|
Tumpang letak hasil nukilan sy di sini ya?
NorMaLLy orang kalau nk bli buku akan belek/baca sinopsis dulu kan? so, kita baca dulu preview/sinopsis al-kisah 'MY FlyinG KiSS GurL' ni yea...
Mungkinkah ciuman terbang itu dilayangkan bersama dengan mentera atau jampi cinta, Rayyan sendiri tidak tahu. Apa yang dia tahu adalah ciuman terbang itulah yang telah merubah hidupnya serta-merta. Berubah daripada seorang yang tidak tahu menghargai perempuan, menjadi lelaki yang penuh dengan rasa cinta. Berubah dari seorang yang tidak pernah merindui dan menyayangi seorang wanita menjadi perindu bulan siang dan malam.
Tetapi adakah untuk memiliki gadis flying kiss semudah yang disangka?
Demi untuk mendapatkan gadis idaman hati, pelbagai cara dilakukan oleh Rayyan Hafizi. Dirayu, dipujuk, digoda, dipaksa dan pelbagai lagi cara dilakukan demi untuk memastikan empunya badan dapat dimiliki sepenuhnya. If you not willing to sound stupid, you’re not deserve to be in love – memang, demi cinta Rayyan sanggup melakukan apa saja demi membuktikan keikhlasan! Dan Aireen, mampukah dia bertahan untuk tidak mengalah pada rasa cinta lebih-lebih lagi apabila sudah tinggal sebumbung dengan Romeo Malaya itu.
Ya, suka atau tidak, mahu atau tak, rela atau dipaksa – Aireen perlu menerima hakikat bahawa dia disatukan dengan Rayyan Hafizi dan kini bukan sahaja berkongsi bumbung yang sama tetapi juga berkongsi bilik yang sama, katil, tilam dan bantal yang sama! Namun, Rayyan takkan mampu menakluki sepenuhnya kepercayaan dan kasih selagi dalam hati Aireen terselit nama Amir dan terngiang-ngiang nama Rafeeq!
Antara mereka, siapa yang tidak akan mampu melupakan sejarah silam? Kewujudan Rafeeq, kehadiran Hannah membuatkan cinta dan kasih sayang Rayyan dan Aireen teruji untuk kesekian kali.
Last edited by wannienordin on 19-2-2014 11:49 PM
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
HELO, selamat datang.” Satu senyuman manis diberikan pada tamu yang datang. Cepat- cepat dia meninggalkan meja cashier dan terus menuju pada pasangan tetamu yang baru saja masuk ke kedai. Semakin menghampiri, semakin lebar senyuman yang diberi.
“Selamat tengah hari, boleh saya bantu?” Dengan ramah dia menyapa.
“Tengok-tengok dulu,” balas wanita yang berusia mungkin dalam lingkungan pertengahan 20-an tanpa
secalit senyuman.
Dia mengangguk. Walaupun sedikit berkecil hati kerana senyuman yang diberi langsung tidak dibalas,
namun bibirnya masih lagi menguntum senyum. Tidak mahu pelanggan yang masuk keluar begitu sahaja. Dia kemudian mengikut dari jauh pasangan tersebut meninjau-ninjau. Tidak mahu mengganggu privasi mereka untuk membeli. Memang selalunya pelanggan tidak suka kalau diikut bila mereka tengah memilih baju. Cukup sekadar memerhati dari jarak sederhana, nanti bila mereka memerlukan bantuan apa-apa, barulah mereka akan panggil.
Pasangan tersebut menilik satu demi satu baju yang ada di dalam butik. Dari satu bahagian ke satu
bahagian. Agak lama juga wanita itu menilik baju-baju yang ada. Sampai rasa lenguh kaki berdiri semata-mata nak tunggu dia pilih baju. Satu butik dia dah tawaf, ini memang betul-betul nak beli ke atau sekadar nak melawat tengok kedai? Cerewet sangat nak pilih baju!
Sambil-sambil dia mengikut pasangan tersebut memilih baju, sempat juga dia menilik pasangan tersebut. Yang wanita tu kalau melihatkan wajahnya, tak berapa cantik sangatlah. Kulit gelap dan badan pun kurus kering. Cuma nampak vogue dengan dress dia yang bukan main seksi dan wajah yang kurang cantik itu nampak berseri sikit dengan calitan mekap yang tebal. Muka tak cantik, tapi dapat balak handsome pulak. Dia memerhatikan lelaki yang dia amat pasti merupakan teman lelaki wanita tersebut. Mestilah boyfriend. Kalau bukan boyfriend, takkan bukan main kedap perempuan tu peluk lengan lelaki tu.
Lelaki tu kalau nak diceritakan wajah dan fizikalnya, memang termasuk dalam kategori kacak bergaya. Kulitnya lebih putih daripada perempuan yang dipeluknya itu, lepas tu badan tinggi dan tegap. Agaknya rajin pergi gim, sebab tu badan bukan main tough. Rambut pun kemas, pendek dan baju yang disarung pun nampak stylo. Handsome. memang handsome. Nak diberikan contoh handsome macam siapa? Oh, disebabkan sekarang ramai orang tengah gila hero Korea, jadi bagi contoh hero Korealah eh? Lelaki tu handsome macam… Ha! Macam Dennis Oh atau nama penuh dia Dennis Joseph O’Neil. Kenal tak? Kalau tak kenal, cari cerita drama Korea Sweet Spy dan tengok hero cerita tu. Lelaki ni rupa paras dia macam Dennis Oh tulah. Handsome tak? Handsome kan? Macam manalah perempuan yang berkulit ala-ala dayang senandung ni boleh mengurat lelaki handsome macam ni erk? Rasa macam nak mintak tip pulak.
“Baby, you tengok baju kebaya ni cantik tak?” Dengan penuh kemanjaan wanita tersebut bertanya pada lelaki yang dari tadi setia mengikut dia berjalan mengelilingi kedai. Oh, akhirnya ada juga baju yang dia berkenan. Dari tadi pusing sana sini, ingatkan sekadar nak pusing ambil angin.
“Cantik sayang. You pakai apa pun cantik. Kalau pakai kain batik pun I boleh gerenti, tetap akan cantik.”
Rasa macam nak termuntah bila dia dengar suara lelaki tu membalas. Geli-geleman! Ops. Geli ke cemburu sebab dengar ayat romantik daripada lelaki handsome ni?
“Miss! I want this kebaya. Ada saiz yang kecik sikit?”
Dia berjalan merapati wanita tersebut. Melihat baju yang ditunjuk lalu dia menggeleng.
“Sorry cik, saiz yang tinggal hanya ni aje.”
“Ni aje? Takkan tak ada saiz kecik sikit?”
Sekali lagi dia menggeleng.
“Entah apa-apa! Butik bukan main cantik tapi saiz baju pun tak ada? Takkan you nak I pakai baju besar macam kain langsir ni?!”
Dia diam. Tak tahu nak jawab apa. Sebenarnya, bukan tak tahu nak jawab apa. Tapi tak boleh nak jawab apa-apa. Sebab kalau dia menjawab, nanti kang pelanggan akan cakap dia kurang ajar pula. Dah banyak kali dipesan agar mana-mana pelanggan yang datang, haruslah dilayan dengan baik dan mesra. Tak kiralah macam mana perangai pelanggan tu sekalipun, layankan sajalah. Samalah macam sekarang, pasal saiz tak ada pun nak tengking-tengking. Macamlah isu besar sangat. Besar macam kain langsir konon. Baju yang dia tengah pakai ketat macam sarung nangka boleh pula dia pakai.
“Kedai besar, cantik. Tapi jual baju saiz besarbesar!” Sekali lagi kedengaran suara wanita itu merungut-rungut.
“Tak apalah sayang. Try tengok yang lain, mana tahu ada yang lebih cantik.” Lelaki itu cuba memujuk.
“Tapi I nak yang ni. Wedding Tina tu nanti tema dia purple, I nak baju purple ni.”
Dia melihat dengan rasa menyampah yang teramat. Masya-Allah, menggediknya minah ni! Dah baju tu tak ada saiz, pilihlah baju lain. Kalau setakat nak warna ungu, berlambak lagi baju warna tu dekat dalam kedai ni. Mengada-ada!
Walaupun rasa menyampah, tapi dia tetap juga cuba untuk menahan wajahnya daripada menunjukkan ekspresi tersebut. Cepat-cepat dia melangkah ke bahagian lain dan mengambil dua tiga pasang baju kurung moden dan kebaya yang berwarna ungu.
“Apa kata cik tengok baju yang ini? Kalau yang ini ada saiz S.” Senyuman manis masih tidak kering menghiasi bibir melayani kerenah pelanggan yang satu ini.
“Ini design lama. I dah ada stail baju macam ni. Tak naklah!” Wanita tersebut menjeling.
Dia patah balik dan meletakkan semula baju-baju tersebut. Pergi ke bahagian lain dan pilih baju yang lain pula. Kalau kali ni perempuan ni tak nak juga, lantaklah! Malas nak layan lagi dah.
“Cuba tengok yang ini pulak. Rasa saya ini design baru. Baru sampai stok dia minggu lepas.”
Mula-mula wanita tersebut nampak macam tak nak layan bila dia membawa baju-baju tersebut. Tapi nasib baik lelaki yang setia berkepit dengannya tolong memujuk. Macam-macam pujian yang diberikan terhadap baju tersebut. Akhirnya, daripada nak suruh pilih mana satu yang suka, terus beli sampai tiga pasang!
Alhamdulillah. Tak sia-sia nampaknya duduk melayan kerenah minah sorang ni. Nak suruh pilih baju kurung pun bukan main susah! Nak yang saiz keciklah, nak yang warna ungulah, nak yang design barulah, nak yang nampak anggunlah, nak yang boleh menarik perhatian oranglah, macam-macam! Entah macam manalah lelaki tu boleh layan dan tahan perangai minah kepala senget macam tu. Ngok-ngek!
Selesai membuat pembayaran, kedua-dua mereka keluar dari kedai. Rasa macam lega sangat bila tengok pelanggan yang banyak songeh dah tak ada depan mata. Kenapa mesti ada orang yang berperangai sebegitu bila nak membeli-belah? Tengok baju tak ada saiz pun nak mengamuk? Kalau baju yang ditempah tersalah saiz, barulah boleh nak marah. Dah diukur pun tukang jahit boleh tersalah jahit. Ini hendak membeli baju yang dah siap. Nasib-nasiblah nak jumpa yang betul-betul kena dengan saiz badan. Yang badan tu kurus kering macam orang tak cukup makan kenapa? Cuba ikut macam saiz badan aku ni kan bagus? Tak kurus, tak gemuk. Secukup rasa sahaja.
“Hai!”
Sedang-sedang elok tengah sedap berangan, terdengar pula ada suara yang menyapa. Terus pandangan dihalakan ke arah kelibat orang yang baru masuk ke dalam kedai. Cepat-cepat mulut memuncung bila nampak gerangan orang yang menyapa tersebut. Baru nak muncul? Dah berapa jam tunggu dekat sini.
“Sorry darling. Aku lambat sikit. Traffic jammed.” Dengan tersengih-sengih wanita lewat 20-an tersebut datang menghampiri sambil kiri kanan tangannya penuh membawa beg-beg kertas dan plastik.
“Traffic jammed konon. Janji dua jam, ini dah setengah hari! Kalau macam ni, kenalah bayar upah, mana boleh tolong jaga kedai free aje.” Dengan suara ala-ala tak puas hati dia merungut. Muncung mulut masih lagi sengaja dipanjangkan.
“Alah, baru mintak tolong jaga kedai kejap dah merungut. Yalah, yalah, aku belanja satu baju. Pilih manamana yang kau suka.”
Mendengarkan saja ayat tersebut, terus muncung di mulut hilang dan digantikan pula dengan senyuman panjang lebar. Yes! Taktik menjadi. Memang nak mintak baju percuma niatnya tadi. Tak sangka berjaya pula buat tauke butik ni termakan rajuknya dengan sebegitu mudah. Agaknya mood tengah baik, sebab tu senang sangat nak bagi baju percuma. Kalau tidak nak mintak diskaun pun payah, apalagi nak bagi percuma.
“Ada lagi beg nak angkat? Aku pergi ambik.”
“Dengar nak dapat baju free, terus datang angin rajin kau tu eh?” usik wanita tersebut. “Dah tak ada. Aku dah bawak semua. Hari ni ambik stok tak banyak. Stok lama pun banyak belum habis lagi.”
Dia mengangguk-angguk. Memerhati dengan ekor mata wanita tersebut meletakkan beg-beg kertas dan plastik di atas lantai lalu duduk menghempaskan badan di kusyen merah yang memang diletakkan di dalam kedai, membetulkan kain tudung yang semakin melurut dari kepala. Nampak letih balik daripada ambil stok baju ni.
“Macam mana hari ni? Bagus tak?” Terus wanita tersebut memandang ke arahnya sambil menggosok tapak kaki.
