Kumpulan kongsi gelap 'Geng 36 Selayang' akhirnya tumpas susulan tertangkapnya ketua geng berkenaan yang dikenali sebagai Malik.
Geng yang dipercayai aktif sejak 2017 itu bukan saja 'menjaga' kawasan malah disyaki terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar daerah itu termasuk kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Gombak, Assisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kegiatan Malik berusia 30-an itu dibongkar hasil penahanan 16 ahli kumpulannya termasuk dua adik-beradik Malik menerusi beberapa siri serbuan sebelum ini.
Menurutnya, sepasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya menahan lelaki terbabit di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya, pada 31 Oktober lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut menemui sepucuk pistol revolver .38 yang disyaki digunakan dalam beberapa kes jenayah yang didalanginya selama ini termasuk satu kes bunuh di Batu Caves pada Julai tahun lalu.
Beliau berkata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada isnin.