|
Mls nk smbg phd…klu naik gaji smpi 20k baru aku smbg… |
|
|
|
|
|
|
|
Bagaimana Untuk Berjaya Mendapat PhD Dalam Masa 3 Tahun Dan Tiada Pindaan Tesis Selepas Viva?
Bab 2: Langkah Pertama – Memilih PhD Yang Betul
Sebelum memulakan pengajian PhD anda perlu menanamkan azam terhadap perkara-perkara berikut:
2.1 Perlu merancang komitmen untuk membuat penyelidikan yang memakan masa 3 tahun. Membuat PhD memerlukan iltizam yang tinggi dan cita-cita untuk menamatkan pengajian mengikut jadual. Bagi yang bekeluarga, cabaran lebih hebat kerana perlu membahagikan masa antara pengajian dan keluarga. Lebih-lebih lagi bagi seorang ibu/isteri yang bekerja dan membuat PhD. Saya tabik dua belah tangan bagi kaum ibu/isteri yang berjaya mendapat PhD secara sepenuh/separuh masa dalam masa 3 tahun tetapi suaminya tidak siap-siap PhDnya walaupun sudah masuk tahun ke 8. Apa-apapun, kalau diberi peluang cuti belajar bergaji penuh atau separa gaji untuk membuat PhD, rebutlah peluang ini kerana membuat PhD secara sambilan amat mencabar.
Bilakah umur sesuai untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD? Tiada had umur untuk melanjutkan pengajian PhD. Muda, pertengah umur atau lanjut umur, semua peringkat boleh membuat PhD. Bagi ahli akademik, ijazah PhD sangat penting dan menjadi prasyarat untuk menjadi pensyarah kanan. Bagi yang memiliki ijazah PhD, mereka akan ditawarkan ke jawatan pensyarah kanan gred 51/52. Maka lazimnya pensyarah diminta untuk menyambung pengajian PhD di usia muda, 20an, 30an dan awal 40an.
2.2 Cuti belajar bukan cuti dari bekerja. Sekiranya, anda ditawarkan biasiswa penuh dan bergaji penuh, pasang niat anda. Apakah cuti belajar ini untuk anda “bercuti” dan tidak perlu berkerja? Lebih-lebih lagi sekiranya anda mendapat tawaran belajar di luar negara.
Pengalaman saya semasa belajar di SOAS, University of London November 2001 – Julai 2005 melihat ramai kawan-kawan yang belajar PhD di luar London. Hanya sebilangan kecil yang mahu belajar di London kerana kos sara hidup yang sangat tinggi. Saya memilih SOAS kerana saya pernah belajar di peringkat Sarjana dalam bidang undang-undang (LLM) pada tahun 1992-1993. Untuk mendapat tempat pengajian LLM di Jabatan Undang-undang di SOAS agak sukar bagi mereka yang tidak berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dengan baik. Saya bukan berkelulusan LLB tetapi Sarjana Muda Syariah UM. Cuma minat saya yang mendalam dalam bidang undang-undang semasa pengajian Syariah menyebabkan saya mendapat markah yang baik dalam semua subjek teras undang-undang. Malah terdapat dua pelajar terdahulu walaupun mempunyai kelulusan yang cemerlang semasa di Fakulti Syariah APIUM, terpaksa mengulang keseluruhan peperiksaan kerana gagal dua subjek. Saya masih ingat sebelum saya membuat keputusan untuk sambung belajar di SOAS, saya telah menerima beberapa tawaran dari universiti lain, antaranya, Fakulti Undang-undang di University of Liverpool, Fakulti Undang-undang, University of Monash, Australia, Fakulti Undang-undang, University of Melbourne, Australia dan McGill University, Canada.
Orang yang memberi kata-kata semangat untuk saya menyambung pengajian LLM di SOAS adalah Profesor Dato’ Dr Ahamad Hidayat Buang, kini di Jabatan Syariah dan Undang-undang, APIUM. Saya juga mendapat nasihat daripada ayahanda Profesor Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Ab. Majid. Saya masih ingat kata-kata beliau, “ana jamin anta akan lulus pengajian di sana”. Tetapi dua kawan senior saya yang terpaksa mengulang peperiksaan menasihatkan saya supaya tidak meneruskan hasrat saya ke SOAS. Saya mengadakan solat hajat dan berdoa mohon Allah beri panduan. Akhirnya, saya bertekad mahu ke SOAS. Selepas itu, baru saya tahu, ada seorang lagi sahabat yang sama tahun pengajian di Fakutli Syariah, Profesor Dr Amir Husin Mohd Nor, kini di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM dan junior kami setahun, Dr Fauziah Mohd Noor, dulu AIKOL, UIAM, kini di UUM juga turut mendapat tawaran pengajian LLM di SOAS. Saya difahamkan mereka juga mempunyai perasaan takut dan bimbang pada awalnya untuk sambung belajar di SOAS. Ramai kawan-kawan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan di Fakulti Syariah, UM menganggap kami menempah maut ke sana. Pendek cerita, kami bertiga sama-sama belajar dan membuat kumpulan belajar kerana takut gagal.
Oleh kerana kos sara hidup yang tinggi di London dan SOAS dianggap universiti “killer”, ramai daripada pensyarah/tutor dari fakutli pengajian Islam tidak maju belajar di sana terutama di Jabatan Undang-undang. Mereka lebih suka memohon universiti di luar London. Semasa saya belajar LLM dan PhD, ramai yang belajar di University of Birmingham, University of Manchester, University of Edinburgh. Terdapat segelintir belajar di University of St. Andrews, University of Wales, Lampeter, University of Durham dan beberapa universiti lain.
2.3 Biasiswa penuh pengajian PhD. Kelaziman biasiswa yang dianugerahkan adalah 3 tahun (biasiswa penuh + gaji) + 6 bulan (biasiswa penuh + gaji) + 6 bulan (tiada biasiswa, hanya gaji).
Maka terdapat ramai di kalangan pelajar (mereka ini adalah pensyarah/tutor) yang belajar di luar negara mengambil kesempatan bekerja sambilan untuk menampung kos sara hidup. Kebanyakan mereka tidak mengambil gaji di Malaysia dan hanya bergantung kepada elaun biasiswa yang diberi semasa cuti belajar. Manakala saya terpaksa mengambil gaji di Malaysia bagi menampung kos sara hidup yang tinggi di London. Saya tidak bekerja sambilan kerana hambatan masa pengajian tidak mengizinkan saya berbuat demikian. Lagipun saya mahu menumpukan pengajian dan bimbang hanya akan memperolehi MPhil.