“Puan Zubaidah, tengoklah siapa depan mata kau sekarang ni. Kalau aku, Siti Aireena yang tolong jaga kedai, gerenti masyuk punya,” katanya membangga diri.
Wanita yang dipanggil Zubaidah tersebut mencebik.
“Kalau macam tu, berhenti kerjalah. Tolong aku dekat butik.”
“Oh tidak. Tidak. Tak sanggup aku! Tadi baru lepas mengumpat customer, tak sanggup aku tambah dosa bila melayan orang yang cerewet ni. Ini pun nasib baik kau mintak tolong jaga sebab tak ada staf. Kalau tak, tak kuasalah aku nak duduk berjanggut dalam butik kau ni.”
Zubaidah ketawa kecil. “Baru kau tahu.”
Aireen juga turut ketawa kecil. Memang baru sekarang ni dia tahu dan faham betapa peliknya perangai sesetengah manusia ni kalau bershopping. Nasib baiklah hari ini dia hanya tolong membantu Zubaidah, sepupunya ini, menjaga kedai untuk sementara waktu. Itu pun dah rasa tak tahan. Apalagi kalau nak kerja hari-hari dekat sini. Kalau ikutkan Zubaidah, memang dah banyak kali sepupunya itu memujuk dan mengajak dia join venture sama-sama mengusahakan butik ni sekali, tapi dia tak nak. Tak sangguplah nak tinggalkan kerja semata-mata nak jadi tauke butik. Kalau setakat tauke yang datang nak kutip duit bila nak tutup kedai saja bolehlah. Ini kalau nak suruh layan pelanggan, harap maaf. Tak kuasa! Last edited by wannienordin on 19-2-2014 05:46 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
*****
AIREEN dan Zubaidah sama-sama memasuki restoran. Mencari meja kosong yang terletak di hujung restoran.Selesai membuat pesanan, mereka berbual-bual. Mereka berdua memang akrab sangat. Bukan sekadar sepupu, tetapi juga merupakan bekas rakan sekolah,rakan sekelas dan rakan sekolej. Dari kecil sampailah ke besar, mereka sentiasa saja bersama. Akrab macam adik-beradik. Tambahan lagi umur pun sebaya. Nasib baik muka tak sama. Kalau tak memang orang ingat kembar dah. Dulu-dulu masa di universiti, masing-masing ambil jurusan perniagaan. Tapi, nampaknya sekarang ini hanya Zubaidah sajalah yang mempraktikkan apa yang dipelajari dulu dengan membuka sebuah butik selepas dia berkahwin. Menggunakan kepandaian menjahit dengan bagus dan efisyen. Aireen pula, tak tahu macam mana boleh lari bidang jadi setiausaha pula. Elokelok
ambil business, tak alih-alih jadi sekretari. Alah, tak kisahlah. Janji kerjanya tetap halal, kan?
“Semalam Rafeeq datang butik aku,” kata Zubaidah sambil menyuap nasi goreng ke dalam mulut.
Aireen terdiam sekejap. Buat-buat mengunyah mi seketika sebelum angkat muka.
“Ya ke? Dia datang dengan siapa?” soal Aireena.
“Sorang.”
“Oh.” Aireen membalas pendek. Lepas tu terus tunduk muka dan menyuap mi goreng ke dalam mulut. Langsung tak tanya apa-apa lagi.
“Dia cakap dia kebetulan beli barang dekat sini. Sebab tu singgah butik aku. Tapi aku tahu, dia sengaja datang sebab nak tengok kau ada ke tak.”
Aireen tak membalas apa-apa. Angkat muka pun tak. Tekun tengok mi goreng dalam pinggan.
“Dah lebih dari sebulan kau tak jumpa dia kan? Mesti dia sengaja nak tengok kau tu.”
“Mungkin kut.” Barulah kedengaran suara Aireen membalas kata. “Eh, Zubai, malam ni cousin Beatrice ajak pergi makan malam dekat rumah dia. Kau nak ikut tak?”
Selesai membalas, cepat-cepat pula dia menukar topik perbualan.
Zubaidah pandang muka Aireen dua tiga saat sambil senyum sinis. “Aku tahulah kau memang sengaja nak tukar topik. Tapi ada ke pergi tanya soalan tu? Kalau aku ikut kau pergi makan malam, laki dekat rumah aku tu siapa nak layan?”
Aireen tersengih lebar. Tahu sebenarnya soalan yang diajukan tu tak logik, tapi itu saja yang dia boleh terfikir nak tanya untuk tak lagi bercakap tentang doktor tu.
“Kau nak pergi makan malam rumah cousin Beatrice tu kenapa? Ada birthday party ke?”
“Taklah. Saja. Cousin dia baru pindah rumah baru, kondo dekat Ampang. Jadi sajalah ajak makan-makan sambil karaoke.”
Zubaidah mengangguk-angguk kepala dua tiga kali. “Seronoknya hidup orang bujang. Boleh lepak-lepak, makan-makan sambil karaoke.”
“Tapi lagi best kalau dah kahwin. Boleh pelukpeluk, boleh manja-manja.”
Zubaidah ketawa besar. “Itu sudah semestinya!”
Aireen juga ketawa. Mereka sama-sama ketawa apabila tiba-tiba tawa itu diganggu oleh suara-suara bising dari meja berhampiran. Mereka sama-sama menoleh ke arah meja yang terletak hanya berselang tiga meja dari meja mereka. Nampak ada seorang lelaki yang tengah terkebil-kebil sambil melihat dua orang wanita sedang bertekak dan tengking-menengking antara satu sama lain.
“Eh, Dennis Oh!” kata Aireen.
“Siapa?”
“Dennis Oh. Mamat yang aku cerita dekat kau tadi tu.”
“Oh, perempuan yang tengah bergaduh tu, awek yang dia belikan baju tadi ke?” soal Zubaidah lagi.
“A’ahlah. Si Dayang Senandung yang banyak songeh tu. Tapi, siapa pulak perempuan lagi satu tu?”
Soalan Aireen itu tidak berjawab. Mereka sama-sama menumpukan perhatian pada meja tersebut. Sambil-sambil tu cuba pasang telinga, mendengar apa benda yang tengah diributkan di sana.
“Kalau dia dah break up dengan kau, itu bukan salah aku! Yang kau terhegeh-hegeh lagi kenapa?” Terdengar suara perempuan berkulit gelap tu berkata-kata.
“What do you mean, you got nothing to do with this? You are my friend! Baru semalam aku putus dengan dia, tapi hari ni kau pulak yang bercinta dengan dia?!”
“Kenapa? Tak boleh? Dia bukan boyfriend kau lagi kan?” Bertalu-talu perempuan berdua tu berbalas kata.
Oh, kes berebut lelaki rupanya. Mesti berebutkan si Dennis Oh ni. Hmm. Macam-macam lagilah yang dikatakan oleh dua orang wanita itu. Bila seorang bercakap, yang seorang lagi membalas. Kuat dan saling tengking-menengking antara satu sama lain. Tetapi yang lebih menarik perhatian Aireen sekarang ini ialah bukannya kedua-dua wanita tersebut, tapi lelaki yang tengah duduk di tengah-tengah di antara kedua-duanya.
Amboi, bukan main tenang lagi keadaan lelaki itu sekarang ni. Sambil-sambil tengok perempuan dua orang tu bertekak, dia boleh lagi duduk bersandar, sesekali meneguk minuman dan menelan makanan. Macam tak ada apa-apa yang tengah berlaku. Hanya sesekali dia menggelengkan kepala apabila melihat dua orang perempuan tersebut saling jerit-menjerit antara satu sama lain. Dan nampaknya sempat lagi dia main telefon bimbit!
Hei, dia tu perasan ke tak yang minah dua orang tu tengah bergaduh pasal dia?!
Entah-entah minah dua ekor tu bukan bergaduh pasal dia tak? Tapi tak logik pula, sebab kalau bukan lelaki tu yang dimaksudkan, kenapa sambil bercakap perempuan-perempuan tu tunjuk ke arah lelaki tu? Tandanya memang mereka tengah berebutkan lelaki itulah. Tapi kenapa dia relaks sangat?
“Beb, perempuan tu kena tamparlah!”
Suara Zubaidah yang menjerit sikit menyebabkan Aireen terus pandang semula ke arah wanita-wanita tersebut. Nampaknya perempuan berkulit gelap tu baru lepas kena tampar dengan perempuan yang satu lagi. Bila lepas kena tampar, perempuan berkulit gelap itu nampak tak puas hati. Dia turut nak membalas. Mereka berdua saling bergelut nak tampar-menampar antara satu sama lain. Bila keadaan jadi macam tu, Aireen sangkakan yang lelaki tadi akan masuk campur. Tapi ternyata sangkaannya meleset. Lelaki itu jangan kata cuba nak leraikan, tapi dia hanya buat bodoh, bangun, keluarkan duit dari dompet, campak duit tu atas meja dan terus keluar dari restoran. Bila nampak lelaki itu keluar begitu saja, terus perempuan berkulit gelap tu berlari keluar. Mungkin hendak mengejar lelaki tersebut. Meninggalkan perempuan yang satu lagi.
“Starting from now, kau bukan kawan aku lagi! Go to hell with both of you!” jerit perempuan tersebut. Kuat jeritannya. Memang satu restoran ni boleh dengar. Lepas pada tu dia turut berlari keluar. Keluar sambil teresak-esak menangis.
Aireen hanya menggeleng-gelengkan kepala. Hai, minta-mintalah benda-benda macam ni takkan terjadi kepadanya. Tak naklah bergaduh dalam restoran semata-mata sebab lelaki. Malu!
“Beb.” Zubaidah menyiku sikit sambil menghulurkan telefon bimbit Aireen.
Aireen membulatkan biji mata. “Kau rekod?”
Zubaidah mengangguk. “Saja nak tunjuk dekat Azrul nanti.”
“Kalau nak tunjuk dekat suami kau, buat apa rakam pakai telefon aku?”
“Tak sempat nak ambik. Telefon aku dalam handbag. Handphone kau ada atas meja, aku rembat ajelah. Nak cepat. Nanti bluetooth eh?”
Sekali lagi Aireen hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Inilah salah satu sebab kenapa dia harap- harap benda tadi tu tidak terjadi kepada dirinya. Sudahlah dekat restoran ni ramai yang tengok, dibuatnya ada yang merakam macam Zubaidah ni buat, lepas tu daripada satu orang ke satu orang video ni akan tersebar. Silap-silap boleh sampai ke Internet.
Hei, malunya! Last edited by wannienordin on 19-2-2014 05:58 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
2
DIA duduk menghempas badan di birai katil. Melepaskan keluhan panjang kemudian berbaring. Sekali lagi keluhan dilepaskan. Terkebil-
kebil memandang siling yang berwarna putih. Didepangkan kedua-dua tangan dan sekali lagi mengeluh. Aduh. Bosan betul hari ni!
Empat lima kali dia mengeluh. Sesekali tangan menggaru kepala. Mata memang tak habis-habis lagi terkebil-kebil. Kepala otak pula ligat membayangkan peristiwa petang tadi. Peristiwa bodoh. Peristiwa paling bosan! Boleh pula perempuan dua ekor tu bergaduh tengah-tengah khalayak ramai macam tu? Memalukan betul! Jatuhlah air muka aku. Kalau nak bergaduh pun, dekat rumahlah. Bergaduhlah sampai berparang sekali pun, ada aku kisah? Ini dekat shopping complex! Memang tak ada standard langsung dua-dua orang tu. Macam tu nak jadi steady girlfriend? Jadi spare tyre
cukuplah. Tapi nampaknya bila dah jadi kes tadi, nak dijadikan spare tyre pun dua-dua dah terkeluar dari list!
Bila minah dua ekor itu dah bertekak dan berperang dekat situ, memanglah malas langsung nak ambil kisah. Lantaklah dia orang nak tengking-menengking ke, nak kutuk-mengutuk antara satu sama lain ke ataupun nak maki-memaki, dia tak ingin nak layan. Kang kalau dia masuk campur, tak pasal-pasal dia pun akan memalukan diri sendiri. Tapi bila dah sampai masuk bab tampar-menampar, dia memang tak ada keinginan nak duduk dan jadi penonton lagi. Tak berminat nak tunggu sampai bila adegan pergaduhan itu akan berakhir. Lebih baik dia angkat kaki dan blah. Bukan lari
untuk kali ni saja, tapi memang sampai bila-bila dia takkan keluar dengan perempuan-perempuan tu lagi dah. Menyusahkan betul!
Apalah budak dua ekor tu, kata kawan baik, duduk serumah. Tapi disebabkan aku, lelaki yang baru saja masuk dalam hidup mereka, dah sanggup nak bergaduh sakan. Masing-masing memang perasan! Dia orang tak tahu ke kalau lelaki dah sanggup nak keluar dengan dua orang perempuan sekali gus dalam satu masa tandanya lelaki tu tak seriuslah. Buat apa nak bergaduh sampai putus kawan sebab lelaki? Tak boleh nak fikir ke? Malas betullah dengan perempuan-perempuan yang pendek akal macam ni!
