ADAKAH WANITA YANG BERMIMPI BASAH WAJIB MANDI?
Oleh : Ustaz Ammi Nur Baits
Terjemahan Oleh : Jebat
Bismillah was salatu was salamu ‘ala rasulillah, amma ba’du,
Dari Ummu Salamah radhiallahu ‘anha, beliau menceritakan,
Ummu Sulaim (ibu kepada Anas bin Malik), pernah menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk bertanya,
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَحْيِي مِنَ الحَقِّ، فَهَلْ عَلَى المَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا احْتَلَمَتْ؟
Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu dalam menjelaskan kebenaran. Apakah wanita wajib mandi junub ketika dia bermimpi?
Jawab Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam,
نَعَمْ، إِذَا رَأَتِ المَاءَ
”Ya, apabila dia melihat air mani.”
Mendengar dialog ini, Ummu Salamah tersenyum dan kehairanan, “Apa wanita juga mimpi basah?” kemudian ianya dijawab oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam,
نَعَمْ، تَرِبَتْ يَمِينُكِ، فَبِمَ يُشْبِهُهَا وَلَدُهَا
“Ya jelas, lalu dari mana datang kemiripan anaknya.” (HR. Bukhari 3328 & Muslim 313).
Berdasarkan hadis di atas, orang yang mengalami mimpi basah terbahagi kepada dua keadaan:
Pertama, dia melihat ada bekas air mani. Ketika orang yang bangun tidur itu melihat bekas air mani, dia wajib mandi hadas, sekalipun dia tidak ingat mimpinya.
Kedua, dia tidak melihat bekas air mani, ertinya tidak ada yang keluar. Dalam kondisi ini, dia tidak wajib mandi, sekalipun dia ingat betul ketika tidur, dia mimpi melakukan hubungan badan.
Beberapa pelajaran lain yang dapat kita perolehi dari hadis tersebut ialah;
1. Keutamaan wanita Ansar. Mereka tidak malu bertanya tentang masalah agama, meskipun menurut sebahagian orang, perkara itu memalukan. Pujian ini pernah diberikan oleh Aisyah kepada mereka,
نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ الأَنْصَارِ لَمْ يَمْنَعْهُنَّ الحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِي الدِّينِ
“Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar. Rasa malu tidak menghalangi mereka untuk belajar agama.” (HR. Bukhari secara muallaq, dan Ibnu Majah secara bersanad dalam sunannya no. 642).
Imam Mujahid (murid Ibnu Abbas) mengatakan,
لاَ يَتَعَلَّمُ العِلْمَ مُسْتَحْيٍ وَلاَ مُسْتَكْبِرٌ
Tidak akan mahu belajar, orang yang pemalu dan orang yang sombong. (HR. Bukhari secara muallaq)
2. Allah tidak malu dalam menjelaskan kebenaran, sekalipun manusia menganggapnya itu masalah yang remeh. Allah menegaskan hal ini di dalam al-Quran ketika Dia menjelaskan adab bertamu,
فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَانْتَشِرُوا وَلَا مُسْتَأْنِسِينَ لِحَدِيثٍ إِنَّ ذَلِكُمْ كَانَ يُؤْذِي النَّبِيَّ فَيَسْتَحْيِي مِنْكُمْ وَاللَّهُ لَا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ
Kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. (Al-Ahzab: 53).
3. Bahawa wanita juga mengalami mimpi basah sebagaimana kaum lelaki. Ini Kerana wanita juga memiliki air mani, namun begitu cirinya adalah berbeza dengan air mani lelaki. .
4. Hukum wajibnya mandi besar dikaitkan dengan ada dan tidaknya air mani yang keluar. Bukan disebabkan mimpi. Kerana mimpi tidak memberikan pengaruh kepada hukum. Sedangkan yang memberikan pengaruh kepada hukum adalah keluarnya air mani.
5. Keberadaan air mani pada lelaki dan wanita itu menentukan kemiripan pada anak.
Allahu a’lam.
AIR MANI WANITA
Oleh : Ustaz Ammi Nur Baits
Terjemahan oleh : Jebat
Wanita juga mengeluarkan air mani sebagaimana kaum lelaki. Dengan air mani itu, muncul sifat identiti anak, apakah memiliki kemiripan dengan ayah ataupun dengan ibunya.
Suatu ketika, Ummu Sulaim (ibunda Anas bin Malik) radiallahu ‘anhum, datang kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu dalam menjelaskan kebenaran. Apakah wanita wajib mandi jika dia mimpi basah (mengeluarkan mani)?”
Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,
نَعَمْ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ
“Ya, apabila wanita melihat air mani (mengeluarkan mani) maka dia wajib mandi.” (Maksudnya: jika ada mani yang keluar dan si wanita melihatnya ketika dia bangun)
Ummul Mukminin Ummu Salamah radiallahu ‘anha, yang waktu itu berada di sampingnya, tertawa dan bertanya, “Apakah wanita juga mimpi basah (mengeluarkan mani)?”
Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,
فَبِمَا يُشْبِهُ الْوَلَدُ
“Ya. Dari mana anak itu boleh mirip (dengan ayah atau ibunya kalau bukan kerana mani tersebut)?” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Namun begitu, air mani wanita berbeza dengan air mani lelaki. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam,
مَاءَ الرَّجُلِ غَلِيْظٌ أَبْيَضُ وَمَاءُ الْمَرْأَةِ رَقِيْقٌ أَصْفَرُ
“Air mani lelaki itu kental (pekat) dan berwarna putih sedangkan mani wanita tipis/halus dan berwarna kuning.” (Hadis sahih; diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, dan yang lainnya)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata, “Air mani wanita, dia berwarna kuning, agak cair. Namun, kadangkala warnanya boleh memutih kerana kelebihan kekuatannya. Air mani wanita ini boleh ditandai dengan dua hal: pertama, aromanya (yakni baunya) seperti aroma (bau) air mani lelaki ; kedua, terasa nikmat ketika keluarnya dan meredanya syahwat setelah mani keluar.” (Syarah Sahih Muslim, 3:223)
Dari hadis di atas juga, boleh disimpulkan bahawa lelaki mahupun wanita yang mimpi basah kemudian mengeluarkan air mani maka dia wajib mandi. Sebaliknya, jika tidak mengeluarkan mani maka tidak wajib mandi, kerana yang menjadi sebab mandinya adalah keluarnya air mani, bukan mimpinya.
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata, “Ulama sepakat tentang wajibnya seseorang mandi bila mengeluarkan air mani, dan tidak ada perbezaan di sisi kami apakah keluarnya kerana jima’ (hubungan intim), ihtilam (mimpi basah), onani, melihat sesuatu yang membangkitkan syahwat, ataupun keluar mani tanpa sebab. Sama sahaja. Apakah keluarnya dengan syahwat atau pun tidak, dengan rasa nikmat atau tidak, banyak atau pun sedikit walaupun hanya setitis, dan sama saja apakah keluarnya di waktu tidur atau pun ketika tidak tidur, baik lelaki mahupun wanita.” (Al-Majmu’ Syarh Muhadzab, 2:139)
|