Justeru metod pengajian PhD berbeza antara universiti. Ini kerana, pengajian PhD yang diikuti adalah mood penyelidikan. Bagi tahun pertama di SOAS, kami perlu menghadiri kelas 4 jam seminggu di mana kami diajar metodologi penyelidikan, pembentangan cadangan penyelidikan dan pembentangan kemajuan penulisan tesis. Sama seperti universiti lain di UK, tahun pertama pengajian adalah didaftarkan dan ditawarkan di bawah MPhil dan dinaikkan kepada tahap PhD selepas kemajuan dan mutu penyelidikan dan penulisan tesis mencapai tahap sedemikian. Pihak universiti seterusnya mengeluarkan surat menyatakan bahawa calon telah dinaikkan pengajian ke PhD. Bagi sesetengah universiti di UK, calon dianugerahkan ijazah MPhil setelah berjaya ke tahap PhD. Menjadi amalan universiti di UK, sekiranya mutu penyelidikan dan penulisan tesis calon tidak mencapai tahap PhD setelah setahun pengajian, calon dianugearahkan ijazah MPhil. Pengalaman saya di SOAS pula, kami perlu menyiapkan 2 bab penulisan tesis tidak termasuk bab pertama dan perlu dibentangkan di hadapan jawatankuasa penilai yang dihadiri oleh pelajar PhD lain untuk dibuat penilaian bahawa kajian calon mencapai tahap PhD. Lazimnya ia berlaku selepas tahun pertama pengajian.
Di Malaysia, seseorang calon PhD akan terus ditawarkan pengajian PhD. Semasa dalam tahun pertama pengajian secara sepenuh masa, calon perlu membentang cadangan penyelidikan tesis di hadapan jawatankuasa untuk penilaian pengajian. Jawatankuasa seterusnya akan membuat laporan bagi penambahbaikan penyelidikan dan membuat cadangan bagi meneruskan pengajian.
2.4 Menyiapkan diri dari segi emosi, mental dan fizikal dari awal pengajian PhD. Dalam hal ini, seseorang calon PhD mesti mempunyai kekuatan mengawal emosi diri, ketahanan mental dan fizikal. Ini kerana pengajian PhD banyak tertumpu kepada diri sendiri. Bahkan calon yang lebih mengetahui terhadap penyelidikan yang dibuat. Penyelia utama dan penyelia bersama hanya menunjuk ajar agar penyelidikan itu tidak tersasar dari landasan pengajian dari aspek metodologi, objektif, skop dan keseluruhan kajian PhD tersebut. Tahun pertama adalah tahun calon memahami penyelidikan yang dicadangkan. Menjadi kebiasaan calon masih tercari-cari, terkapai-kapai dan tidak berapa memahami penyelidikan yang sedang dibuat.
Bersambung perkara: 2.5 Elemen tuah dan 2.6 Berdoa dan bertawakkal. |
|
|
|
|
|
|
|
Saya menyambung perbincangan Bab 2: Langkah Pertama – Memilih PhD Yang Betul
2.5 Elemen Tuah
Tuah merupakan satu anugerah Allah SWT kepada hamba terpilihnya. Dalam pengajian PhD, setiap calon mempunyai cabaran dan masalah masing-masing. Ada calon yang begitu rajin. Hatta sebelum bermula pengajian PhDnya sudah membuat persiapan rapi dari segi mauduk penyelidikan yang mahu dibuatnya. Ini adalah petanda awal kejayaan. Persiapan terhadap kajian yang akan dilalui sekurang-kurangnya 3 tahun telah dibuat sebelum pendaftaran pengajian di universiti. Maksudnya, elemen persiapan diri telah dibuat.
Calon mensasarkan tempoh tamat pengajian PhD dalam 3 tahun. Tahun pertama mengikut jadual walaupun cabaran dan ketidak jelasan mauduk penyelidikan adalah perkara biasa. Di awal tahun satu, proses membaca tesis-tesis PhD di perpustakaan atau secara online terutama tesis yang cemerlang mesti dilalui oleh semua calon PhD. Ini penting terutama tesis tersebut adalah dari penyelia calon. Kita boleh belajar cara pemikiran dan gaya penyelia melalui pembacaan tesis-tesis tersebut. Pengalaman saya, semasa tahun 1, boleh dikatakan saya commute tiap-tiap hari kecuali Sabtu dan Ahad dari Ilford ke Russel Square yang memakan perjalanan selama 40 minit door-to-door dengan tube atau 1 jam lebih dari bandar Ilford ke British Museum dengan bas nombor 25 untuk ke perpustakaan SOAS dan Institute of Advanced Legal Studies (IALS) bagi menelaah buku, artikel dan tesis. Lazimnya saya akan keluar dari rumah jam 9.30 pagi kerana off-peak untuk naik tube dengan pass bulanan diskaun untuk pelajar dan balik ke rumah apabila pengumuman tutup perpustakaan jam 8.30 malam. Kebiasaannya saya sampai ke rumah jam 10.00 malam. Itu rutin saya setiap hari Isnin hingga Jumaat semasa saya tahun satu pengajian.
Saya sempat menghantar dua anak kecil saya ke sekolah rendah Christchurch yang terletak lebih kurang 1km dari rumah dan membeli barang keperluan dapur di kedai berhampiran sekolah sebelum ke SOAS .
Kalau belajar di UK, sejurus tamat tahun pertama, proses untuk penukaran tahap dari MPhil ke PhD bermula. Berjaya menukar tahap ke PhD bermaksud satu kejayaan besar. Justeru, penumpuan pengajian semasa tahun satu amat penting.
Dalam pengajian tahun ke 2, perancangan Allah lebih hebat
. Saya jatuh sakit beberapa bulan. Simptom batu karang membuatkan saya sukar berjalan dan sakit di belakang pinggang. Sebagai pelajar di UK kami anak beranak menikmati perkhidmatan kesihatan NHS secara percuma. Cuma perlu ke GP untuk sakit-sakit biasa dan dirujuk ke hospital untuk penyakit lebih serious dan yang memerlukan rawatan lebih. Saya hanya diberi pain killer dan dirujuk ke Hospital King George di Barley Lane, Ilford yang memakan masa 20 minit dengan bas. Pemeriksaan awal menunjukkan simptom batu karang tetapi ujian ultrasound perlu dibuat untuk kepastian. Untuk ujian ini, temujanji perlu dibuat dan saya terpaksa menunggu 6 bulan!
Nampaknya kena tahan sakitlah sampai 6 bulan. Berita saya sakit sampai ke Malaysia. Pelbagai petua diberikan seperti minum perahan air tembikai dan air barli. Kiriman barang sampai dalam seminggu melalui poslaju untuk usaha membuang batu karang. Bermacam-macam benda seperti gula batu, buah kembang semangkuk dan benda lain untuk usaha membantu mengeluarkan batu karang sementara menunggu 6 bulan. Walaupun sakit, saya meneruskan pengajian setakat yang mampu. Akhirnya, penyakit saya pun lega dan saya kembali kepada rutin pengajian saya.
Saya tidak lagi ke SOAS tiap-tiap hari di tahun kedua. Banyak masa saya menyiapkan kajian PhD saya di rumah. Saya hanya ke SOAS 2-3 hari dalam seminggu. Tetapi displin berkurung dalam bilik di rumah dengan selang seli menghantar dan mengambil anak dari sekolah serta membeli barang keperluan dapur di Lidl dan Sainsbury di bandar Ilford.