Telefon bimbit berbunyi. Dengan malas dia mengangkat.
“Bro, malam ni rumah aku, jadi tak?” Kedengaran suara garau dari hujung talian bersuara.
“Alah, bosanlah rumah kau! Tak ada port lain ke?”
“Special request from birthday boy. Dia tak nak buat dekat kelab macam tahun-tahun lepas. Dia cakap tahun ni nak slow down dekat rumah aje. Kalau boring rumah aku, lepak kondo kaulah.”
“Ah, hancur rumah aku nanti! Budak-budak dah setuju rumah kau, okeylah tu. Nanti pukul 9.00 aku sampai.”
Talian dimatikan. Dia kembali menilik siling. Lepak rumah Zairee pulak malam ni. Ingatkan nak lepak kelab, tapi entah kenapa Fahmi tiba-tiba nak sambut hari jadi dekat rumah pula tahun ni. Agak-agaknya sebab tak nak ramai orang tahu umur dia dah tua kut? Kalau dekat rumah, hanya mereka yang terdekat saja yang tahu angka tu dah menginjak ke nombor berapa.
Tua? Tahun ini umur Fahmi baru masuk 34. Dan dia pula, baru melepasi nombor 32 tahun. Kalau angka 32 atau 34 itu kiranya dah tua ke? Belum tua lagi kan? Anuar Zain yang dah masuk angka empat dekat depan tu pun masih nampak muda apa? Masih digelar jejaka idaman lagi. Jadi kalau si Anuar Zain tu masih laku, sudah tentu dia atau Fahmi juga begitu. Hei, baru 30-an. Masih banyak lagi masa nak enjoy. Tapi bila sekali fikir, sampai umur berapa patutnya habis masa untuk enjoy? Kalau 32 belum masa untuk berhenti dari bersuka ria, umur berapa yang patut untuk settle down? 42? 52? 62? Atau memang takkan settle down sampai bila-bila? Sampai ke tua masih lagi nak enjoy pergi kelab, tukar-tukar girlfriend, melepak
sana, melepak sini, macam tu? Best ke kalau macam tu? Sekarang ni memanglah rasa hidup macam tu seronok. Bebas macam tu happy, tapi kalau lima atau sepuluh tahun akan datang, perasaan masih lagi rasa benda yang sama? Kalau masa tu, kawan-kawan yang lain dah berkeluarga, dah ada anak dan jarang-jarang lepak kelab, masih lagi rasa happy macam ni?
Kalau kawan-kawan semua kahwin, apa susah, aku pun kahwin jugaklah! Kan ramai perempuan yang beratur tunggu masa nak kahwin dengan aku. Petik jari aje!
Woo…. Nak kahwin memang senang! Tapi, kehidupan selepas kahwin tu macam mana pula? Nak ke berkahwin dengan perempuan-perempuan yang selama ni dia bawak lepak dekat kelab dan disko? Nak ke bertahun-tahun hidup dengan perempuan yang hanya tahu melawa, membeli-belah dan bersuka ria saja kerjanya?
Eh, kalau kau suka enjoy, mestilah cari perempuan yang suka enjoy juga kan? Barulah serasi.
Enjoy memanglah boleh enjoy, tapi tak naklah kahwin dengan perempuan yang suka berhibur sampai berlebih-lebih dan langsung tak ingat dunia. Kalau aku suka pergi kelab, dia pun suka pergi kelab, siapa yang nak jaga anak-anak nanti? Siapa yang nak didik anak-anak nanti? Takkan nak serahkan seratus peratus dekat pembantu rumah atau pada mama? Apa pulak nak jadi dekat anak-anak nanti kalau hidup dan dibesarkan
dengan cara yang begitu? Aku ni walaupun kaki disko, tapi sekurang-kurangnya aku tahulah pasal agama. Hukum sembahyang lima waktu, dari kecil lagi mama dengan papa dah ajar. Cuma dah besar ni malas dan sengaja buat-buat lupa nak buat. Jadi kalau boleh, tak naklah anak-anak ikut jejak langkah macam ni. Haruslah yang baik aje diikut, perangai yang macam setan ni dijauhkan. Tapi kalau dah mak bapak kaki enjoy, boleh ke anak-anak
jadi malaikat? Kalau macam tu, aku kenalah kahwin dengan perempuan yang boleh harap. Bukannya perempuan yang bertanduk dua di kepala.
Amboi, amboi, amboi! Nak cari isteri macam ustazahlah kononnya ni? Mampukah nak mencari isteri sebaik itu? Nak ke perempuan-perempuan seperti itu memandang lelaki yang kaki perempuan sepertinya? Okeylah, okeylah. Bukanlah macam ustazah sangat, tapi kiranya yang elok perangailah. Kiranya yang boleh dibentuk, sama-sama sanggup untuk belajar memperbaiki diri, sama-sama boleh tegur-menegur apa yang
betul dan salah dan sama-sama cuba untuk jadi pasangan yang terbaik untuk satu sama lain. Senang cerita, ciri-ciri wanita idaman yang hendak dijadikan isteri ialah perempuan yang nampak moden, tapi tidaklah terlalu bebas dan sosial. Masih ingat agama dan budaya timur. Hmm... Siapalah agaknya yang mampu untuk jadi calon isteri mithali dia agak-agaknya ni?
Wanita idaman? Isteri mithali? Wah! Kenapa tiba-tiba dia boleh berangan pasal benda ni pulak ni? Pelik gila! Kenapa sebegitu jauh boleh merepek di awal-awal cerita ni? Asalnya cerita pasal nak pergi lepak rumah Zairee aje tadi kan?
Melalut sebegitu jauh, Rayyan Hafizi! Last edited by wannienordin on 20-2-2014 12:05 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
*****
Rayyan memeluk erat lelaki yang sedang diraikan ulang tahun kelahirannya itu. Pelukannya dibalas erat.
“Happy birthday, bro,” ucap Rayyan sambil menepuk belakang badan Fahmi.
“Thank you, bro.” Fahmi turut menepuk-nepuk badan Rayyan. Mereka kemudian sama-sama melepaskan pelukan.
“Thanks for the jacket, bro,” kata Fahmi sambil diiringi ketawa gembira.
Rayyan mengangguk. Diangkat tangan kanan sambil membuat isyarat bagus. Dia memang tahu yang Fahmi sudah lama mengidam nak beli jaket kulit jenama Ed Hardy. Dah berbulan dia cakap nak beli, tapi tak juga beli, akhirnya dapat percuma hari ni sebagai hadiah hari jadi daripada Rayyan, Zairee dan Saiful. Uih, mahal tau, harga jaket kulit tu seribu lima ratus ringgit! Kalau tak berkongsi, memang jangan haraplah dia nak belikan untuk Fahmi. Baik belikan hadiah untuk perempuan-perempuan lain.
Rayyan duduk sambil memerhati sekeliling. Suasana hari jadi Fahmi tahun ini memang betul-betul lain dari tahun-tahun lepas. Selalunya, Fahmi memang tak pernah terlepas dari sambut hari jadi dekat kelab ataupun restoran mewah. Dan kebiasaannya, majlis dia tu mesti meriah dengan kehadiran awek-awek cun yang seksi-seksi. Samalah macam hari jadi Rayyan. Antara Rayyan, Fahmi, Zairee dan Saiful, memang Rayyan dan Fahmi yang agak mata keranjang dan terlebih sosial sikit. Zairee termasuk dalam kategori takut dengan perempuan. Nak suruh mengurat bukan main payah, entah apa yang kelu lidah dia bila nak bercakap entah. Yang Saiful pulak, jenis yang terlebih ke arah keperempuanan. Dia nak mengurat
perempuan? Orang suruh mengurat, tak alih-alih jadi kawan sembang dan bergosip pulak. Mamat jambu betul.
Dari tempat duduk, Rayyan perhatikan Zairee yang tengah berbual sakan dengan sekumpulan perempuan di tengah ruang tamu. Kalau masa berbual biasa, boleh pula Zairee buat macam biasa dan tak takut apa-apa. Tapi kenapa bila part nak luahkan perasaan atau jual minyak, tiba-tiba boleh jadi tak tentu arah, berpeluh-peluh dan terkelu lidah pulak? Ada jugak orang lelaki macam Zairee ni.
Bila puas memerhatikan Zairee, dia mengalih pula pandangan pada Saiful yang tengah sibuk mengisi air batu dalam bekas air. Dia tergelak kecil melihat gelagat Saiful. Yang jadi host malam ini patutnya Zairee, tapi Saiful pula bertindak macam tuan rumah. Isi air, hidang biskut, pastikan makanan cukup, kemas meja, macam-macam lagilah. Memang daripada belajar lagi, kalau bab-bab begini Saiful pasti akan kena buli. Jadi tukang masak, tukang gosokkan baju, jemurkan baju, tapi Saiful memang tak kisah. Dengan rela hati dia buat semua tu.
Saiful cakap yang dia memang suka kerja-kerja tu semua. Untunglah kalau Saiful betul-betul kahwin nanti. Dia yang buat kerja rumah, isteri dia jadi mem! Tapi, kalau ada mana-mana perempuan yang buli Saiful ni lebih-lebih, jadi queen control yang melampau, siaplah! Rayyan takkan benarkan benda tu terjadi. Memang banyak budi dan jasa Saiful yang tolong basuh dan gosokkan baju dia masa belajar di luar negara dulu.
Dia meninjau pula telatah Fahmi. Fahmi ni sebenarnya dah bertunang. Kalau ikutkan dah kahwin dah pun. Dua tahun lepas bukan main beria-ia nak kahwin. Tapi, tak jadi sebab dia terkantoi dengan tunang dia sendiri masa duduk sebilik dengan perempuan lain dekat dalam hotel masa outstation. Langsung putus tunang. Masa baru-baru putus tunang, nampak jugalah Fahmi macam kecewa. Tak pandang perempuan kiri kanan. Tapi sekejap saja. Dua tiga bulan selepas itu, langsung datang balik perangai mata keranjangnya. Tengoklah macam sekarang, bukan main ceria birthday
boy dengan sorang awek bertudung yang kecil molek. Minah mana pulak tu? Tak pernah nampak pula sebelum-sebelum ni.
Lama dia perhatikan Fahmi berbual dengan budak perempuan tu. Makin dia perhatikan, macam makin lain pula dia tengok cara Fahmi berbual dengan awek tu. Nampak macam mesra semacam. Tersenyum tak putus-putus.
Oh... Entah macam mana Rayyan mengangguk sendiri. Patutlah Fahmi nak buat majlis hari jadi dekat rumah aje tahun ni. Dia tengah nak mengurat awek bertudung rupanya! Konon nak tunjuk baiklah tu. Cit!
Rayyan ketawa sendiri. Akhirnya dia mengerti juga niat di sebalik hajat Fahmi yang nak mengadakan majlis serba sederhana. Hai, dia memang faham sangat satu demi satu perangai kawan-kawannya ni. Sudah lama mereka berkawan. Zairee kawan dari satu sekolah. Kemudian sama-sama pergi sambung belajar dekat United Kingdom. Di sana, mereka sekelas dengan Fahmi yang ikutkan sebenarnya dua tahun lebih tua daripada mereka berdua. Tapi boleh masuk kelas yang sama sebab Fahmi asyik extend semester saja kerjanya. Nasib baik akhirnya habis juga belajar. Dapat juga konvo bersama-sama.
Oh, Saiful pula muda setahun daripada Rayyan dan Zairee. Boleh masuk geng yang sama sebab dulu Saiful sebilik dengan Rayyan. Bila balik Malaysia, masing-masing bekerja tapi tetap juga melepak bersama lagi. Zairee kerja satu pejabat dengan Saiful dekat syarikat audit. Fahmi pula jadi akauntan dan dia pula jadi perunding kewangan. Walaupun tidak lagi sekelas, sebilik atau seuniversiti, tetapi mereka berempat tetap mempunyai banyak persamaan. Pertama, kerja mereka berkaitan benda yang sama iaitu bermain dengan nombor. Kedua, berkongsi minat pada sukan yang sama iaitu tenis. Dan lagi satu yang paling utama ialah berkongsi minat pada makanan yang sama iaitu burger! Masing-masing memang hantu burger. Tak kiralah burger McDonald’s ke, burger Ramly tepi jalan ke, janji dalam sebulan tu mesti lepak sama-sama sambil makan burger. Agaknya dah jadi tabiat sejak belajar asyik pekena burger, jadi dah ketagih kut.
Dalam pada sibuk memerhatikan kawan-kawan di sekeliling, matanya melekat pula pada seorang wanita yang tengah berdiri di penjuru ruang tamu. Wanita tersebut sedang memandang ke arahnya. Wau, seksi juga minah ni. Minah gerek mana yang Zairee jemput datang? Kawan ofis dia ke?
