DR CHRISTINA RUNDI
KOTA KINABALU : Negeri Sabah berada di kedudukan 4 tertinggi mencatatkan kes demam Denggi selepas negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan negeri Johor.
Setakat 10 Jun 2021, penyakit demam Denggi di negeri Sabah adalah sebanyak 759 kes, dengan bilangan wabak aktif sebanyak 11 dan kumulatif bilangan wabak sebanyak 58.
Setakat ini, terdapat 2 kes kematian di Negeri Sabah yang melibatkan 2 daerah, iaitu daerah Semporna dan daerah Tawau.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Christina Rundi bagaimanapun berkata, kes demam Denggi di negeri Sabah menunjukkan tren penurunan secara berterusan sejak tahun 2020.
Katanya, penurunan pada tahun ini adalah sebanyak 68% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Penurunan ini sememangnya kita diraikan, namun kita tidak boleh leka.
Beliau berkata, penurunan ini disebabkan oleh banyak faktor dan keadaan semasa pandemik COVID-19 seperti kawalan pegerakan, keberadaan penghuni di dalam rumah dan kurangnya sampah sarap akibat aktiviti manusia dan sebagainya.
"Namun apabila kehidupan manusia kembali seperti dahulu, kita boleh menjangka bilangan kes demam Denggi akan naik semula.
"Justeru, kita perlu melaksanakan aktiviti-aktiviti pencegahan yang mampan dan secara berterusan untuk memastikan tren penurunan ini berlanjutan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Denggi ASEAN 2021 yang disambut semalam.
utusan borneo 2021-06-16T15:58:53+08:00
|