JAMBATAN KEDUA MUKAH
TERBAIK… Reaksi Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama tetamu lain pada gimik pecah Tanah Projek Anjung Selera di Balingian,semalam.
BALINGIAN: Daerah Mukah bakal mempunyai jambatan kedua dalam masa terdekat ini, malah projek mega berkenaan dilihat akan mampu mewujudkan jalan alternatif kepada pengguna dari Mukah yang menghala ke arah Balingian dan bahagian berdekatan. Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang meluluskannya berkata, jambatan tersebut akan menelan kos sebanyak RM30 juta. Beliau berkata demikian ketika merasmikam Majlis Pecah Tanah Projek Anjung Selera Balingian yang diadakan di Dewan Masyarakat Balingian, semalam Jelas beliau, tapak cadangan jambatan kedua yang menyeberangi Batang Mukah di Penakub Ulu itu berlokasi lebih di kawasan ulu dari Jambatan Batang Mukah yang juga dikenali sebagai ‘Jambatan Kuning’. “Namun, kita akan membina jalan raya dahulu iaitu Jalan Tellian Bypass. Dan jalan ini juga akan menelan kos RM30 juta. “Dengan siapnya jalan ini dan jambatan kelak, Mukah juga mempunyai jalan bulatan menghubungi kawasan-kawasan rumah panjang di kawasan Balingian termasuk dari Mukah serta dari daerah lain nanti,” katanya. Justeru, tegas Abang Johari, projek Jambatan dan Jalan Bypass yang akan menelan kos RM60 juta berkenaan mampu merancakkan lagi pembangunan di kawasan Balingian dan Mukah serta daerah berdekatan. “Bahagian Mukah ini membangun dengan cepat dan saya melihat jambatan adalah kunci untuk pembangunan terutamanya di luar bandar. Misalnya di Bahagian Mukah kita sudah ada Jambatan Kuning, Jambatan Igan, termasuk Jambatan Lassa, Jambatan Paloh yang semuanya menelan kos yang cukup tinggi iaitu ratusan juta ringgit. “Dan kita bernasib baik ada rezeki tambahan seperti cukai jualan minyak dan gas dari Petronas, Shell dan lain, membolehkan kita membuat projek infrastruktur yang besar seperti ini. “Jumlah ini adalah kesuluruhan RM60 juta iaitu Jambatan Kedua Mukah dan Jalan Bypass Tellian. Dan ini semua adalah untuk kesejahteraan rakyat dan membangun Sarawak,” ujarnya. Kata Abang Johari, beliau meneruskan pembangunan oleh pemimpin yang terdahulu termasuk Tun Pehin Sri Taib Mahmud yang telah membuka kawasan ini dan bersyukur dengan pendapatan tambahan telah memungkinkan beliau melaksanakan projek-projek mega infrastruktur asas khususnya bekalan air dan elektrik untuk penduduk luar bandar yang kini giat dilaksanakan. Beliau juga menyatakan panjang lebar tentang perancangan pembangunan di seluruh Sarawak di dalam memacu pembangunan mampan untuk menjadikan Sarawak sebagai yang termaju di Malaysia pada 2030. Sejurus tiba, beliau yang ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi diberi penerangan atau taklimat mengenai beberapa projek yang akan dan sedang dilaksanakan di kawasan DUN Balingian, selain daripada Jambatan Kedua Mukah dan Jalan ByPass Tellian yang dicadangkan itu. Projek-projek tersebut ialah Pembinaan Waterfront atau Pemuliharaan Tebing Batang Balingian (RM5.5 juta), Pejabat Pentadbiran Daerah Kecil Balingian (RM5 juta), Pejabat Pentadbiran MDDM Cawangan Balingian (RM5 juta), Anjung Selera Balingian (RM5 juta), Projek naik taraf Mini Stadium Balingian (RM9 juta), Medan Selera Matadeng (RM5 juta), Bina baru Masjid Kuala Balingian dan cadangan Rest House Balingian @ Boutique Hotel. Pada majlis tersebut beliau juga meluluskan projek membangunkan Inap Desa di Balingian dengan kos RM10 juta dan pusat sehenti RM5 juta. Selain itu, beliau turut menekan tentang pentingnya mengekalkan semangat perpaduan yang kini sedang dinikmati oleh penduduk Sarawak dan dalam masa yang sama mengajak penduduk untuk sama di dalam usaha memerangi pandemik Covid-19. Beliau percaya bahawa program pemvaksinan boleh membantu ke arah itu terutama sekali dengan menambahkan daya tahanan diri terhadap virus Covid-19. Abang Johari turut meluangkan masa melakukan gimik pecah tanah projek Anjung Selera Balingian yang berada berdekatan dengan bulatan mini menuju ke Pekan Balingian berdekatan dengan Balai Polis Daerah Kecil Balingian. Ia disusuli dengan melawat beberapa projek yang sedang dilaksanakan di Daerah Kecil tersebut, sebelum menuju ke Taman Selera Metading yang berlokasi kira-kira 40 kilometer dari Pekan Balingian. Turut hadir, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda di Jabatan Ketua Meneri (Undang-Undang Adat Dan Bumipuera), Datuk Sikie Tayai, ADUN Balingian, Abdul Yakub, selaku tuan rumah, ADUN Tellian Yussibnosh Balo, ADUN Jemoreng Datuk Dr. Juanda Jaya, Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir. Oleh HENRY B SIYU
kredit : utusansarawak 12/04/2021
|