Wanita tersebut memberikan senyuman manis pada Rayyan. Rayyan membalas mesra. Beberapa saat adegan pandang-memandang dan berbalas senyuman berlangsung di antara mereka. Mungkin wanita tersebut mengharapkan Rayyan datang menegurnya. Tapi Rayyan tidak bertindak sedemikian. Selalunya, memang pantang tunggu lama-lama. Cepat saja dia nak masuk cucuk jarum. Tapi hari ini perasaan nak berkenalan
atau bermesra dengan mana-mana perempuan langsung tak membuak di dada mahupun fikiran Rayan. Hari ini dia nak relaks, malas nak angkut
perempuan bawak balik.
Rayyan bangkit dari sofa. Nampak gaya perempuan tu macam bersiap sedia nak menerima kehadiran Rayyan. Tapi malangnya, bukan ke arah wanita itu yang ditujunya, tapi dia terus mengatur langkah menuju ke balkoni. Hai, perempuan itu haruslah bersyukur sekarang ini. Kalau bukan entah angin malas mana yang dah masuk dalam badan, mesti ‘selamat’ perempuan tu malam ni. Waktu sekarang ni, memang mood dia terasa macam nak berangan dan melepak sorang- sorang. Rayyan berdiri sambil berpeluk tubuh memerhati pemandangan Kuala Lumpur. Walaupun hanya dari tingkat tujuh, tapi pemandangan yang terbentang di hadapannya sekarang ini tetap juga menarik. Cuma ia akan bertambah menarik kalau tidak diganggu dengan adanya bangunan kondo di sebelah. Kalau tak ada bangunan depan ni, mesti lagi luas dan jelas pemandangan kota raya akan kelihatan. Orang nak tengok pemandangan, bukan nak tengok langsir rumah jiran.
Rayyan baru saja nak melangkah masuk bila tiba-tiba matanya terpandang gelagat beberapa wanita di dalam rumah di bangunan sebelah. Betul-betul berdepan dengan balkoni dia berdiri sekarang ini. Kiranya balkoni mereka sama-sama menghadap dan betul-betul bertentangan. Dia tak jadi masuk, berdiri semula di posisi tadi dan memerhatikan jiran depan rumah Zairee.
Dia tersenyum sambil menyilang tangan. Dengan tekun dia menyaksikan lebih kurang lima orang perempuan yang tengah menyanyi dan berjoget-joget dengan penuh semangat. Ada perempuan Melayu, Cina dan India. Wah! Betul-betul satu Malaysia. Entah tengah karaoke lagu apa agaknya sampai penuh semangat menari sakan minah-minah tu semua.
Rayyan semakin berminat hendak memerhatikan wanita-wanita tu semua. Dia tergelak sambil menggeleng kepala bila melihat aksi seorang perempuan yang menyanyi sambil berdiri atas kerusi. Memang antara ramai-ramai yang ada dekat situ, perempuan yang satu itu nampaknya lebih berjaya menarik perhatiannya hinggakan Rayyan tak habis-habis tersengih melihat gelagatnya. Cepat-cepat dikeluarkan telefon bimbit lalu dirakam aksi perempuan tersebut. Habis menari atas kerusi, perempuan tu turun dan menari ala-ala disko pula. Kali ini tanpa memegang mikrofon. Dia layan nyanyi dan menari sesuka hati. Betul-betul enjoy nampaknya minah-minah depan rumah Zairee ni.
Rayyan merakam setiap aksi yang dilakukan oleh perempuan tersebut bersama-sama dengan teman-temannya yang lain. Lebih terhibur bila perempuan tu memanjat atas meja dan buat aksi head banging. Konon-konon macam tengah buat konsert rock. Over acting betul minah ni! Tapi kelakar. Betul-betul bersemangat dan bertenaga macam Anita Sarawak. Agak-agaknya, lagu apa yang dia orang tengah nyanyi sampai feeling macam tu sekali erk?
Agak lama juga Rayyan merakamkan aksi mereka bersuka ria.Tapi dia rasa macam tak berapa puas hati sebab tak dapat nak rakam wajah-wajah mereka dengan lebih jelas. Kalau kamera handphone ni boleh zoom lagi dekat kan best. Boleh dia rakam muka minah semangat ni dekat-dekat.
Rayyan mencari posisi yang lebih sesuai untuk dia merakam dengan lebih jelas dan dekat. Kali ini, perempuan-perempuan tu semua tengah menari lagu rentak perlahan. Masing-masing berpasangan dan menari ala-ala salsa. Aduh… Dalam hati Rayyan betul-betul teruja nak tahu lagu apa yang mereka tengah pasang. Seronoknya kalau dia tengah ada dekat dalam rumah yang sama dengan mereka. Boleh dia menari berpasangan
dengan perempuan tu. Macam mana nak rakam muka dia close up lagi ni.
Dalam pada dia sibuk merakam, entah macam mana salah seorang perempuan tersebut terpandang ke arahnya. Nampak memang terkejut habis bila nampak dia yang tengah berdiri memerhatikan mereka semua.
“Alamak. Ada orang tengok!" Entah kenapa, ayat tu boleh pula dia dengar perempuan tu menjerit. Tadi masa dia orang tengah menyanyi
berkaraoke, dia tak dengar pula lagu apa.
Bila budak perempuan tu jerit macam tu, terus yang lain-lain pun berhenti daripada menyanyi dan menari. Ada yang tutup muka dengan bantal kusyen dan ada juga yang terus duduk menyorokkan diri. Ini kes dah malulah ni. Tapi, bila yang lain-lain tak tentu arah nak cover malu, minah yang bersemangat tadi tu tak pula buat benda yang sama. Dia nampak biasa, tenang dan jalan bersahaja menuju ke balkoni. Kemudiannya melambai-
lambai ke arah Rayyan.
Rayyan macam terkejut juga bila perempuan itu melambai ke arahnya. Tapi, dia tetap juga membalas lambaian tersebut.
“Enjoy ke tengok show tadi?!” jerit perempuan tu dari balkoninya.
“Ha?” Rayyan menyoal kembali. Turut sama menjerit.
“Our show just now. best ke?!” jerit perempuan tu lagi sambil membuat isyarat bagus.
“Oh, good. Very good!” jerit Rayyan pula sambil turut membuat isyarat tangan yang sama.
Perempuan tersebut membuat tanda OK. Dia melambai lagi dan kemudian memberikan Rayyan satu flying kiss. Gayanya betul-betul macam orang yang baru diumumkan menjadi pemenang ratu cantik dan memberikan flying kiss yang penuh bermakna pada Rayyan. Lepas pada tu, dia masuk ke dalam rumah, tutup pintu cermin dan turut menurunkan langsir.
Alamak. Perempuan tu dah tak kasi tengok pulak. Rayyan ketawa kecil. Putus harapan nak menyaksikan konsert percuma! Dia tengok telefon bimbit di tangan dan baru perasan yang dia masih lagi sedang merakam. Cepat-cepat dimatikan rakaman tersebut dan dimasukkan semula telefon bimbit ke dalam kocek seluar. Dia berpaling untuk melangkah masuk ke dalam rumah. Sebelum kakinya diatur, dia pandang lagi ke arah rumah di hadapan. Tersenyum lebar dan menggeleng-geleng mengenang telatah perempuan tadi. Last edited by wannienordin on 20-2-2014 12:47 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
3
PENGHAWA dingin dihidupkan. Diletakkan briefcase, fail dan helaian-helaian kertas yang sudah dikepilkan di atas meja. Baju kot ditanggalkan dan tali leher yang menjerut leher dilonggarkan. Dia kemudian baring di atas katil dengan tangan didepakan. Melepaskan lelah sambil memejamkan
mata. Dapat duduk berehat dalam bilik setelah seharian keluar memberi taklimat, alangkah nikmatnya. Heaven!
Rayyan mengetuk-ngetuk jari-jemari di atas tilam. Hari ini memang betul-betul penat. Oh, silap. Bukan setakat hari ini, tetapi seluruh minggu ini memang betul-betul memenatkan. Bermula dengan hari Isnin, dia memberi taklimat kepada pelajar-pelajar kolej selama tiga hari berturut-turut. Selepas itu pada hari Khamis dia kena pergi ke Singapura untuk berkursus pula. Dua hari di Singapura dia terbang ke Sabah pula. Dan hari ini, dia ada temu janji dengan pegawai-pegawai bank dekat Kuala Lumpur. Ini baru balik dari temu janji tersebut setelah seharian berdiskusi dan
setelah lebih seminggu tidak masuk pejabat dan tak balik rumah. Letih. Memang letih gila!
Beberapa minit Rayyan melelapkan mata, tapi akhirnya mata yang dipejam terbuka semula. Badan letih, mata mengantuk, tapi tak boleh nak tidur. Tadi bukan main masa bawak kereta rasa mengantuk gila. Sedaya upaya ditahan kelopak matanya agar tak tertutup. Tapi bila dah baring, tak nak lelap pulak. Dah pejam mata dan berangan macam-macam pun tak hanyut di alam mimpi pun. Ini yang boring ni.
Bila tak boleh nak lelapkan mata, terus dia capai telefon bimbit dari atas side table. Menekan punat lalu keluar video rakaman nyanyian dan tarian yang dirakamkannya sewaktu di rumah Zairee dua minggu lepas. Sepanjang seminggu, memang video inilah yang sering dimainkannya bila terasa bosan atau letih. Masa tengah break waktu bagi taklimat dia akan buka video itu sebagai penaik semangat. Bila dekat hotel mata mengantuk tapi kerja tengah banyak, buka video itu terus mata jadi segar. Memang betul-betul pembawa semangat untuknya sepanjang minggu ini.
Rayyan memainkan video tersebut berkali-kali. Bila habis, diulang semula. Sekali habis, rewind semula. Dua kali habis, rewind lagi. Ketiga, keempat dan masuk sampai lima kali dimainkan, tanpa menunggu sampai video tersebut habis terus dia tekan punat pause. Video berhenti betul-betul masa perempuan yang paling bersemangat tu berdiri dekat balkoni dan melambai.
Rayyan memerhati betul-betul skrin telefon bimbitnya. Pada waktu itu, dia tidak perasan pun yang telefonnya ni dapat merakam betul-betul muka budak perempuan itu. Bila dia tengok balik rakaman baru dia tahu yang masa mereka tengah bercakap di balkoni tu, telefonnya betul-betul zoom dekat muka perempuan tu. Nasib baik. Dapat juga dia tengok muka minah ni dengan jelas. Lagi best, time dapat captured dia bagi flying kiss. Memang nampak cute sangat! Inilah part yang paling disukainya. Inilah part yang paling memberi semangat padanya. Flying kiss inilah yang buat
dia tersenyum lebar dan flying kiss inilah juga yang buat dia tak puas nak tengok video itu banyak-banyak kali. Betul-betul buatkan hatinya terhibur. Kalau diikutkan, sudah berapa puluh kali dia pause dan memainkan bahagian video yang sama berulang-ulang kali. Hai, makin dia tengok, makin bertambah comel dan ayu muka perempuan itu.
“Along, mama panggil.”
Rayyan tersengih-sengih menilik skrin telefonnya.
“Along, mama panggil.”
Masih tak toleh mana-mana.
“Along!!!”
Rayyan cepat-cepat pandang pintu bilik.
“Mama panggil. Pekak!”
Rayyan angguk. Dalam hati dia mengutuk budak perempuan yang tengah berdiri betul-betul dekat pintu. Mengacau betul! Dah tu tiba-tiba panggil orang pekak pula. Entah bila masa telinga dia ni pekak, sihat walafiat lagilah.
“Next time, dua kali orang panggil tak menyahut apa-apa, dah malas nak panggil lagi. Dari bawah orang jerit macam nak pecah anak tekak, dia boleh buat bodoh. Pekak badak!” Terdengar suara budak perempuan tu merungut.
Rayyan hanya buat bodoh. Malas nak layan. Budak perempuan ni kalau dilayan kang makin menjadi-jadi pot-pet dia. Macam mama. Nasib baiklah budak perempuan ni adiknya. Kalau bini, entah macam manalah nak tahan siang malam duduk sebilik dengan mulut bisingnya.
“Itulah, dah selalu sangat dengar muzik entah apa-apa dekat disko, sebab tulah gegendang telinga tu dah pecah.”
“Myra.”
“Apa?”
Rayyan buat isyarat zip mulut. Lepas tu buat pula isyarat menyuruh adiknya keluar dari bilik. Perempuan yang dipanggil Myra tu jelir lidah lalu menjeling dan berlalu pergi. Rayyan turun dari katil, buka tali leher dan menapak keluar. Turun ke tingkat bawah dan mencari kelibat mama. Selalunya petang-petang macam ni mama suka lepak dekat kolam sambil bagi ikan makan. Rutin harian.
“Hai, ma,” tegur Rayyan sebaik saja mendekati mamanya.
“Hai, sayang.” Puan Khalsom membalas mesra sambil memberikan senyuman lebar. “Lama tak jumpa anak bujang mama.”
“Busylah. Ini pun sebab rindu dekat mama along balik sini. Kalau tak, along dah balik kondo aje tadi,” balas Rayyan sambil mengambil tempat di sebelah mamanya. Botol makanan ikan diambil lalu dia turut menabur makanan sama seperti yang mama buat.
