Kuala Lumpur: Kelalaian pemilik sebuah rumah di tingkat 18, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia menutup suis dapur gas selepas memasak dipercayai punca rumahnya musnah dijilat api dalam kebakaran petang semalam. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, kebakaran itu menyebabkan rumah berkenaan terbakar seratus peratus.
Beliau berkata, pasukan bomba dan penyelamat menerima panggilan kecemasan jam 4.23 petang dan jentera pertama mengambil masa lima minit tiba di lokasi kejadian.
Tiupan angin kencang menyebabkan api marak dengan pantas namun ketika kejadian itu semua penghuni rumah berkenaan sudah keluar dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa 15 minit untuk mengawal api daripada merebak ke unit lain,” katanya.
Katanya, operasi itu disertai pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Gombak Selatan dan Hang Tuah dengan kekuatan seramai 28 anggota.
Azizan berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan pemilik rumah tidak menutup suis dapur gas memasak sebelum meninggalkan rumah menyebabkan ia meletup.
Hanya seunit rumah saja yang musnah dan tidak membabitkan rumah lain,” katanya
Read here: https://my.news.yahoo.com/bahana-lupa-tutup-gas-dapur-214220145.html
|