|
Guna ibu tumpang capai impian dapat 105 orang anak
FMT Reporters -
February 18, 2021 12:00 PM
Seorang wanita Russia mendedahkan keinginannya dan suami yang juga jutawan untuk memiliki sehingga 105 anak selepas mendapat 10 anak dilahirkan ibu tumpang dalam tempoh 10 bulan.
Christina Ozturk, 23, yang berasal dari Moscow, menemui suaminya yang kaya-raya, pemilik hotel Galip Ozturk, 56, ketika bercuti di Batumi, Georgia.
Christina, yang melahirkan anak sulungnya Vika pada usia 17 tahun berkata, dia dan suaminya memilih menggunakan ibu tumpang kerana mahukan seramai anak yang mungkin dalam tempoh singkat.
Anak pertama mereka, Mustafa dilahirkan pada 10 Mac 2020 manakala yang paling bongsu, Olivia pada 16 Januari lalu.
Ibu beranak 11 itu berkata, dia dan suami sepakat mahukan lebih 100 orang anak.
“Saya tidak tahu berapa ramai keseluruhannya anak kami, tetapi sudah pasti bukan sekadar 10 orang,” katanya dipetik Daily Mail.
Menurut news.com.au, jika mahu memenuhi hasrat itu sebelum berusia 30 tahun, Christina perlu mempunyai 12 anak setiap tahun selama tujuh tahun berturut-turut.
Laporan itu turut menyebut, undang-undang di Batumi membolehkan penggunaan ibu tumpang untuk melahirkan anak dengan kos setiap kelahiran dianggarkan 8,000 euro (RM39,200).
Sementara itu, Christina berkata, dia amat mementingkan rutin serta disiplin dengan 10 bayinya tidur dari jam 8 malam sehingga 6 pagi setiap hari manakala sepasukan pengasuh menyimpan diari lengkap mengenai setiap anak termasuk mengenai tabiat dan perkembangan mereka.
Christina yang berasal dari Russia mengakui dirinya ibu tunggal ketika pertama kali menemui suaminya.
Kedua-duanya mengakui hubungan mereka cinta pandangan pertama malah Galip menyifatkannya seperti berlian.
“Christina isteri idaman saya, seperti berlian tulen yang tak dicanai. Begitulah hatinya yang begitu tulus dan baik,” katanya. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|