana ia juga antara cara mencari penawar ditekankan dalam Islam.

Bagi isu kali ini, pemikiran untuk lenyap dari muka bumi adalah suatu yang ekstrem. Ia perlu diserahkan kepada pakar untuk menilai dan mencadangkan rawatan yang sesuai. Kita perlu normalisasikan perbuatan merujuk kepada pakar kesihatan mental seperti psikiatris, psikologis klinikal dan kaunselor berdaftar.

Langkah pertama ialah pergi ke klinik kesihatan untuk meminta surat sokongan mendapatkan rawatan di jabatan psikiatri mana-mana hospital. Islam sendiri menekankan keperluan mencari penawar. Bagi isu sebegini, bidang psikiatri memiliki keahlian.

Tidak perlu malu atau rendah diri untuk mendapatkan rawatan di jabatan psikiatri. Isu kesihatan mental tidak kurang pentingnya dengan kesihatan fizikal. Apabila seseorang patah kaki, rawatan dan terapi akan diberikan bagi membolehkannya berjalan semula. Begitu lah juga kesakitan minda. Terapi dan rawatan diperlukan bagi membolehkan seorang individu memiliki keupayaan untuk berfungsi seperti biasa. Ia sama sekali tidak bermaksud individu itu telah menjadi gila.

Kesimpulan

Marilah renungi cerita dan ganjaran Allah buat orang yang sabar. Sesungguhnya, dunia bukanlah medan nikmat, tetapi medan ujian buat orang beriman.

Firman Allah dalam Surah al-Mulk ayat 2 bermaksud: "Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji serta menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…"

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dunia penjara orang beriman dan syurga buat orang kafir." Hadis Riwayat Muslim, Ibn Majah dan al-Tirmizi

Namun, segala pengorbanan dan sabar bukanlah sia-sia. Bahkan, ia menatijahkan sesuatu yang besar pada hari kemudian. Sebagai seorang Muslim yang mempercayai hari pembalasan, kita seharusnya meyakini tiada suatu yang kita lakukan di sisi Allah tanpa imbalan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Maka adakah patut kamu menyangka Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?" Surah al-Mu'minun ayat 115

Semoga Allah SWT kurniakan kesabaran dan jalan keluar kepada kita semua. Amin.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber:https://www.hmetro.com.my

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-12-2024 05:43 AM GMT+8 , Processed in 0.144485 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list