Ketua Menteri diminta bantu tangguhkan bayaran cagaran bil SESB
TAWAU : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor diminta campur tangan bagi menangguhkan kenaikan tahunan bagi bayaran cagaran deposit dalam pembayaran bil elektrik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin berkata bayaran cagaran yang dibuat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dilihat tidak relevan dan membebankan rakyat. “Ketua Menteri Sabah seharusnya mencontohi kerajaan sebelum ini yang menyediakan inisiatif pengecualian dan potongan bayaran bil elektrik sebagai usaha meringankan kos sara hidup rakyat. “Semua orang termasuklah pemilik perniagaan terjejas teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menyebabkan pendapatan rakyat turut terjejas,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam. Menurutnya, sangat tidak wajar SESB ketika ini meminta pengguna supaya membayar cagaran deposit yang lebih tinggi.
“Sepanjang PKP dilaksanakan, sudah tentu orang ramai terpaksa duduk di rumah dan menyebabkan peningkatan kadar bil elektrik semasa,” katanya Katanya, meskipun kenaikan bayaran cagaran deposit tersebut adalah prosedur operasi standard (SOP) SESB dan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. “Kita faham pengiraan bayaran cagaran deposit tersebut adalah dikira berdasarkan purata penggunaan elektrik semasa pengguna. “Namun, ianya masih boleh dilaksanakan dengan berperikemanusiaan dan mengambil kira keadaan ekonomi rakyat pada waktu sukar ini, malah boleh ditangguhkan sehingga ekonomi pulih,” katanya. Justin berkata, kerajaan sebelum ini pernah melaksanakan Pakej Bantuan COVID-19 yang meliputi pengecualian pembayaran bil elektrik. “Selain itu, diberikan diskaun sebanyak 30 peratus selama tempoh tiga bulan bagi meringankan beban rakyat di negeri ini. “Saya berharap agar Ketua Menteri Sabah prihatin berhubung isu ini dan mengambil langkah sewajarnya bagi menangguhkan kenaikan bayaran cagaran deposit dalam pembayaran bil elektrik,” katanya.
utusan borneo 2021-06-16T15:06:50+08:00
|