Oleh kerana saya sakit di tahun dua dan penyelia saya berhijrah ke Kanada di awal tahun ketiga pengajian PhD saya, saya tidak dapat menyiapkan tesis saya dalam masa 3 tahun seperti yang dirancang.
Tetapi saya bertuah. Seperti yang saya telah berkongsikan sebelum ini, Allah telah menganugerahkan penyelia baru saya yang menjalankan tugas penyeliaan yang begitu baik sehingga saya berjaya dalam viva dan memperolehi PhD tanpa pindaan.
2.6 Berdoa dan bertawakkal
Dalam pengajian termasuk PhD, berdoa dan bertawakkal setelah berusaha adalah senjata untuk mendapat kejayaan. Berdoa agar penyelia panjang umur adalah satu usaha juga. Berdoa untuk lulus viva dan memperolehi PhD sentiasa dilakukan setiap kali lepas sembahyang dan sembahyang sunat hajat. Solat tahajjud disusuli dengan solat hajat dan berdoa di awal pagi sebelum subuh perlu sentiasa diamalkan. Pengamatan saya, saya tidak berjumpa calon PhD yang tidak berdoa untuk kejayaan PhDnya.
Berdoa agar perjalanan pengajian PhD berjalan dengan lancar. Penyelian yang baik dan mengikut jadual.
Pokoknya, kita telah berusaha sedaya upaya, maka kita berdoa dan bertawakkal sahaja kepada Allah SWT.
Bersambung Bab 2, masih lagi persiapan untuk Memilih PhD Yang Betul. |
|
|
|
|
|
|
|
Bersambung Bab 2, masih lagi persiapan untuk Memilih PhD Yang Betul.
Bab 2: Memilih PhD Yang Betul
2.7 Motivasi Diri
Ini adalah antara persoalan yang perlu ditanya apabila ingin melanjutkan pengajian ke peringkat PhD. Setiap calon PhD perlu ada motivasi yang kuat dalam dirinya untuk membuat penyelidikan selama 3 tahun. Motivasi luaran sahaja tidak cukup kerana tanpa motivasi yang terbit dari dalam diri pelajar PhD, ia akan tidak membawa sebaran makna. Mungkin tidak ada kemajuan dalam pengajian PhD buat seketika atau seterusnya kerana hilang motivasi diri.
Terdapat juga faktor luaran yang “memujuk” calon untuk melibatkan program dan aktiviti yang melalaikan fokus pengajian sehingga tujuan asal membuat PhD terbengkalai. Aktiviti dan program selain untuk pengajian PhD hendaklah dihadkan, bukan ditolak langsung. Lima hari seminggu boleh diberi tumpuan penuh kepada pengajian dan hujung minggu boleh bersantai sedikit, tidak sepenuhnya.
Ambil masa bersantai sedikit di hujung minggu dengan aktiviti ke bandar dan melawat tempat-tempat menarik. Tinggal di kota London yang mempunya banyak muzium, taman dan tempat bersejarah cukup untuk merehat minda yang penat dalam mengharungi pengajian PhD. Membeli belah dan window shopping di Oxford Street dan sekitarnya sudah cukup mengalih minda dalam dunia PhD ke dunia lain. Setiap kali ke kota London, kami akan singgah di Malaysia Hall untuk menikmati juadah masakan Malaysia. Di sinilah kita berjumpa orang Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik sama ada pelajar, pekerja ataupun pelawat. Bahkan saya sering ke Malaysia Hall dari awal pengajian sehingga tamat pengajian.
Satu aktiviti mingguan menarik di kalangan pelajar Malaysia di UK ialah berkunjung ke car boot sale. Inilah tempat shoping bagi kami yang mempunyai bajet terhad. Semua barang boleh didapati di sini, dari makanan, pakaian, permainan kanak-kanak, pinggan mangkuk, perkakas dapur, alat elektronik, perabot dan bermacam-macam lagi. Ada barang yang masih baru berbalut tidak dibuka dan ada yang terpakai dengan harga yang sungguh murah. Diceritakan terdapat pelajar dari Malaysia datang seawal-awal pagi untuk mendapat barang-barang yang dihajati. Malah ada yang “berebut” barang sehingga ada yang berkecil hati. Terdapat juga mereka yang pergi dari satu car boot sale ke car boot sale yang lain dalam satu hari. Inilah tempat hiburan minda yang penat membuat PhD. Hasilnya, penuh satu rumah dengan barang-barang car boot sale. Pendek cerita, barang-barang ini di bawa balik dengan kontena ke Malaysia.
Jangan terpesona, lalai dan terikut nafsu untuk “bercuti panjang dari bekerja” semasa pengajian PhD. Amat hairan bagi saya bila mendapat tahu terdapat sebilangan kecil penerima biasiswa PhD sering berjalan ke sana sini setiap minggu seolah-oleh mereka sedang bercuti di UK. Malah sering bermain golf dan bercuti ke negara Eropah lain bukan di musim cuti di tahun pertama pengajian yang sepatutnya dihabiskan masa untuk pengajian. Pada pengamatan saya, mereka ini akhirnya, sama ada tepaksa melanjutkan masa pengajian yang begitu lama atau tidak memperolehi PhD.
Pengurusan masa sangat penting dalam menjalankan kajian dan penulisan PhD. Justeru, kalaupun kajian lapangan atau makmal telah siap tetapi tidak disudahi dengan penulisan tesis, kajian PhD itu tidak akan ke mana. Lazimnya, cabaran terbesar ialah menulis. Penulisan akademik terutamanya PhD bukannya menulis rencana biasa tetapi pengalaman menulis tulisan akademik banyak membantu dalam penulisan PhD. Justeru, mereka yang bukan berlatar belakang akademik atau pun tidak pernah membuat penyelidikan, akan menghadapi sedikit kesukaran di awalnya. Tetapi dengan panduan dan tunjuk ajar penyelia, calon dapat menyesuaikan diri dalam penulisan akademik.
Ikutilah kalender akademik dan siapkan bab mengikut jadual perancangan. Rancang masa untuk bercuti supaya minda dapat berehat seketika. Kata-kata Almarhum Prof Diraja Ungku Aziz, “Santai Bina Minda” memang tepat. Otak yang penat tidak mampu berfikir kehadapan. Ia perlu satu jangka masa rehat bagi menghilangkan kekusutan minda dalam pengajian PhD.
2.8 Tajuk Kajian PhD
Sebelum melangkah ke alam pengajian PhD, perlu dirancang tajuk kajian PhD. Bahkan untuk mendapat biasiswa penuh, kajian PhD yang dirancang mestilah pada akhirnya melahirkan satu penemuan ilmu baru serta cadangan yang bernas bagi menjawab persolan kajian dan menepati objektif kajian. Pengalaman saya di UiTM di akhir 1990an dan di awal tahun 2000, tajuk kajian saya yang bersifat semasa bagi bidang undang-undang perbandingan serta surat tawaran pengajian PhD dari SOAS membuahkan hasil temuduga biasiswa PhD walaupun saya pada masa itu dianggap lebih muda dari calon-calon yang lain di pusat saya berkhidmat. Semasa itu, saingan sungguh sengit untuk mendapat biasiswa penuh bagi pengajian PhD di luar negara.
