11 ditahan terlibat sabung ayam di kebun kelapa sawit ketika PKP
[backcolor=rgba(0, 0, 0, 0.05)]Kegiatan sabung ayam di kawasan kebun kelapa sawit Batu 15 Jalan KJD, dekat sini, berjaya ditumpaskan oleh pihak polis dari IPD Julau.
[backcolor=rgba(0, 0, 0, 0.05)]
JULAU: Polis menahan 11 individu termasuk seorang wanita yang terlibat dalam kegiatan sabung ayam di kawasan kebun kelapa sawit Batu 15 Jalan KJD, dekat sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Julau, DSP Andam Sulin berkata pasukan serbuan yang bertindak atas maklumat awam dan hasil risikan menahan suspek-suspek berusia antara 30 hingga 70 tahun.
"Hasil serbuan yang telah dilakukan oleh pasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Julau sekitar jam 3 petang berjaya menahan seramai 11 orang yang dipercayai terlibat dengan aktiviti sabung ayam di lokasi berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain itu, kata Andam, polis turut merampas satu unit alat penimbang, satu keratan kotak bertulis angka-angka, sebilah taji ayam, lima ekor ayam sabung hidup dan lima ekor ayam sabung yang sudah mati.
"Berikutan itu, kesemua individu terbabit ditahan dan dibawa ke IPD Julau untuk diambil keterangan lanjut.
"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Penganiyaan Binatang 1963. "Selain itu, kesemua individu terbabit akan dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) (No 3) 2021 kerana melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," kata Andam lagi.
Utusan borneo 2021-06-27T19:19:38+08:00
|