“Kalau rindu dekat mama, bolehlah mama mintak tolong satu benda.”
“Tolong apa?”
“Tolong teman mama keluar kejap. Kereta mama masuk bengkellah hari ni.”
“Alah… Malaslah! Along baru aje balik. Penat, nak tidur. Suruh Myra teman tak boleh ke?”
“Myra nak keluar pergi rumah Yaya kejap lagi. Ada group discussion. Takkan nak kacau dia belajar. Alah,temankan sekejap aje. Kata tadi rindu, nanti bolehlah kita berdua-duaan dalam kereta.” Dengan penuh intonasi Puan Khalsom memujuk si anak bujang. Ini yang payah kalau kereta rosak. Nak pergi mana-mana, memang patah kaki.
“Rindu nak tengok muka mama aje, bukan rindu nak kena buli jadi driver mama,” balas Rayyan malas. Baru ingat nak layan tengok video minah senget tu sambil guling-guling atas katil sampai terlelap. Mama pula sibuk ajak keluar.
“Kalau bukan along yang mama buli, mama nak buli siapa lagi. Nak buli papa, papa tak tak ada, jauh. Kesian mama, semua lelaki yang boleh dibuli dalam rumah ni jarang-jarang nak ada dekat rumah.” Puan Khalsom memujuk lagi. Memang hanya Rayyan saja yang boleh dijadikan
mangsa sebagai pemandu peribadi sekarang ni. Myra tengah sibuk nak belajar, katanya exam dah dekat. Nak harapkan si suami? Bukannya selalu ada di rumah. Kerja offshore, sebulan di darat dan sebulan di pelantar. Kalau nak tunggu balik, alamatnya sebulanlah tak jenguk pusat membeli-belah atau supermarket.
Puan Khalsom sengaja buat muka ala-ala sedih dan kasihan. Nak menagih simpati anak bujangnya itu. Satu-satunya anak bujang yang dia ada. Hanya Rayyan Hafizi dan Nur Myra Nafeesa sajalah anak-anak yang dia ada. Dua beradik yang jauh jarak usianya. Rayyan dah masuk 32, manakala Myra pula baru nak menginjak 19 tahun. Lepas melahirkan Rayyan, dua kali dia mengalami keguguran. Disebabkan itulah apabila kandungannya
mencecah dua bulan sewaktu mengandungkan Myra, terus saja dia berhenti kerja. Tidak mahu kempunan lagi. Dan nampaknya, alhamdulillah.
Umur Myra panjang dan dapat juga dihadiahkan Rayyan seorang adik perempuan. Walaupun perbezaan umur 13 tahun, tapi sekurang-kurangnya tak adalah Rayyan tu sunyi tak ada adik-beradik.
“Mama dah lama tak keluar dengan along. Asyik-asyik kerja, lepas tu hari minggu pun dah jarang balik sini. Sesekali nampak muka, apa salahnya tolong mama jadi driver. Nanti mama belanja makan aiskrim dekat Baskin-Robbins ke, dekat Häagen-Dazs ke.” Macam-macam lagi ayat versi memujuk keluar dari mulut Puan Khalsom. Dipancing pelbagai imbuhan macamlah Rayyan ni budak kecil. Selagi tak kata ya, selagi itu dia memujuk sampaikan Rayyan akhirnya terpaksa mengalah, naik atas ambil kunci kereta dan bawa mamanya keluar.
Walaupun agak keberatan, tapi terpaksalah juga Rayyan setuju sebab memang dah tak ada orang lain lagi yang boleh nak temankan mama. Myra sibuk nak belajar, pemandu pula bukannya ada. Jadi tak lain tak bukan, memang dia ajelah yang boleh jadi pemandu peribadi mama sekarang ni. Hisy, kalau dia tahu tadi, balik kondo terus lagi bagus. Bila dah puas tidur, baru datang sini jenguk mama. Tak dapat nak layan video minah senget tu lama-lama.
Huh! Last edited by wannienordin on 20-2-2014 12:58 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
*****
RAYYAN menutup mulut. Menahan kuap yang entah ke berapa kali. Sudahlah sememangnya dia dari tadi memang dah mengantuk, temankan mama duduk dekat sini berjam-jam lagilah buat mata ni tambah-tambah berat. Silap-silap hari bulan boleh berdengkur dekat sini jugak.
Dia berjalan mundar-mandir. Sebagai satu cara untuk hilangkan rasa mengantuk. Sesekali mengangkat tangan kiri dan melihat jam di pergelangan tangan. Aduh, berapa lama mama nak duduk dalam kedai emas tu? Dah dekat 45 minit duduk ke hulu ke hilir menunggu ni, tak sudah-sudah lagi ke? Barang kemas apa yang mama nak beli sampai pilih lama sangat ni? Inilah yang dia paling bosan kalau ikut mama pergi shopping. Bila dah masuk kedai emas, memang tak ingat nak balik. Kadang-kadang nak beli setakat satu cincin pun boleh jadi sampai dua tiga jam. Dulu pernah
sekali terkena, langsung tak nak temankan mama bila dengar nak datang sini. Tapi tadi mama tak cakap pula nak datang kedai Uncle Azmi nak beli barang kemas. Ini mesti kes mama tahu dia takkan nak ikut kalau tahu mama nak datang kedai ni. Sebab tu sengaja tak nak cakap awal-awal. Isy, mama ni.
Bila dah penat jalan kiri kanan, akhirnya Rayyan melangkah masuk semula ke dalam kedai emas CT Jewellery. Tadi dia dah duduk dan belek-belek barang dengan mama. Bila bosan, dia keluar jalan-jalan dekat luar. Sengaja cuci-cuci mata tengok-tengok apa yang ada dekat kedai dalam pusat membeli-belah ni. Tapi ini dah lama tunggu dekat luar pun tak sudah juga, nampaknya terpaksa masuk balik. Kena bagi signal dekat
mama suruh cepat sikit ni. Kemengantukan yang teramat sangat dah ni!
“Mama, lori yang bawak emas tak sampai-sampai lagi ke? Tersekat dekat jalan mana?” soal Rayyan sebaik saja dia duduk di sebelah Puan Khalsom.
Puan Khalsom mengerutkan dahi. Rantai tangan yang tengah dipegang diletakkan semula di atas meja cermin. “Lori emas?”
Rayyan mengangguk. “Yalah, dari tadi tak sudah-sudah lagi duduk dekat sini. Bukan tengah tunggu lori bawak emas ke? Atau tengah tunggu tukang emas tu cairkan mas dulu?”
Puan Khalsom menjeling manja. Oh, soalan perli rupanya.
“Kejaplah. Tengah nak tengok design macam mana yang nak tempah rantai ni.”
Rayyan mencebik. Dia bangun dan menukar tempat duduk. Sengaja pilih kerusi yang hujung sekali sebab manalah tahu boleh letak kepala dan layan tidur dua tiga minit. Kejaplah katanya. Dari tadi pun kata nak singgah kedai emas ni kejap saja, tapi tahu-tahu dah dekat sejam bertapa dekat sini. Kejap konon. Mama tak tahu ke tahap kebosanan dah naik sampai level maximum dah ni. Tahap berat mata nak tertutup dah sampai calit paling tinggi dah ni. Kalau dekat rumah sekarang ni, dah tentu tengah sedap bergolek atas katil. Dah pasti tengah seronok layan tahi mata sambil tersengih-sengih membayangkan muka minah senget. Bayangkan aksi dia tengah buat head banging, bayangkan tangan dia yang melambai dan
bayangkan senyuman manis waktu dia hadiahkan flying kiss. Lagi best kalau dapat bayangkan dia dalam pe...luk...an. Aik?
Mata Rayyan tiba-tiba membulat. Kelopak mata yang tadinya layu dan kuyu tiba-tiba menjadi cerah dan terang. Tidak berkelip dia melihat susuk tubuh yang baru saja melangkah masuk ke dalam kedai emas tersebut. Gadis berambut panjang melepasi bahu, berbaju kemeja kotak-kotak merah jambu dan berseluar jean putih paras bawah lutut.
My flying kiss girl!
Rayyan pandang dengan penuh tekun. Gadis itu dengan langkah yakin masuk ke dalam kedai lalu menyapa dua tiga orang pekerja kedai yang ada. Dia kemudian datang menghampiri lelaki dan perempuan yang sedang melayani Puan Khalsom lalu dihulurkan tangan untuk bersalaman. Dia tunduk lalu mencium tangan kedua-dua pasangan lelaki dan perempuan tersebut. Eh? Minah ni nak beli barang kemas sampai cium tangan tauke kedai ke?
Rayyan bangun dari tempat duduknya dan kembali duduk di sebelah Puan Khalsom. Sengaja nak duduk dekat sikit biar dapat dengar suara minah ni bercakap.
“Siapa yang ikut sekali?” Dengar suara Abang Azmi merangkap tuan yang empunya kedai bertanya pada gadis tersebut.
“Semua! Zubai, Azrul, Anis, Hani, Nizam dengan Ayun. Malam ni balik Pandan Perdana terus tau. Kereta orang pulangkan esok,” balasnya.
“Siapa yang nak drive?” soal Abang Azmi lagi.
“Azrullah. Orang taulah abang tak percaya kalau orang yang bawa Estima tu.”
Rayyan dengar Uncle Azmi dan Aunty Basirah, isteri Uncle Azmi ketawa kecil apabila dengar perempuan itu menjawab begitu. Tak tahulah apa yang kelakar sebab Rayyan sendiri tak faham apa sebenarnya yang tengah dibualkan oleh mereka bertiga tu. Lepas pada tu Rayyan tengok Uncle Azmi seluk kocek seluar dan mengeluarkan kunci. Diberi pada gadis tersebut. Perempuan tu pun turut memberikan kunci. Kunci masing-masing saling bertukar tangan.
“Esok nak pulangkan kereta bawak datang sini terus. Jumpa dekat kedai aje.” Abang Azmi bersuara bila kunci sudah saling bertukar.
“All right, boss.” Dengan ceria gadis itu menyambut. “Okeylah, dia orang semua tengah tunggu dekat atas. Pergi dulu eh… jumpa esok.” Gadis itu menghulurkan tangannya. Sekali lagi dia bersalaman dengan pasangan suami isteri tersebut.
Sebelum dia melangkah pergi, sempat juga dia hadiahkan senyuman lebar pada Puan Khalsom sambil menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat. Melempar sekilas pandangan pada Rayyan yang berada di sebelah Puan Khalsom dan kemudian terus saja melangkah keluar dari kedai tersebut.
Rayyan hanya terkebil-kebil melihat sedikit demi sedikit bayangan gadis flying kiss tersebut menghilang. Hari ni dia tak ingat nak bagi flying kiss dekat aku ke?
“Siapa tadi tu, Azmi?” Apabila Rayyan dengar mama bertanyakan soalan tu pada Uncle Azmi, cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya ke wajah lelaki yang berusia mungkin dalam awal 50-an.
“Adik bongsu saya.” Ringkas jawapan yang diberikan. Namun jawapan yang ringkas tersebut membuatkan jantung Rayyan macam berdegup kencang. Adik bongsu Uncle Azmi? Kenapa selama ni aku tak pernah tahu pun yang Uncle Azmi ada adik perempuan yang cantik dan comel?
Mama dah lama jadi pelanggan tetap dekat sini, tapi kenapa sebelum-sebelum ni tak pernah terserempak pun dengan perempuan tu masa temankan mama beli barang kemas.
“Dia datang nak tukar kereta. Nak pakai Estima, kereta Myvi dia tinggal dekat sini. Tak muat nak sumbat ramai-ramai. Entah apa projek dia dengan sepupu- sepupunya ntah. Tengok wayanglah, karaokelah, bolinglah. Kalau dah berkumpul tu memang macam- macam aktiviti budak-budak tu.”
“Adik Uncle Azmi tu memang suka karaoke ke?” Kali ni Rayyan pula yang tiba-tiba mengambil alih peranan daripada mamanya bertanya.
“Memang gila menyanyi. Suara bukan sedap sangat pun tapi over aje lebih,” jawab lelaki tu dengan tersengih-sengih.
Memang over pun uncle. Siap panjat-panjat meja! Rayyan mengata dalam hati.
“Adik uncle tu, dah kahwin?” soal Rayyan lagi.
“Hisy, along ni. Ada ke tanya soalan macam tu?!” Puan Khalsom cepat-cepat menyampuk bila mendengar soalan Rayyan.
“Kenapa pulak? Salah ke? Dia dah ada suami ke,uncle?”
Abang Azmi tak terus menjawab soalan Rayyan. Nampak dari riak muka macam ada terkejut jugalah bila dengar soalan yang muncul dari mulut Rayyan tu.
“Tak ada suami, tapi…”
“Tapi dah ada boyfriend?” Rayyan menyampuk kata-kata yang belum habis.
“Ya Allah, Rayyan!” Puan Khalsom menepuk kuat bahu anak bujangnya. “Apa benda tanya soalan merepek-repek ni?”