Jangan terlalu taksub dengan tajuk PhD seolah-oleh ia tidak boleh berubah. Bincang dengan penyelia kajian yang akan dibuat. Dalam masa setahun pengajian, setelah calon memahami sebenar kajian PhDnya, tumpukan kajian tersebut. Biarlah apa orang lain kata berkenaan dengan tajuk kajian selagi mana penyelia utama dan penyelia bersama bersetuju dengan tajuk kajian tersebut yang sudah diperakukan oleh jawatankuasa penilaian dalam naik taraf MPhil ke PhD (di UK) atau defend proposal di tahun pertama pengajian.
Bersambung
2.9 Menulis Cadangan Penyelidikan Yang Baik.
2.10 Mencari Penyelia Yang Berpengalaman.
2.11 Memilih Institusi/Fakulti/Jabatan Pengajian PhD. |
|
|
|
|
|
|
|
Bersambung Bab 2, masih lagi persiapan untuk Memilih PhD Yang Betul.
Bab 2: Memilih PhD Yang Betul
2.9 Menulis Cadangan Penyelidikan Yang Baik
Memandangkan tahap dan kualiti pengajian PhD yang tinggi, calon mestilah memastikan projek kajian yang dicadangkan adalah sesuai dengan tahap PhD. Kerana itu, dalam membuat cadangan penyelidikan (research proposal), seseorang calon digalakkan membaca tesis PhD dalam bidang dan contoh cadangan penyelidikan. Ini dapat membantu calon menyiapkan cadangan penyelidikan yang baik. Dapatkan nasihat daripada pakar bidang. Setelah tajuk kajian itu dihantar ke fakullti/universiti untuk mendapatkan tempat pengajian, projek kajian PhD ini akan dibuat penilaian untuk penawaran tempat. Seperti yang disebut sebelum ini, projek kajian akan berubah dengan maklum balas oleh jawatankuasa penilaian defend proposal yang lazimnya dibuat dalam tahun pertama pengajian. Jangan malu untuk berkongsi dengan mereka yang lebih mahir dalam penyelidikan PhD untuk mendapat nasihat.
2.10 Mencari Penyelia Yang Berpengalaman
Penyelia sangat penting dalam pengajian PhD. Dalam mencari penyelia atau yang ditentukan oleh fakulti/jabatan di universiti, satu perkara pokok ialah penyelia mempunyai pemikiran yang dikongsi bersama dengan calon PhD (share the same school of thought). Terdapat beberapa kes di mana calon PhD dan penyelia mempunyai fikrah berbeza yang membawa kepada pertikaian pandangan sehingga ada yang membawa kepada perbalahan. Agak sukar bagi calon PhD untuk meneruskan pengajian sekiranya keadaan ini wujud. Maka, perlu calon PhD membuat sedikit semakan latarbelakang penyelia dengan membaca tulisan beliau.
Satu lagi kriteria penting kejayaan ialah hubungan yang baik antara penyelia dan calon PhD kerana ia akan membawa hasil yang positif. Justeru, perpatah yang mengatakan “supervisor is always right” amat tepat sekali. Ini kerana kejayaan seseorang calon PhD banyak bergantung kepada persetujuan penyelia.
Pengalaman belajar semasa di peringkat sarjana (LLM) dan PhD di SOAS, kebanyakan pensyarah undang-undang Islam adalah bukan Islam. Mereka adalah orientalist tetapi tidak bermusuhan dengan Islam. Untuk dua subjek undang-undang Islam semasa ambil LLM, ketiga-tiga pensyarah adalah penganut agama Kristian tetapi fasih berbahasa Arab. Prof Chibli Mallat seorang bangsa Arab Kristian yang selalu membawa tasbih semasa memberi kuliah. Dr Doreen Hinchcliffe pakar faraid dan Mr Ian Edge, penyelia kedua PhD saya adalah juga seorang peguam undang-undang komersial Arab, mahir berbahasa Arab. Prof Menski pula seorang pakar undang-undang India dan Pakistan. Seorang lagi pensyarah dalam undang-undang perbandingan komersial Arab, Prof. Ballantyne amat fasih berbahasa Arab. Kebanyakan pakar undang-undang Islam di Jabatan Undang-undang SOAS adalah anak murid Prof Coulson, pakar undang-undang Islam yang merupakan penyelia kepada Prof Dato’ Dr Mohammad Hashim Kamali (PhD) dan Prof Dato’ Dr Monir Yaacob (MPhil).
Satu keunikan belajar undang-undang Islam di SOAS ialah pensyarah dan penyelia meraikan pandangan calon selagi mana ia mempunyai fakta dan alasan yang kukuh. Adunan rujukan buku Arab dan Inggeris serta bahasa lain termasuk Bahasa Melayu menjadi kekuatan sesebuah tesis.
Semasa saya memohon kemasukan pengajian PhD di SOAS, saya memilih Prof Andrew Harding, pakar undang-undang perlembagaan Malaysia termasuk negara Asia Tenggara. Penyeliaan di bawah Prof Harding berjalan sehingga pengajian di awal tahun ketiga bila mana dia memaklumkan bahawa beliau akan berhijrah ke Kanada. Seperti yang saya kongsi sebelum ini, Mr Ian Edge mengambil alih tugas sehingga saya berjaya mendapat PhD. Kedua-dua penyelia ini menerima hujah, fakta dan pandangan yang saya kemukakan dalam tesis saya. Pendek kata tiada perbezaan fikrah.
Persamaan fikrah juga penting dalam penentuan pemeriksa dalaman dan luaran tesis. Saya bernasib baik kerana University of London bersetuju melantik Dr Doreen Hinchcliffe sebagai pemeriksa dalaman dan Dr Dawood El-Alami sebagai pemeriksa luar. Kedua-dua pemeriksa memberi laporan pemeriksaan yang baik untuk pra viva dan pasca viva.
Saya juga mendapati Dato’ Dr Mohd Daud Bakar (dulu UIAM kini Kumpulan Amanie) juga berjaya mendapat PhDnya dalam masa 3 tahun 1 bulan. Pembetulan hanya pada satu perkataan dalam abstrak, bagi saya adalah lulus dengan cemerlang tanpa pindaan. Begitu juga Dr Danial Yusof (kini di ISTAC-UIAM) juga berjaya memperolehi PhD dan lulus tanpa pindaan dalam masa 3 tahun 5 bulan. Dr Danial berjaya menyerahkan tesis PhDnya dalam tempoh 3 tahun tetapi ia mengambil masa 5 bulan untuk viva. Dr Ramadan Fitri (Maybank Islamic) berjaya mendapat PhD di Jabatan Near and Middle Eastern Studies, SOAS dalam tempoh 3 tahun dengan hanya minor corrections yang hanya mengambil masa 2 minggu sahaja.
