.
Koperal Nilam Syafina Abdul Sukor bagaikan tidak percaya apabila menerima seekor anak kucing kurniaan DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.
.
Beliau yang sudah 10 tahun berkhidmat bersama Keluarga DiRaja Johor, kehilangan Lion (anak kucing) peliharaannya akibat demam panas pada bulan lalu.
.
Memahami kesedihan anggota pengiring Baginda itu, Tuanku Permaisuri Johor berkenan mengurniakan seekor anak kucing kepada Koperal Nilam pada petang tadi (3 Oktober) di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
.
Permaisuri Johor bertitah, pemberian anak kucing itu bukan sahaja dapat mengubati kesedihan Koperal Nilam, malah sebagai penghargaan kepada anggota polis itu yang berkhidmat lebih 10 tahun bersama Keluarga DiRaja Johor.
.
"Dia begitu sedih atas kematian kucingnya itu, jadi saya memberi anak kucing ini sebagai penghargaan atas jasanya mengiringi dan menjaga Tunku Tun Aminah dan saya sendiri sepanjang 10 tahun yang lalu," titah Permaisuri Johor kepada Royal Press Office hari ini (3 Oktober).
.
Koperal Nilam amat tersentuh dengan pengurniaan daripada Tuanku Permaisuri.
.
"Lion (kucing) pergi pada hari sebelum saya mengiringi Tuanku Permaisuri berangkat ke London bulan lalu akibat demam panas.
.
"Tuanku begitu baik kepada kami semua dan patik sentiasa mendoakan yang terbaik buat Tuanku sekeluarga. Junjung Kasih Tuanku" katanya.