Rayyan gosok bahu yang dipukul oleh mamanya. Bukan main kuat mama pukul. Panas dan berdesing rasanya. Apa benda pulak mama tiba-tiba nak pukul tak tentu pasal ni. Betullah soalan dia tu tadi.
“Ini mesti kes dah bosan sangat sampai entah apa benda merapu yang dia nak bertanya. Dahlah, jom kita balik. Azmi, Basirah, kiranya ikut ajelah pattern yang macam tadi tu. Bila dah siap rantai tu, telefon. Nanti akak datang ambik.” Puan Khalsom sudah mula angkat punggung. Dia mencuit lengan Rayyan. Tanda mereka sudah mahu beredar.
“Maaflah Rayyan ni. Dia memang macam tu. Pakai main redah aje semua benda ikut selamba dia.”
Abang Azmi dan Kak Basirah ketawa. “Alah, samalah dengan Aireen tu. Kadang-kadang kepala otak dia pun tak betul jugak,” balas Kak Basirah.
Hah? Aireen? Siapa Aireen? Gadis flying kiss tu nama dia Aireen eh?
Rayyan ingat nak tanya siapa Aireen tu. Tapi tak sempat. Mama pula yang cepat sangat bangun dan nak balik. Lagipun kalau dia tanya kang, takut mama syak bukan-bukan pulak nanti. Nampak sangat berminat nak tahu pasal adik Uncle Azmi ni. Lagipun tak apalah, sekurang-kurangnya dia dah tahu yang gadis flying kiss tu tak ada suami. Itu yang paling penting, kunci kepada peluang untuk dia ke peringkat seterusnya. Kalau setakat ada boyfriend, itu tak ada hal.
Lepas pada bersalam dengan pasangan suami isteri tersebut, terus saja Rayyan ikut jejak mama keluar dari kedai. Walaupun rasa sedikit tak puas hati sebab banyak lagi dia nak korek dan tanya pasal adik perempuan Abang Azmi ni, nampaknya terpaksalah dipendamkan sahaja.
Alah, tak apa. Dah tahu dah abang dia ada buka kedai emas dekat sini. Lain kali boleh datang lagi. Lepas pada ni kalau mama nak datang beli rantai, cincin atau gelang hari-hari pun dia sanggup jadi tukang teman. Dengan syarat, gadis flying kiss tu pun datang sini juga.
Yes! Last edited by wannienordin on 20-2-2014 01:09 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
4
SIARAN televisyen dimatikan. Suis kipas di dinding diperlahankan sedikit. Dia berdiri tegak sambil memerhatikan dua orang anak muda yang sedang seronok memeluk bantal tidur masing-masing. Seketika tadi, bukan main rancak kedua-duanya itu berbicara tentang filem yang sedang
ditayangkan, tapi entah macam mana kerancakan itu tiba-tiba digantikan dengan bunyi dengkuran kecil.
Sekejap betul boleh tertidur dan hanyut dalam mimpi. Orang tengah nak layan movie, dia orang boleh buat filem dalam mimpi pulak. Bosan betul!
Aireen memerhatikan dua orang sepupunya yang sedang lena itu. Mula-mula melihat Hanisa yang tengah memeluk kejap bantal peluk yang menutup hampir separuh muka. Mata dengan hidung tak nampak, hanya mulut saja yang dibiar tak bertutup. Boleh bernafas ke budak ni tutup muka sampai macam tu sekali? Kemudian dia perhatikan pula Anis yang tidur bersebelahan Hanisa. Cara tidur Anis nampak lebih tenang dan aman. Perlahan saja nafasnya turun naik. Cara tidur pun memang dah melambangkan perangai masing-masing. Memang realitinya Hanisa ni lebih ganas dan kasar daripada adiknya Anis. Puas perhati orang tidur, dia melepaskan sedikit keluhan lalu melangkah perlahan. Membetulkan kain selimut yang dah tercampak ke tepi lalu diselimuti kedua-duanya. Dengan berhati-hati dia menapak menuju ke bilik tidur. Tidak mahu membuat sebarang
bunyi yang boleh mengganggu tidur sepupu-sepupunya itu. Kasihan mereka, dah penat sangat nampaknya.
Masuk ke dalam bilik, Aireen menyalakan lampu tidur. Dibuka kipas lalu dia berbaring. Terkebil-kebil memandang ke arah tingkap bilik yang diterangi cahaya malap dari tiang lampu di luar. Mengharapkan agar matanya segera tergoda untuk tidur. Tapi malangnya, beberapa minit yang berlalu, kelopak matanya ternyata masih terlalu segar untuk dibawa ke alam mimpi. Aireen membaca sedikit selawat. Memejamkan mata dan mengarahkan pusat otak agar segera memberi arahan kepada mata untuk tidak terbuka lagi.
Tidur. Tidur. Jangan fikir apa-apa lagi. Baca doa tidur, pejam mata dan berdengkur! Please… Dia mengharapkan belas kasihan pada
diri sendiri. Esok dia perlu bangun awal dan bersiap untuk ke pejabat. Namun sayang, otaknya tidak mampu menyampaikan arahan dengan berkesan kepada mata. Cemburunya dia pada sepupu-sepupunya yang sedang enak tidur di luar. Tidur di atas simen dan hanya beralaskan tilam toto saja sudah cukup untuk hanyut ke alam mimpi. Sedangkan dia? Selesa di atas katil pun tidak mampu hendak mengajak mata ni tidur. Geramnya!
Macam manalah mata ni nak tidur kalau hati tengah resah? Jangan kata atas katil dalam bilik, kalau tengah baring atas tilam emas pun belum tentu boleh mententeramkan hati untuk tidur. Ini semua gara-gara terserempak dengan ‘orang tu’ siang tadilah. Aduh… kenapalah
tiba-tiba hari ni boleh ternampak kelibat dia pulak? Kan dah tak pasal-pasal tak boleh tidur malam. Sakit hati betul!
Siang tadi, aktivitinya memang penuh. Pagi-pagi dah keluar pergi stesen bas ambil Hanisa dengan Anis yang baru sampai dari Pulau Pinang. Kedua-duanya baru habis belajar dan datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Jadi buat sementara waktu ini, mereka berdua akan tumpang menyewa sekali di sini. Alah… kalau nak menyewa terus bila dah dapat kerja pun boleh sangat. Rumah ini hanya didiami oleh diadan sepupunya yang lain iaitu Zera. Lagipun sudah sememangnya jika Hanisa dan Anis ke KL, mereka akan menumpang tidur dan lepak di sini. Lagi ramai yang berkongsi bayar sewa, lagi jimat duit! Selepas mengambil Hanisa dan Anis, mereka tak balik ke rumah sebaliknya terus menuju ke butik
Zubaidah. Di sana selain daripada Zubaidah, sudah setia menanti kedatangan mereka bertiga ialah suami Zubaidah si Azrul dan juga sepupu mereka, Ayun dan suaminya, Nizam. Mereka memang dah berjanji nak berkumpul di sana dan keluar beramai-ramai. Berkumpul di butik Zubaidah lebih senang, nak tukar kereta dengan Abang Azmi pun dekat saja. Butik Zubaidah dan kedai emas Abang Azmi terletak dalam satu bangunan yang sama. Kedai Abang Azmi di tingkat bawah manakala butik Zubaidah di tingkat dua. Tetapi selalunya dia lebih banyak habiskan masa melepak di butik Zubaidah dari kedai Abang Azmi. Duduk kedai emas, bosanlah.
Bila dah dapat tukar kereta, aktiviti mereka bertujuh terus saja bermula. Pertama sekali pergi window shopping dekat Pavilion, lepas tu tengok wayang. Lepas tengok wayang, pergi makan dan seterusnya acara wajib keluarga mereka, karaoke! Inilah yang seronoknya bila keluarga besar. Sini saudara, sana saudara. Almaklumlah adik-beradik sebelah ibunya ramai. 13 orang semuanya. Jadi bila purata seorang pak cik atau mak cik ada tiga orang anak, bila dicampur semua tak ke cecah hampir 40 orang semuanya? Itu belum campur sepupu sepapat sebelah ayah lagi. Such a big
family!
Bila dah berkumpul dan melepak bersama, memang seronoklah jadinya. Tapi yang merosakkan keseronokan tersebut ialah apabila dia bertembung dengan seseorang. Seseorang yang memang kalau boleh sampai tua atau sampai mati pun dia tak nak tengok muka dah. Sudah lama dia tidak melihat wajah orang tu, sudah bertahun dia tak ingat lagi tentang bayang-bayang orang tersebut, tapi hari ni boleh terserempak
pula. Hari ni, boleh nampak muka pula. Membuatkan hati yang seronok menjadi duka. Menjadikan hari yang gembira bertukar sedih. Aduh… bahagianya ‘dia’.
Resah dan gelisah hati ni bila menyaksikan kebahagiaan orang tersebut. Kenapa mesti dia nampak semua kebahagiaan itu? Mengapa mesti dia menyaksikan segala keromantisan dan kasih sayang yang menyakitkan itu? Dia tidak mahu melihat itu semua. Dia tidak mahu saksikan adegan yang menghiris setiap lapisan hati kecilnya ini. Dia sedih. Ya Allah, kenapa mesti kau pertemukan aku dengan dia hari ini?
Air matanya jatuh menitis. Disapu dengan belakang tapak tangan. Sememangnya air mata tersebut sudah lama ditahan. Semenjak dia melihat wajah itu siang tadi lagi. Dia tidak mahu merosakkan keseronokan sepupunya yang lain hanya kerana episod air matanya yang seharusnya sudah bertahun kering. Mereka yang lain tidak tahu akan kewujudan orang itu siang tadi. Mereka tidak perasan kehadiran orang tersebut sewaktu
sedang menjamu selera di McDonald’s petang tadi. Memang sengaja dia tidak memberitahu mereka semua. Biarlah. Untuk apa dia menyatakan tentang kehadiran orang yang hanya akan merosakkan suasana. Biarlah hanya dia saja yang menyaksikan drama kebahagiaan orang tersebut. Biarlah hanya dia saja yang memendam rasa melihat senyuman manis mereka semua. Biarlah. Biarpun hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana terseksanya dia menahan itu semua.
Dia menarik nafas sedalam-dalam yang boleh. Air mata yang mencurah-curah sedaya upaya ditahan dan diseka agar tidak lagi mengalir. Sudah terlalu banyak rasanya air matanya ini dibazirkan untuk orang tersebut. Cukup-cukuplah. Dia tidak mahu begitu lagi. Bukankah dia sudah berazam untuk melupakan terus orang tersebut? Bukankah dia sudah menanam segala semangat untuk memulakan hidup baru? Jadi mengapa mesti ditumpahkan lagi air mata untuk dia? Orang yang tidak tahu menghargai cinta, orang yang tidak tahu menghargai kasih sayang dan orang yang tidak
tahu hendak mendalami sebenar-benarnya erti cinta.
Tak berbaloi! Tak berbaloi air mata dan sedu-sedan ini mengenangkan dia… Lelaki paling kejam!
Dia harus melupakan sepenuhnya orang itu. Dia perlu memadam terus segala ingatan tentang orang tersebut. Wajahnya, senyumannya dan apa-apa saja. Lantaklah orang tu tengah bahagia, gembira, suka, ketawa, menangis, sakit, sihat, semuanya tak ada kena-mengena dengan dia lagi! Siti Aireena, sesungguhnya kau kena kuatkan semangat dan hilangkan terus semua ingatan tentangnya. Bagi kau, orang itu tak pernah wujud dan tak pernah hadir dalam hidup.
Wahai lelaki… nama kau pun tidak lagi teringin untuk aku menyebutnya. Apatah lagi hendak mengingati wajahmu. Oleh itu, ya Allah, bantulah aku untuk memastikan bahawa dia takkan menjelma lagi walau hanya dalam mimpi untuk selama-lamanya! Last edited by wannienordin on 20-2-2014 11:25 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
5
RAYYAN mengetuk-ngetuk meja dengan hujung jari. Tangan sebelah kiri, digunakan untuk menampung kepala. Sudah beberapa
minit dia berada dalam keadaan begitu. Hati tengah bosan, kepala tengah pening, jiwa tengah bercelaru. Susah… Susah… Kenapa susah sangat pulak ni?
Dia kemudian duduk bersandar. Disilangkan kedua-dua belah tangan. Namun pandangan masih lagi dihalakan pada tempat yang sama. Di atas meja, pada skrin telefon bimbit. Merenung dan memerhati wajah yang sedang memenuhi seluruh skrin telefon tersebut. Sudah lebih 15 minit, wajah tersebut masih lagi setia menemaninya. Menemani kegusaran hati yang sudah berhari-hari melanda. Macam ayam berak kapur. Kejap-kejap dia buka lepas tu tutup. Baru saja ditutup, dia membukanya semula. Asyik on-off saja muka orang di dalam skrin itu.
