OLEH ALIFF FIKRI AZIZ
KUALA LUMPUR, 13 Dis — Siapa tidak tahu jenama Nike, sebuah syarikat multinasional Amerika Syarikat yang fokus dalam reka bentuk, pembuatan dan pemasaran produk sukan.
Berpangkalan di Oregon, mereka menduduki tempat ke-89 dalam senarai 2018 Fortune 500 syarikat terbesar negara berkenaan.
Namun siapa sangka, jenama yang ditubuh pada 25 Januari 1964 baru-baru ini mengeluarkan pakaian renang muslimah sebagai produk terbaru mereka.
Lebih menariki, salah seorang model pakaian yang dinamakan Nike Pro Hijab adalah warga Malaysia, Arinna Erin Wira, yang juga graduan sebuah universiti di United Kingdom (UK).
Perkara itu terdedah apabila seorang warga maya memaklumkannya di Twitter kelmarin. Hantaran Att Yusof sehingga kini memperoleh 2,600 perkongsian,
“Model ini tuan-tuan dan puan-puan, adalah rakyat Malaysia, Arinna Erin. Saya bangga dengan beliau kerana menjadi salah seorang model pakaian renang sederhana pertama Nike,” tulisnya.
Att mendedahkan perkara itu sambil berkongsi laporan Al Jazeera Plus (AJ+) yang melaporkan bahawa Nike melancarkan pakaian renang baru lengkap dengan tudung, topi tunic dan ‘bodysuit’ ringan.
Semakan di laman web syarikat besar itu mendapati, produk itu dilancarkan pada 10 Disember lalu, dan akan mula dijual pada 1 Februari tahun depan di
nike.com atau beberapa kedai mereka yang terpilih.
Arinna di Instagramnya turut memuat naik tiga keping foto menggayakan pakaian berkenaan.
“Menjadi wanita bertudung tidak pernah menghalang saya daripada melakukan perkara yang saya suka, itu adalah sebahagian dari diri saya yang paling saya hargai,” kata bekas pelajar Brunel University London.