Saya dapati kesemua kejayaan calon PhD without correction atau with minor corrections menjurus kepada penyelia dan pemeriksa yang berkongsi fikrah yang sama. Terdapat kes di mana tesis seorang calon PhD mengkritik hebat
pemikiran seorang sarjana agung dalam pemikiran Islam di Amerika Syarikat. Nasib tidak menyebelahi calon bila mana pemeriksa luar adalah anak murid dan penyokong kuat sarjana agung tersebut. Akhirnya, calon ini menghadapi masalah besar dengan major corrections.
2.11 Memilih Institusi/Fakulti/Jabatan Pengajian PhD.
Cadangan penyelidikan yang baik memudahkan untuk mendapat tempat pengajian yang baik malah yang berprestij tinggi. Ini kerana, lazimnya penganjur biasiswa melihat kepada ranking universiti yang dipohon dan latarbelakang pemohon dalam membuat penilaian penganugerahan biasiswa tersebut. Justeru itu, memilih tempat pengajian amat penting dalam pengajian PhD.
Menjadi kebiasaan seseorang calon PhD mencari penyelia bidang agar ia memudahkan perjalanan kajian PhD yang dibuat. Namun, yang lebih memahami dan “pakar” dalam kajian PhD itu adalah calon sendiri. Penyelia hanya memberi tunjuk ajar agar penyelidikan dan penulisan yang dibuat mengikut landasan yang betul.
Maka, di mana penyelia yang tersohor dalam bidang berkhidmat akan menjadi kriteria pilihan tempat pengajian pemohon. Maka tidak hairanlah terdapat seseorang penyelia yang mempunyai ramai calon PhD berbanding rakannya kerana kemasyhuran bidang penyelia tersebut.
Apa yang penting ialah, tempat pengajian yang kita akan belajar untuk tempoh 3-4 tahun mestilah mendapat pengiktirafan pihak berkuasa di Malaysia. Terdapat juga pihak yang tidak bertanggung jawab “membeli” dan memperolehi PhD bogus untuk mendapat gelaran “Dr”. Malah ada nama universiti tersebut tidak langsung dikenali dan modus operandinya hanyalah untuk mengaut keuntungan.
Carilah tempat pengajian yang rankingnya tinggi agar di kemudian hari kelak tidak dipertikaikan oleh sesiapa. Meskipun begitu, universiti yang rankingnya pertengahan tidak menjadi isu pertikaian dari aspek kualiti. Di UK misalnya, seseorang pemohon yang berjaya mendapat tawaran pengajian PhD dari 10 universiti teratas dan terbaik
ranking akan dipandang tinggi dan pihak penganjur biasiswa mudah menawarkan tawaran biasiswa kepada pemohon tersebut.
Universiti di UK yang rankingnya tinggi lazimnya mengenakan syarat kemasukan yang ketat. Di samping cadangan penyelidikan yang baik, latar belakang pencapaian akademik pemohon serta penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi menjadi pra syarat permohonan. Tahap penguasaan bahasa Inggeris adalah mengikut jabatan/fakulti/universiti. Lazimnya, bagi pengajian sains sosial, pra syarat pencapaian band kelayakan bahasa Inggeris berbeza mengikut bidang pengkhususan. IELTS band 7.5 dan ke atas dikenakan kepada calon yang mendaftar di jabatan/fakulti undang-undang manakala 5.5 dan ke atas bagi jabatan/fakulti pengajian Islam. Meskipun begitu, kebanyakan penaja biasiswa mensyaratkan skor band 6.5 - 7.5 sebagai syarat minima kemahiran bahasa Inggeris mengikut bidang pengajian. Malah terdapat universiti tempatan mensyaratkan skor minima 6.5 untuk pengajian dalam negara dan 7.5 bagi pengajian di luar negara.
Bersambung di Bab 3: Langkah Kedua - Menjadi Calon PhD Yang Efektif |
|
|
|
|
|
|
|
Bab 3: Langkah Kedua - Menjadi Calon PhD Yang Efektif
3.1 Kembali Sebagai Seorang Pelajar
Satu masalah besar yang dihadapi oleh calon PhD ialah menurunkan martabat dirinya sebagai pelajar. Sama ada cuti belajar dengan biasiswa penuh atau belajar secara sepenuh masa atau sambilan, seseorang calon PhD mesti menerima hakikat bahawa mereka telah kembali sebagai seorang pelajar. Tanpa mengira umur dan pangkat, kehidupan sebagai pelajar mesti dimasukkan dalam minda. Kalau masih lagi berlagak sebagai pegawai kanan semasa pengajian, tanpa menumpukan pengajian, kesudahannya ialah sama ada calon tersebut akan gagal atau mengambil tempoh pengajian yang lama atau tidak tamat pengajian atau tempoh pengajian tamat tanpa penyerahan tesis atau berkesudahan dengan major corrections atau reviva. Justeru itu, amat penting, bila mana seseorang itu mendaftar sebagai calon PhD, terimalah hakikat bahawa dirinya sudah bergelar pelajar yang jadualnya penuh diisi untuk pengajian, bukan untuk aktiviti lain. Saya sudah berkongsi cerita dalam bab sebelum ini beberapa contoh mereka yang tidak memahami maksud sebenar cuti belajar biasiswa penuh yang akhirnya memakan masa pengajian sehingga 8 tahun atau berkesudahan dengan tiada PhD apabila tempoh pengajian tamat.
Kenapa saya berkata demikian? Ini kerana pengajian PhD ialah melahirkan satu ilmu baru (contribution to a new knowledge) atau dapatan dan cadangan baru kepada kajian yang dibuat. Maka, masa 24 jam sehari seharusnya dihabiskan sebahagian besarnya untuk pengajian PhD. Sama seperti rutin kerja yang memakan masa kebiasaannya 8 jam sehari, elok diperuntukkan sekurang-kurangnya masa seperti itu atau memperuntukkan masa yang lebih mengikut kesesuaian dan kemampuan fizikal dan mental seseorang calon PhD. Menumpukan masa sepenuhnya kepada kajian PhD adalah rahsia kejayaan. Insha Allah dengan istiqamah dalam pengajian dan hubungan mesra dengan penyelia serta tiada masalah kajian, calon PhD akan tamat pengajian dengan jayanya dalam masa 3 - 4 tahun.
3.2 Baca Sebanyak Yang Mungkin
Masa yang banyak diperuntukkan dalam pengajian PhD terutama di tahun pertama mesti digunakan dengan membaca. Tinjauan literatur terhadap kajian PhD sangat penting di awal pengajian. Tidak ada had jumlah bacaan yang ditentukan tetapi jumlahnya mesti siknifikan. Terdapat beberapa kes tesis PhD yang memerlukan penambahan tinjauan literatur dalam laporan pemeriksa dalam dan luar kerana ia dianggap tidak sampai ke tahap PhD. Ini akan menyebabkan kesusahan kepada calon yang sudah menghabiskan masa 3-4 tahun pengajian untuk kembali membuat tinjuan literatur yang sepatutnya diselesaikan di awal pengajian.