Kenapa bila aku pergi, kau tak muncul-muncul pula? Hari tu bukan kau cakap nak pulangkan kereta ke? Dari pagi tunggu, tak nampak batang hidung pun. Rayyan bercakap sendiri dengan telefon bimbitnya. Macamlah orang yang dekat dalam skrin tersebut boleh membalas semula apa yang dia cakap tadi. Tapi dia tak habis di situ saja, macam-macam lagi yang dia bualkan dengan orang tu. Dia tak puas hati! Dia tak senang duduk. Dia mahukan jawapan. Kenapa tak muncul? Kenapa tak datang kedai emas? Kenapa buat dia tertunggu-tunggu? Kenapa bagi flying kiss yang berhantu ni? Berhantu sampai berminggu-minggu dia macam orang gila asyik terbayang-bayang. Adakah layangan flying kiss tempoh hari dihantar bersama-sama dengan mantera santau hingga membuatkan dia jadi kemaruk tak tentu arah sebegini teruk.
Kelmarin, dia menunggu depan kedai dari masa kedai emas tu belum dibuka lagi. Ikut jadual pukul 10.00 baru buka kedai, pukul 9.45 dia dah datang bersarapan dekat kedai makan berdepan dengan kedai emas itu. Semata-mata sebab tak tahu pukul berapa sebenarnya gadis flying kiss tu nak pulangkan kereta abangnya. Takut terlepas pula kalau datang lambat. Tapi tunggu punya tunggu, tak muncul-muncul juga. Daripada sarapan pagi sampailah tauke kedai makan nak hidangkan makanan tengah hari, masih juga orang yang dinanti tidak kunjung tiba. Tak larat nak tunggu,
dia balik. Tapi esoknya dia datang lagi. Kali ini dia datang tengah hari sikit. Waktu-waktu yang lebih kurang sama macam dia datang dengan
mama tempoh hari. Manalah tahu perempuan tu memang suka datang waktu-waktu yang begitu. Dia datang, masuk dalam kedai emas dan buat-buat macam nak beli barang kemas. Mula-mula tengok cincin, lepas tu belek rantai pula, kemudiannya melihat gelang, subang, rantai tangan, rantai kaki, semuanyalah dia suruh pekerja kedai tu keluarkan. Sampaikan budak yang layan dia tu bertanya barang apa sebenarnya yang dia nak beli? Nasiblah agaknya mereka semua memang dah tahu yang mama merupakan pelanggan tetap kedai emas tersebut. Kalau tak, mesti dah malas
melayan.
Bila dah duduk berjam-jam dan semua benda dia dah tengok, tapi kehadiran orang yang dinantikan tak juga menjelma. Bila ditanya budak-budak kedai tu tentang adik Uncle Azmi, semuanya macam tak nak layan. Kita tanya dia selalu datang ke tak, dia orang jawab sepatah, bolehlah. Tanya lagi tahu tak dia akan datang ke tak, jawabnya sepatah lagi, tak tahu. Lama-lama penat nak bertanya lagi. Kalau Uncle Azmi atau Aunty Basirah ada, kan
bagus? Boleh tanya terus pada mereka berdua. Ini tuan punya kedai pun langsung tak tak nampak kelibat. Kecewa betul! Akhirnya untuk ambil hati pekerja yang penat melayan, terpaksalah dia korbankan duit beli cincin. Beli untuk siapa pun dia tak tahu. Demi nak tunggu perempuan, tak pasal-pasal duit beribu melayang. Mahal pulak cincinnya, mencecah dua ribu lebih! Tak pernah-pernah dibuat kerja bodoh macam ni.
Yang bendul pergi beli cincin mahal buat apa? Beli ajelah cincin yang harga dua tiga ratus. Aku pun bengong jugak!
Dan hari ini dia muncul lagi di sana. Memang masa mula-mula tu dia tak mahu pergi. Dia penat nak jadi penunggu. Dia tak biasa jadi orang yang berhari-hari rindukan wajah seseorang. Tapi tak tahulah kenapa tiba-tiba dia boleh memandu juga ke sana. Tahu-tahu saja dia dah jejakkan kaki ke dalam bangunan pusat beli-belah tersebut. Tapi kali ni, dia hanya tunggu dari jauh saja. Duduk di bangku yang disediakan berhampiran dengan kedai emas tersebut. Hati memang teringin sangat nak masuk dalam kedai dan bertanya tentang kehadiran perempuan tu. Tapi takut pula kalau-kalau dia masuk, tak pasal-pasal habis lagi duit membeli entah apa-apa barang. Lagipun takut juga yang dia akan mengkantoikan diri sendiri bila dah masuk dalam tu. Nampak desperate sangat nak cari perempuan. Mana boleh. Imej jejaka maco mesti kena tetap dipelihara. Jadi kesimpulannya tiga
hari berturut-turut dia pergi, ketiga-tiganya menemui kehampaan.
Eh, minah, kau ni dah pulangkan kereta abang kau tu ke belum, ha? Penat aku tunggu berhari-hari dekat situ sampai sakit punggung ni tau. Geram betullah!
“Bro!” Bahu Rayyan dicuit dan terdengar suara garau menyapa.
Rayyan mengangkat muka. Susuk tubuh yang kurus tinggi melemparkan senyum. Ditarik kerusi berdepan dengan Rayyan lalu menghempaskan punggung perlahan.
“Apa benda yang kau bercakap dengan handphone tu? Nak kata handsfree tak dengar pulak suara dalam telefon tu.”
Rayyan cepat-cepat mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Takut kantoi pula dia tengah bercakap sorang-sorang dengan orang dalam video.
“Tak ada apa-apalah. Aktiviti pentomin bila tengah bosan tunggu orang lambat,” jawab Rayyan sambil memasukkan telefonnya ke dalam kocek seluar.
Zairee ketawa. Tahu yang Rayyan memerlinya sebentar tadi. “Aku balik rumah dulu, itu yang lambat sikit. Ingatkan yang lain-lain dah sampai, rupanya dia orang lagi lambat? Sorry, bro. Kalau tahu aku running terus dari ofis tadi, tak balik rumah dulu.”
“Kau balik rumah, buat apa? Bukan ada bini yang tengah tunggu pun!” balas Rayyan dengan suara tak puas hati. Sibuk balik kerja nak singgah rumah dulu. Terus datang sini aje, kan boleh? Dah janji nak lepak makan malam sama-sama hari ni, tapi masing-masing tak tunjuk muka lagi. Semuanya kaki datang lambat. Janji pukul 8.30, nak masuk pukul 9.00 tak sampai-sampai lagi. Terutamanya Saiful, dia kalau berjanji tak pernahlah nak tepat. Bersiap memang macam orang perempuan!
“Relakslah, bro. Jangan marah-marah. Baru lambat sepuluh minit. Kau masam muka, kerut-kerut dahi macamni, tak handsomelah. Muka macam orang banyak masalah ni.” Zairee cuba nak sejukkan hati Rayyan yang tak puas hati.
“Cuba tonjolkan muka maco kau tu. Baru maintain imej playboy Rayyan Hafizi.” Zairee berseloroh.
“Oh ya, ada budak perempuan dekat ofis aku kirim salam. Dia terpikat tengok muka kau masa dekat rumah aku hari tu.” Zairee tersengih-sengih.
Rayyan tak layan langsung ayat-ayat Zairee tu. Dah lambat, nak sebut-sebut perkataan handsome, maco tu semua pulak. Lepas tu siap cakap ada orang kirim salam. Ingat berminat sangat ke nak dengar benda-benda tu semua sekarang ni? Dia tak tahu ke kepala otak aku tengah tension? Memang tengah ada masalah. Daripada bagi ayat-ayat tak guna tu baik tolong selesaikan masalah aku. Tapi macam mana pulak Zairee nak tolong? Dia bukannya kenal si minah flying kiss.
Eh, apa pulak? Kan masa perempuan tu bagi flying kiss ni dekat balkoni rumah Zairee? Entah-entah minah ni jiran Zairee tak?
“Zairee, kau boleh tolong aku satu benda tak?”
“Apa?”
Rayyan mengeluarkan telefon bimbitnya. Didekatkan dengan Zairee. Dibuka rakaman video yang sudah berulang-ulang kali dimainkannya sebelum ini.
“Kau tengok budak perempuan ni, kau kenal tak? Jiran kau ke?” Terus rakaman video tersebut dimainkan. Bila betul-betul bahagian perempuan tu tengah bagi flying kiss, terus Rayyan tekan butang pause.
“This flying kiss girl, kau kenal tak?” soalnya dengan penuh mengharap.
Zairee perhati beberapa saat wajah yang tertera di skrin tersebut. Dia menggelengkan kepala. “Dulu neighbour depan balkoni rumah aku ni
orang putih. Tapi dia dah pindah bulan lepas. Kalau tak silap aku, yang ganti masuk budak India. Bukan Melayu.”
“Maksudnya, budak India yang tengah menyanyi ramai-ramai ni kawan dialah kut. Kau tolong tanyakan boleh? Kau tanya jiran baru kau tu, betul ke nama budak perempuan ni Aireen? Lepas tu, kau tolong mintakkan alamat rumah ke, tanya dia kerja dekat mana, nama akaun Facebook dia ke, tapi paling best kalau kau boleh dapatkan nombor telefon dia.”
“Woo… Woo… Woo…” Zairee cepat-cepat mengangkat sebelah tangan. “Kau nak suruh aku tanya semua benda tu?”
“Yalah!”
“Aku?” Zairee sekali lagi menyoal sambil jari telunjuk ditujukan ke dahi sendiri.
Rayyan pandang muka Zairee tiga empat saat lepas tu dia mengeluh. Diambil semula telefon bimbitnya lalu duduk bersandar.
“Itu pun tak boleh. Bukan nak suruh kau mengurat, tolong tanyakan aje. Nanti aku pandai-pandailah mengurat minah flying kiss ni.”
Zairee turut menyandarkan badan. Dia ketawa. “Minah flying kiss… nampak macam interested sangat nak berkenalan ni.”
“Memang pun!” Rayyan membalas pendek tapi penuh semangat. “Dah macam orang gila terkena santau flying kiss minah ni. Tension betul!”
Zairee ketawa besar sikit dari tadi. Rayyan, kalau bab perempuan memang nombor satu. Pantang nampak perempuan comel sikit, dah sibuk nak berkenalan. Tak boleh tengok perempuan cantik sikit, dah beria-ia nak nombor telefon. Tapi sepertimana dia begitu cepat berkenan dan suka nak berkenalan dengan perempuan, secepat itu jugalah dia akan bosan dan beralih berkenan pada yang lain. Masa nak kenal bukan main bersungguh-sungguh, nanti bila dah kenal dan berkawan, langsung tak heran nak pandang dah.
Zairee tengok muka Rayyan yang nampak kecewa bila dia tak beri kata setuju nak tolong tanyakan pada jirannya tentang minah flying kiss tu. Bukannya dia tak nak tanya, tapi dia memang tak pandai kalau bab-bab macam ni. Lagipun dia malaslah nak campur tangan dalam hal-hal Rayyan dengan perempuan ni. Kang nanti bila dia tolong tak pasal-pasal budak perempuan tu cari dan salahkan dia pulak bila dah kena tinggal nanti. Sudahlah Rayyan ni memang jenis tak boleh percaya. Rayyan dengan Fahmi. Samalah dua-dua orang tu.
“Hah, tu Fahmi dah sampai,” kata Zairee apabila ternampak kelibat Fahmi yang mengangkat tangan dari jauh.
Rayyan hanya buat tak tahu.
“Hello, guys! Sorry lambat,” tegur Fahmi sebaik saja dia sampai. Dia menarik kerusi dan duduk betul-betul di sebelah Rayyan.
“Tak apa, macam biasa ada orang yang lagi lambat. Epul tak sampai-sampai lagi!” kata Zairee menyambut kehadiran Fahmi.
“Dia dah sampai. Aku bertembung dengan dia dekat parking tadi. Tengah borak dengan dua tiga orang budak perempuan. Katanya kawan-kawan satu gim.”
“La… dah sampai ke? Apasal borak dekat parking lot pulak?” soal Zairee pada Fahmi.
“Entahlah. Tengah gosip-gosip apa agaknya. Bukan main sakan berborak! Aku ingat nak join sekali dekat luar tu, tapi Epul suruh aku masuk dulu. Takut sangat aku nak cucuk jarum dengan kawan-kawan dia tu. Entah apa-apa Epul ni, tak sporting langsung!” Fahmi bersungguh-sungguh bercakap.
“Hah, tu… tu…” Fahmi menunjuk ke arah pintu masuk. “Ray, tengoklah kawan-kawan gim si Epul tu, boleh tahan!”
Rayyan walaupun tidak berminat sebenarnya nak ambil kisah pasal kawan satu gimnasium Saiful ni, tapi dia tetap juga angkat muka bila Fahmi dah bukan main bersemangat suruh tengok. Dia nampak Saiful bercakap- cakap dengan sekumpulan perempuan Melayu, Cina dan India. Berbual beberapa ketika sebelum mereka berpecah. Budak-budak perempuan tu menapak menuju ke meja makan di sebelah kanan manakala Saiful pula mengatur langkah menghampiri meja tempat duduk mereka bertiga.
