Bapa Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin mengakui belum merujuk kepada doktor pakar swasta berkaitan rawatan kanser di negara ini bagi membantu merawat kanser mulut Germ Cell Tumor dihadapi bayi perempuannya.
Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata setakat ini beliau hanya membuat prosedur imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor, pada Khamis lalu.
Katanya, prosedur CT Scan itu dibuat selepas diminta oleh Dr Nur Amalina Che Bakri, pakar bedah warga Malaysia berpangkalan di UK, dalam usahanya bersama sekumpulan doktor pakar di UK untuk merawat bayi perempuan berkenaan.
“Setakat ini, saya masih belum menerima sebarang keputusan daripada Dr Nur Amalina dan kumpulan pakar bedah dari UK susulan laporan CT Scan yang sudah diberikan, baru-baru ini.
“Berkemungkinan (maklum balas dari pakar bedah UK) hari ini. Sebab mereka bercuti pada Sabtu dan Ahad lalu.. CT Scan itu mereka baru dapat pada Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan persediaan ke UK, Ahmad Safiuddin berkata, persiapan mereka sudah mencapai kira-kira 70 peratus.
“Kami perlu menyelesaikan beberapa perkara lagi termasuk penginapan,” katanya.
Ainul Mardhiah yang kini berusia hampir sembilan bulan sebelum ini dirawat di Hospital Melaka, di sini, termasuk menjalani prosedur rawatan kemoterapi di hospitalberkenaan.
Ahmad Safiuddin sebelum ini dipetik sebagai berkata, pembedahan pertama Ainul Mardhiah bagi membuang ketumbuhan di mulut dilakukan di Hospital Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pada Oktober tahun lalu, ada ketumbuhan baharu dikesan di leher bayinya sebelum disarankan menjalani kemoterapi di Hospital Melaka, pada Disember lalu.
Malah, derita penyakit kanser mulut dialami Ainul Mardiah turut menarik perhatian Dr Nur Amalina yang berusaha berbincang dengan sekumpulan doktor pakar di UK bagi melakukan pembedahan ke atas bayi perempuan itu.
Bagaimanapun, kos rawatan bagi membuang ketumbuhan dan rawatan susulan bayi perempuan itu di UK dianggarkan lebih RM1 juta.
Susulan laporan mengenai Ainul Mardiah, Ketua Menteri, Adly Zahari turut menzahirkan komitmen kerajaan Melaka untuk membiayai kos pengangkutan dan penerbangan keluarga itu bagi rawatan pembedahan di UK.
|