Maka membaca sejumlah bahan sama ada sumber utama atau sekunder, artikel jurnal, buku, laporan dan sebagainya sangat penting. Kerana itu, berkhalwat dalam bilik atau perpustakaan sangat membantu dalam menghabiskan bahan bacaan untuk kajian PhD. Agak pelik bila seorang calon PhD masih lagi tidak tahu cara mencari buku di perpustakaan. Malah rujukan secara maya dan softcopy mudah diperolehi di zaman serba canggih hari ini. Terdapat juga kes di mana calon tidak merujuk kepada sumber rujukan pakar bidang. Sebagai contohnya, agak pelik dan menjadi “kesalahan besar” bila mana rujukan tidak dibuat kepada tulisan Almarhum Prof Ahmad Ibrahim sekiranya calon membuat kajian mengenai undang-undang Islam di Malaysia.
Jangan terlalu bergantung kepada penyelia dalam menyarankan bahan bacaan dan rujukan kajian PhD. Ini bukan tugas penyelia. Sebagai calon PhD, seseorang itu sudah matang dan pandai mencari bahan rujukan. Tetapi seandainya, rujukan itu sukar didapati atau terhad atau diklasifikasi sebagai sulit, bantuan penyelia yang mempunyai rangkaian luas mungkin dapat membantu mengatasi masalah ini. Jangan sampai sekali, bila mana penyelia mencadangkan merujuk kepada satu-satu bahan, jawapannya saya tidak tahu dan di mana saya boleh perolehi bahan rujukan tersebut. Tiada budaya “spoon feeding” dalam pengajian PhD. Semuanya perlu atas usaha sendiri dan kalau perlu sekalipun, dapatkan bantuan daripada pustakawan atau mereka dalam bidang pengajian. Pernah terjadi bila mana pelajar saya memberi maklumbalas bahawa buku rujukan yang saya minta tidak terdapat di perpustakaan, walhal saya baru sahaja merujuk buku tersebut. Bahkan saya berkata kepada pelajar saya, mahukah saya tunjuk di mana buku itu berada? Akhirnya, pelajar saya dapat memperolehi buku rujukan tersebut dengan usahanya sendiri!
3.3 Hadir Kelas Metodologi
Ada orang bertanya kepada saya, perlukah lagi menghadiri kelas metodologi di awal tahun pertama pengajian PhD? Bukankah kita sudah mengikuti kelas sedemikian semasa pengajian di peringkat sarjana muda dan sarjana? Jawapan saya mudah sahaja. WAJIB ikuti kelas tersebut walaupun pernah mengikutinya pada peringkat sebelum ini. Ini kerana, pengajian PhD ada kelainan dari segi mutu, tahap dan jangkaan (expectation). Seperti yang pernah tulis sebelum ini, sesebuah tesis yang tidak menyumbang satu ilmu baru dan tidak membuah cadangan baru tidak dianggap sebuah tesis yang sampai ke tahap PhD. Dari segi objektif, kesemuanya mesti bersifat analisa (analyse), teliti (examine/scrutinize) , perbandingan (comparison), siasat (investigate), menilai (assess) dan perkataan lain yang bersifat penilaian tinggi.
Begitu juga sampel yang akan digunakan dalam kajian PhD yang tidak sama dengan tahap sebelumnya. Bergantung kepada kajian PhD seseorang, sampel responden mestilah sesuai untuk mendapat hasil kajian yang meyakinkan. Ambil contoh kajian yang paling mudah dengan menemubual responden. Sebagai contoh, kajian mengenai fatwa keharusan melabur ASN/ASB dari tahun 1981 - 2017. Berapakah jumlah responden yang sesuai? Apakah cukup dengan hanya menemubual dua-tiga orang mufti sahaja sedangkan terdapat 14 Jabatan Mufti di Malaysia? Ini semua akan diterangkan dalam kelas metodogi.
Pengalaman saya semasa belajar PhD di jabatan undang-undang SOAS, kami wajib mengikuti kelas 4 jam seminggu di tahun pertama. Dalam kelas ini, kami perlu membentangkan cadangan penyelidikan, mengikuti kelas metodologi, perbincangan perjalanan kajian, membentang kemajuan penyelidikan dan akhirnya pembentangan upgrading MPhil ke PhD pada satu sesi khas yang dihadiri oleh semua calon PhD di hadapan jawatankuasa penilaian termasuk penyelia.
Saya mendapati kelas wajib 4 jam seminggu itu sangat membantu kami terutama di awal pengajian di mana calon masih tercari-cari dan kabur dalam kajian yang dibuat. Selepas tahun satu pengajian, barulah kami dilepas bebas dengan hanya berjumpa penyelia sebulan sekali. Meskipun begitu, terdapat masa-masa tertentu perlu berjumpa penyelia bagi berbincang mengenai kajian yang dibuat.
Bersambung
3.4 Baca Tesis Terbaik
3.5 Naik Taraf MPhil ke PhD (UK) dan
3.6 Betapa Pentingnya Tahun Pertama |
|
|
|
|
|
|
|
Bersambung Bab 3: Langkah Kedua - Menjadi Calon PhD Yang Efektif
3.4 Baca Tesis Terbaik
Saya pernah menyentuh pengalaman saya semasa tahun pertama pengajian PhD di mana saya telah menghabiskan masa yang banyak di perpustakaan SOAS dan IALS membaca tesis PhD lulusan undang-undang di bawah University of London. Saya memilih tesis yang diselia oleh penyelia saya terlebih dahulu. Ini penting untuk melihat gaya dan kehendak penyelia saya supaya apabila saya menulis tesis saya ia akan mengikut “rentak” penyelia saya. Begitu juga, saya akan memilih tesis yang terbaik
yang dikatakan tidak ada pembetulan atau pembetulan kecil (minor corrections). Ini supaya saya dapat belajar teknik dan cara mereka yang cemerlang menulis tesis. Kita boleh mengenalpasti mutu sesuatu tesis itu apabila kita membacanya.
Pembacaan tesis yang cemerlang akan membawa persiapan diri dan minda supaya menyontohi tesis tersebut. Malangnya, terdapat ramai calon PhD yang tidak pernah membaca tesis PhD orang lain. Ia satu kesilapan dan kerugian besar. Akibatnya, calon tersebut akan menghadapi masalah dalam menulis tesis. Lagi banyak membaca tesis orang lain terutama dalam bidang yang sama sangat membantu calon dalam mempelajari selok belok penulisan tesis PhD. Saya telah melihat ramai calon yang lulus dengan cemerlang kerana mereka telah menghabiskan masa di awal tahun pertama pengajian membaca sebanyak mungkin tesis di perpusatakaan. Kini, kemudahan ini boleh didapati melalui internet. Banyak universiti luar negara membenarkan pembaca mengakses talian perpustakaan mereka untuk membaca tesis yang dalam rekod simpanan di perpustakaan mereka. Cuma amalan di sesetengah universiti di Malaysia, hanya sebahagian kandungan tesis sahaja yang dibenarkan untuk dibaca melalui talian. Tetapi kalau hendak membaca keseluruhan tesis, lazimnya boleh memohon kebenaran merujuk tesis tersebut dalam perpustakaan sahaja.
Ambil contoh seperti Datuk Dr Daud Bakar yang mendapat kejayaan lulus dengan cemerlang tesis PhDnya dalam tempoh 3 tahun 1 bulan Beliau telah menghabiskan masa yang begitu banyak di awal tahun pengajian dengan menghabiskan pembacaaan tesis orang lain di perpustakaan. Malah beliau sanngup pergi ke beberapa universiti lain seperti di Oxford dan SOAS walaupun beliau belajar di University of St. Andrews di Scotland semata-mata mahu membaca tesis dan rujukan lain.
3.5 Naik Taraf MPhil ke PhD (UK)
Lazimnya pengajian PhD di UK didaftarkan sebagai MPhil bagi tahun pertama. Tetapi terdapat juga calon yang masih di tahap pengajian MPhil walaupun telah tamat tahun kedua dan memasuki tahun ketiga pengajian. Adalah menjadi kebiasaan selepas tahun pertama pengajian, penilaian akan dibuat oleh satu jawatankuasa yang terdiri daripada penyelia dan penilai bagi membuat pengesahan bahawa kajian tersebut mencapai tahap dan mutu PhD. Bagi calon yang telah tamat tahun kedua pengajian tetapi masih belum diangkat taraf ke PhD, kemungkinan syarat yang dikenakan dan tahap serta mutu kajian masih belum mencapai kehendak yang dikehendaki. Seperti yang saya telah berkongsi sebelum ini, naik taraf (upgrading) dari MPhil ke PhD di Jabatan Undang-undang SOAS mensyaratkan penyelesaian dua bab penting (tidak termasuk bab pendahuluan) dan pembentangan naik taraf dari MPhil ke PhD dibuat di hadapan calon PhD lain dan dinilai oleh jawatankuasa penilai yang terdiri daripada dua penilai dan penyelia. Pembentangan mestilah disusuli dengan soal jawab dan komen oleh jawatankuasa dan calon PhD yang hadir. Ia seoalah-olah seperti berada dalam proses viva.
Bagi yang berjaya, pengajian mereka akan dinaiktaraf ke PhD dan dikuatkuasakan kebelakangan (backdated) dari tarikh pendaftaran pengajian. Sekiranya, jawatankuasa mendapati bahawa mutu dan tahap kajian tidak sampai ke peringkat PhD, calon tersebut hanya akan dianugerah dengan ijazah MPhil. Ini berlaku kepada beberapa calon dari Malaysia. Kepulangan ke tanahair dengan hanya membawa balik ijazah MPhil dianggap gagal memperolehi PhD dan ada implikasi dari segi perjanjian sekiranya calon tersebut menerima pembiayaan biasiswa.
Justeru, semasa di peringkat MPhil, calon hendaklah belajar sendiri bahawa kajian yang dibuat adalah pada tahap dan mutu peringkat PhD. Penyelia lebih maklum akan perkara ini. Kerana itu, panduan dan tunjuk ajar dari penyelia diikuti dengan kebolehan dan kerajinan calon amat penting dalam proses naik taraf MPhil ke PhD. Peranan penyelia hanya membantu calon tetapi calon sendiri yang perlu berusaha membuat kajian yang memenuhi tahap dan mutu PhD. Membaca tesis calon lain yang telah berjaya dengan cemerlang sangat membantu seseorang calon PhD untuk berjaya melangkah ke satu tahap dari MPhil ke PhD dan seterusnya berjaya memperolehi PhD dengan cemerlang.
3.6 Betapa Pentingnya Tahun Pertama
Tahun pertama pengajian PhD adalah tahun getir dan sangat penting. Saya telah bincang sedikit berkenaan tip ini sebelum ini (bab 2.5 & 2.7). Pengalaman saya dan mereka yang telah berjaya memperolehi PhD menunjukkan bahawa tahun pertama pengajian PhD bukanlah tahun “berbulan madu” (honeymoon) tetapi tahun yang memerlukan kerja keras terutama sekiranya calon tidak berapa mahir dalam bidang kajian. Tahun pertama adalah tahun penentuan sama ada seseorang itu berjaya untuk meneruskan pengajiannya atau tidak. Sekiranya bab pendahuluan tesis selesai pada tahun pertama dan penulisan tesis memasuki bab seterusnya, jangkaan untuk menamatkan pengajian mengikut jadual adalah sangat tinggi dengan syarat tiada permasalah timbul semasa tahun dua dan tiga pengajian sama ada berpunca dari calon sendiri atau penyelia.
Terdapat juga calon yang tidak serasi dengan penyelia. Maka sebelum memasuki tahun kedua pengajian, calon dinasihatkan untuk memohon penukaran penyelia. Penukaran penyelia di tahun akhir pengajian, akan melambatkan lagi tempoh tamat pengajian kerana, setiap penyelia ada “style” masing-masing dan penstrukturan semula rangka tesis serta penambahan sana sini oleh penyelia baru akan memberi kesan besar kepada tesis tersebut.
3.7 Pengurusan Masa
Untuk menentukan pengajian PhD mengikut jadual antara 3-4 tahun, calon mestilah menguruskan masa dengan baik. Saya telah membincangkan tip ini sedikit sebelum ini (Bab 2.1 & 2.2). Seeloknya menyediakan jadual pengajian sebelum mendaftarkan diri sebagai calon PhD. Bahkan bahan-bahan literatur dan perbincangan dengan pakar bidang boleh dibuat terlebih dahulu. Ini bagi membantu calon membuat persiapan rapi dari segi rujukan dan bahan terlebih awal. Sekiranya kajian adalah berkaitan dengan negara Malaysia dan tawaran berlajar PhD di luar negara seperti di UK, Australia dan USA, persiapan awal ini sangat penting dan dapat mengurangkan masalah semasa pengajian.
Pengalaman saya dalam membuat kajian PhD mengenai undang-undang perbandingan antara Islam, Malaysia dan antarabangsa, persiapan bahan untuk Malaysia dibuat terlebih awal kerana kemungkinan bahan rujukan yang dikehendaki tidak ada di UK. Malah saya telah menemubual beberapa pakar bidang sama ada dari kalangan akademik dan pengamal undang-undang dalam mauduk kajian yang akan dibuat.
Meskipun begitu, memandangkan kajian saya meliputi semua negeri di Malaysia, saya merancang balik ke Malaysia di tahun dua pengajian. Saya mengambil masa hampir tiga bulan untuk membuat kajian lapangan di Malaysia dengan perbelanjaan sendiri. Pihak penganjur biasiswa dan SOAS tidak mempunyai peruntukan bagi maksud ini. Saya masih ingat menjelajah seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk menemubual responden dan mendapat undang-undang terkini mengenai kajian saya.
Kita merancang Allah yang menentukan. Itu adalah takdir Allah ke atas kita. Perancangan rapi dalam pengajian PhD kadang-kadang diuji dengan pelbagai cabaran. Ada calon yang jatuh sakit (seperti pengalaman saya dalam Bab 2.5), penyelia jatuh sakit atau ada kes yang jarang berlaku bila mana penyelia meninggal dunia, penyelia berpindah tempat tugas (seperti pengalaman saya dalam Bab 1), isteri atau salah satu ahli keluarga meninggal dunia, penyelia yang berbeza fikrah sehingga membawa kepada pertukaran penyelia atau tempat pengajian dan halangan lain.
Meskipun cabaran dan halangan yang kita hadapi dalam tempoh pengajian PhD yang sudah tentu tidak termasuk dalam perancangan jadual pengajian kita, kita mestilah pasrah menerima ujian daripada Allah. Justeru, perlu dirancang jadual baru bagi menamatkan pengajian dengan tempoh yang baru. Kemungkinan ini akan mengambil masa yang lebih dari penjadualan asal 3-4 tahun. Tetapi kita berpuas hati sebab kita telah menguruskan masa yang terbaik
dalam jadual pengajian PhD.
3.8 Sokongan Keluarga dan Kawan
“Buat apa engkau nak pi buat PhD (permanent head damage)”? “Engkau belum dapat jawatan tetap, hanya sekadar tutor kontrak”. Ini antara persoalan yang kadang-kadang dikemukakan oleh kawan, sahabat dan keluaraga. Bahkan persoalan yang sama pernah ditanya kepada saya semasa saya mengambil keputusan menerima tawaran Skim Tenaga Pengajar Muda - STPM (Young Lecturer Scheme) yang ditawarakan kepada saya pada tahun 1992 di ITM (kini UiTM). Saya masih ingat, saya hadir temuduga pensyarah tetap sebab saya masih dalam skim kontrak sejak masuk kerja di Pusat Pendidikan Persediaan (PPP) (kini INTEC) pada 14 Julai 1990. Apabila menerima surat jawatan temuduga pensyarah tetap, lain pula jawapannya. Bukannya ditawarkan pensyarah tetap tetapi STPM yang menawarkan biasiswa SLAB untuk menyambung pengajian peringkat sarjana. Saya sudah mendapat pelbagai tempat pengajian di UK, Kanada dan Australia. Saya menerima tawaran tersebut tetapi terdapat rakan sekerja saya yang menasihati saya supaya menolak tawaran tersebut dan menunggu temuduga lain untuk jawatan tetap. Saya tidak menyesal dengan keputusan yang saya buat sebab pengajian peringkat sarjana (LLM) di SOAS hanya memakan masa setahun. Sejurus saya balik pada penghujung bulan Oktober 1993, saya dijemput untuk satu temuduga pensyarah sementara dengan kelayakan semua elaun seperti jawatan tetap pada awal November 1993 dan berjaya (dikatakan hanya formality). Dalam tempoh beberapa bulan perlantikan sebagai pensyarah tetap dikuatkuasakan kebelakangan (backdated) pada 1 November 1993. Pada masa itu, syarat untuk menjadi pensyarah ITM cukup sekadar ijazah sarjana muda.
Melangkah ke alam pengajian PhD yang dianggap satu “pertempuran” untuk mendalami kajian yang lebih tinggi, maka sudah tentulah cabarannya lebih kuat dan hebat
. Sokongan dan doa daripada keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja sangat penting. Menjadi budaya di Malaysia suatu masa dahulu, apabila anak berjaya melanjutkan pengajian di luar negara dengan pembiayaan biasiswa walaupun di peringkat sarjana muda, kenduri kesyukuran dengan jemputan satu kampung menjadi amalan. Bahkan keluarga dan sahabat handai akan mengucapkan selamat jalan di balai berlepas Lapangan Antarabangsa Subang (KLIA, mulai 1998).
Sokongan keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja memang jelals nampak bila mana giliran saya berlepas ke London pada tahun 1992 (LLM - bujang) dan 2001 (PhD - berkahwin dengan 2 anak). Mereka sanggup datang ke KLIA untuk mengucapkan selamat jalan dan memberi sokongan moral kepada saya, isteri dan anak-anak. Kenangan ini masih segar dalam ingatan sehingga hari ini dan amat dihargai sehingga akhir hayat.
Dengan sokongan, harapan dan doa merekalah, saya berjaya mendapat kedua-dua ijazah, LLM dan PhD dalam undang-undang di SOAS, University of London.
Bersambung
3.9 Teruskan Menulis Walaupun Satu Halaman,
3.10 Tulis Sahaja, Jangan Hirau Silap Nahu dsb,
3.11 Santai Bina Minda,
3.12 Bentang Kertas Kerja di Seminar Selepas Naik Taraf MPhil-PhD, dan
3.13 Tulis Artikel Untuk Jurnal Berindeks |
|
|
|
|
|
|
|
Panjang nya tips penulis. Tak mampu nk baca. 6thn buat PhD. Lambat tapi yg pntg aku grad. Alhamdulillah |
|
|
|
|
|
|
|
kenapa sampai 6 tahun?
gov sponsor 3 tahun ja
tahun 4 dan seterusnya byr sendiri kalau tak sempat habis
|
|
|
|
|
|
|
|
fair_iza replied at 28-7-2021 08:02 PM
Panjang nya tips penulis. Tak mampu nk baca. 6thn buat PhD. Lambat tapi yg pntg aku grad. Alhamdulil ...
Tahniah! You use your own pace. No need to compare. Congrats Dr.! |
|
|
|
|
|
|
|
Edited by che-cikL at 28-7-2021 09:49 PM
R2D2 replied at 28-7-2021 12:40 AM
Bersambung Bab 3: Langkah Kedua - Menjadi Calon PhD Yang Efektif
3.4 Baca Tesis Terbaik
Tq tq tq for this thread. Alhamdulillah, terjumpa dan terbaca thread ni tepat pada masanya, selepas berminggu hanyut dan sibuk bergosip & berisu semasa. Duk rasa bersalah kat diri sendiri, tapi berat sangat nak buat kerja. Rasa sebahagian doa diperkenankan utk panaskan enjin ni.
Di mana iols blh follow penulisan ini lebih lanjut?
edited:
OK dah jumpa... copy paste kat google and taraaa ke Harakah Daily hihihi... Tapi Rencana ni keluar setiap hari apa ya? Nampak tiga2 semua hari lain2.
ok, edit lagi sekali... dah jumpa original post kat FB (https://www.facebook.com/577910208/posts/10159566949575209/)
|
|
|
|
|
|
|
|
R2D2 replied at 28-7-2021 08:06 PM
kenapa sampai 6 tahun?
gov sponsor 3 tahun ja
tahun 4 dan seterusnya byr sendiri kalau tak sempa ...
Disesetengah negara PhD 4 thn. Lepas 4 thn, masuk kerja semula. Thn akhir arwah ayah sakit, so tertangguh sekejap. Ambil research leave 3 bulan hbskn pengajian dgn duit sendiri. Perjalanan jauh, tp aku rs Allah byk dah mudah kan urusan PhD aku. |
|
|
|
|
|
|
|
cari juga info2 mereka yg mampu siapkan Master bawah setahun
masih tak jumpa info yg kongsi tips kejayaan mereka |
|
|
|
|
|
|
| |
|