Dan anak mata Rayyan, langsung tidak mengikut jejak langkah Saiful sebaliknya tertarik memerhatikan empat orang gadis yang baru lepas berbual dengan Saiful tadi. Dia tengok satu per satu dan kemudian, matanya terhenti pada satu susuk tubuh. Dia memandang Zairee dan dengan penuh semangat dia cakap,
“Flying kiss girl!” Last edited by wannienordin on 20-2-2014 11:41 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
6
PUAN KHALSOM melirik pandang ke arah anak bujangnya yang tengah berbaring di atas sofa. Memandang beberapa ketika sebelum
kembali mengalihkan pandangan pada majalah yang dipegang. Menyelak beberapa helaian lalu kembali melirik ke sofa yang berhampiran. Masih lagi
anak bujangnya berada di posisi yang sama. Melunjurkan kaki, memandang ke siling dan sebelah tangan di atas dahi. Demam ke budak ni? Dari tadi monyok dan tak bergerak-gerak.
“Along?” Puan Khalsom memanggil perlahan.
Tiada sahutan.
“Rayyan Hafizi?” Cuba dipanggil dengan menggunakan nama penuh pula. Kali ini nampak susuk tubuh tersebut bergerak. Ingatkan gerakan tersebut sebagai tanda panggilannya didengari. Tapi rupa-rupanya anak bujangnya itu hanya membetulkan kakinya sedikit tanpa langsung menyedari namanya dipanggil. Masih tekun memandang siling sambil mata terkebilkebil.
“Rayyan!” Puan Khalsom mencuit bahu anak. Cepat-cepat anak bujang tersebut mengalih pandangan.
“Ya ma? Mama nak pergi kedai emas eh?”
Puan Khalsom mengerut dahi. Kedai emas apa pulak ni?
“Rantai yang mama tempah hari tu, dah siap?” Rayyan bangun dari perbaringan. Dia memandang mamanya dengan penuh minat.
Puan Khalsom berfikir sebentar. “Tak tahulah. Mungkin esok atau lusa siap kut.”
“Mama try call, tanya dah siap ke belum. Kalau dah siap, along boleh tolong pergi ambik.”
Puan Khalsom kerut dahi lagi. Tengok lain macam pulak Rayyan ni. Sudahlah tiba-tiba dia bangun dan sebut pasal kedai emas. Lepas tu bukan main rajin pula nak ofer diri pergi ambilkan barang. Selalunya kalau nak suruh teman bukan main merungut-rungut.
Bila tengok mamanya hanya kerut dahi, Rayyan bangun dan mencapai telefon bimbit Puan Khalsom yang ada atas meja kopi lalu dihulurkan pada mamanya.
“Mama call Uncle Azmi tanya dah siap ke belum. Kalau dah siap, sekarang juga along pergi ambik!” katanya bersungguh.
Walaupun sedikit pelik dengan sifat kerajinan Rayyan yang tiba-tiba melanda, Puan Khalsom tetap juga mengambil telefon yang dihulurkan. Ditekan punat lalu beberapa saat kedengaran panggilan tersebut dijawab.
“Helo. Itu Basirah ke?” Terdengar suara Puan Khalsom bernada mesra.
“Oh Aireen… Tolong kakak dekat kedai ke?”
Hah, Aireen?! Macam nak terlompat Rayyan mendengarkan mamanya menyebut nama Aireen. Tapi dia sedaya upaya menahan diri. Menunggu sehingga perbualan tersebut dihabiskan.
“Aireen cakap barang baru aje siap. Baru sampai dekat kedai, sebab tu dia orang tak telefon suruh ambik lagi,” kata Puan Khalsom sebaik saja selesai bercakap di talian.
“Kenapa Aireen pulak yang angkat telefon?” Rayyan mengeluarkan soalan dengan penuh minat. Bukan barang dah siap atau belum yang dia nak tahu, pasal Aireen tu yang lebih penting!
“Dia cakap hari ni tolong jaga kedai setengah hari. Staf tak cukup,”
“Setengah hari?” Rayyan mengerling jam pada dinding.
“Along pergi ambik rantai mama tu sekarang!” Rayyan cepat-cepat berlari naik ke atas. Macam lipas kudung gelagatnya.
Puan Khalsom berasa pelik betul melihatkan perangai Rayyan. Entah kenapa dia dapat rasa lain macam bila dengar anak bujangnya itu menyebut nama Aireen. Bila dengar saja nama Aireen, bukan main bersinar- sinar mata anak bujangnya itu.
“Along, mama ikut sekali!”
Bila nampak Rayyan turun tangga, cepat-cepat Puan Khalsom menyatakan hasrat untuk pergi sekali. Nasib baik dia memang dah berbaju elok. Tak perlu nak tukar baju lagi. Hanya capai tudung dan beg tangan, terus berlari mengikut jejak Rayyan yang sudah
masuk ke dalam perut kereta. Tengok gaya Rayyan ni, macam nak terbang. Tak sempat-sempat nak tunggu pintu kereta ditutup, terus saja dia tekan pedal minyak. Entah apa yang dia kejar ni. Last edited by wannienordin on 21-2-2014 12:44 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
*****
KERETA SUV Hyundai Tucson diletakkan betul-betul di hadapan bangunan pusat membeli-belah. Selepas enjin kereta dimatikan, terus saja dia melangkah turun. Tak tunggu mama yang ketinggalan di belakang, terus saja dia melangkah laju menuju ke kedai emas CT Jewellery. Dia tak nak lambat-lambat. Nanti tak sempat. Sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke dalam kedai tersebut, matanya bersinar-sinar. Hatinya menyanyi riang menyaksikan gadis yang ayu berbaju kurung merah jambu yang sedang melayani pelanggan. Yes! Hari ni dapat jumpa dia dekat sini. Ayunya dia berbaju kurung.
Rayyan hanya berdiri tegak. Tadi masa dalam kereta dia dah siap reka satu skrip untuk bercakap dengan minah ni kalau bertembung dekat sini. Tapi tak tahulah kenapa bila dah nampak, tak boleh nak bercakap pula. Jangan kata nak tegur, nak gerak kaki pun tak boleh. Mata ajelah yang terkebil-kebil melihat kelibat orang tu depan mata.
Bahu Rayyan dipukul lembut oleh Puan Khalsom. “Tak tunggu mama, eh… nak kejar apa ni?”
Rayyan hanya tersengih-sengih. Dia memandang perempuan flying kiss tersebut dan kebetulan gadis tersebut sudah selesai melayani pelanggannya. Dia angkat muka dan turut memandang Rayyan. Lebar senyumannya menghiasi bibir. Ya Allah… kenapa tibatiba rasa macam goyang lutut bila tengok perempuan tu senyum? Tak pernah-pernah. Tak playboy namanya kalau macam ni. Bikin malulah!
Rayyan melangkah membuntuti mamanya. Puan Khalsom duduk dan terus saja gadis yang digelar Flying Kiss Girl itu datang mendekati mereka dua beranak.
“Aunty, Puan Khalsom, kan?” soalnya dengan nada mesra. Sambil-sambil itu dihulurkan tangan lalu bersalaman dengan mama Rayyan.
Puan Khalsom mengangguk. Membalas salam gadis itu lalu menjeling sikit pada Rayyan di sebelah.
“Azmi dengan Basirah tak ada?” soal Puan Khalsom.
“Ada. Abang Azmi pergi beli kuih, Kak Basirah ada dekat dalam tengah sembahyang. Aunty datang nak ambil rantai ke?”
“A’ah. Ingatkan nak datang ambil esok. Tapi hari ni ada driver yang tiba-tiba rajin nak tolong ambik pulak.” Sekali lagi Puan Khalsom menjeling Rayyan.
Rayyan hanya tersengih. Dia tahu mama nak perli dialah tu.
Gadis itu turut tersenyum. Sekali lagi memandang Rayyan dan senyumannya dilebarkan. Aduh… kalau senyuman begini yang selalu diberikan kepada pelanggan, nescaya boleh laku beribu-ribu dia jual barang kemas!
“Rantai aunty tu, memang dah siap. Tapi Aireen tak boleh nak ambik sebab Abang Azmi simpan. Kunci dia bawak sekali. Aunty tunggu sekejap sampai dia balik, boleh?”
“Boleh!” Ceh! Rayyan pula yang menyampuk cakap boleh.
Gadis yang membahasakan dirinya Aireen tu tersenyum simpul bila Rayyan tanpa ragu-ragu menjawab bagi pihak mamanya. Dia beralih ke meja hujung lalu membongkok mengambil sesuatu.
“Aunty dah minum? Aunty nak air laici, tebu atau soya?” soalnya sambil menunjukkan tiga kotak air tersebut. Memang ramah betul melayan pelanggan minah ni.
“Soya,” jawab Puan Khalsom.
“Awak?” Gadis itu beralih pandang pada Rayyan.
“Bagi dia air apa-apa aje. Dia bantai semua.” Kali ni Puan Khalsom pula yang tolong jawab bagi pihak Rayyan.
Sekali lagi perempuan tersebut hanya senyum lebar dan meletakkan dua kotak air soya di atas meja kaca. “Jemputlah minum. Air kotak aje.”
Rayyan rasa betul-betul seronok sekarang ni. Hari ni, bukan setakat dapat tengok muka gadis pujaannya dengan jelas, tapi dapat tengok dia senyum banyak-banyak kali, dapat tengok cara dia melayan orang macam mana, dapat dengar suara dia, dapat senyum balik dekat dia dan harap-harapnya akan dapat nombor telefon dia.
“Aireen memang selalu tolong abang dekat kedai ke? Sebelum-sebelum ni tak nampak pulak.” Puan Khalsom nampaknya sengaja nak memulakan perbualan dengan Aireen.
“Taklah. Jarang-jarang. Hari ni ada dua orang staf yang cuti. Tak cukup kakitangan, tu yang abang mintak tolong kejap.” Sambil duduk dengan sopan Aireen menjawab pertanyaan Puan Khalsom.
“Aireen kerja ke? Kenapa tak tolong abang berniaga dekat sini aje?” Nampaknya bukan main rancak Puan Khalsom bertanya macam-macam. Baguslah. Rayyan pun memang penuh berminat nak dengar semua benda-benda tu.
“Kerja. Aireen kerja setiausaha dekat Setiawangsa. Kalau hari cuti barulah datang sini tolong-tolong apa yang patut. Itu pun bukannya selalu sangat. Kalau emergency case macam tak cukup orang hari ni, barulah datang tolong. Nak terus kerja sini dan tolong berniaga sepenuh masa, tak bolehlah. Tak ada bakat berniaga.”
Apa pulak? Tengok bukan main berbakat melayan orang. Kalau tolong dekat sini, mesti boleh laku punyalah. Daripada orang tak nak beli, mesti akan beli semata-mata sebab kau yang layan! Rasa macam nak cakap macam tu aje. Tapi Rayyan tak berani nak cakap depan mama.
“Oh, tu pun Abang Azmi dah balik!”
Seorang lelaki yang baru memasuki kawasan kedai mengangkat tangan pada Puan Khalsom sebaik sahaja melihat kehadiran wanita tersebut. Alamak, kenapa cepat sangat dia ni balik? Tak sempat nak dengar mama interview lagi. Belilah kuih lama-lama sikit.
“Aunty duduk berbual dengan Abang Azmi ya? Aireen mintak diri dulu,”
“Eh? Nak balik?” Puan Khalsom seakan-akan terkejut.
Gadis tersebut mengangguk. “Janji dengan abang tolong jaga kedai kejap aje. Setengah hari, tolong jaga free tak boleh lama-lama,” balasnya dengan senyuman yang memang tidak pernah kering menghiasi bibir. Gadis tersebut mengambil tas tangannya yang diletakkan di bahagian almari belakang. Kembali semula ke tempat Puan Khalsom dan bersalaman dengannya. Turut sama bersalaman dengan abangnya yang kebetulan
sudah berada di situ.
“Aireen balik dulu. Nanti upah delivery Pizza Hut malam ni tau,” katanya ketika bersalaman dengan abangnya.
“Sikit-sikit upah,” balas lelaki tersebut sambil menjentik perlahan telinga gadis tersebut. Mereka berdua sama-sama ketawa. Rayyan yang melihat sudah mula rasa tak tentu arah. Alamak aiii… apasal cepat sangat nak balik ni? Aku baru aje sampai. Tak puas lagi nak tengok muka dan dengar suara kau bercakap ni.
“Okay, aunty. Bye. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Gadis tersebut melangkah keluar. Rayyan genggam tangan sendiri. Tak boleh jadi ni. Takkan macam ni saja? Sia-sialah aku macam Superman
kelam-kabut datang sini tadi. Apa nak buat ni? Nak kejar ke tak? Kang kalau tak kejar sekarang, takut tak sempat pulak kang.
“Ma… mama tunggu kejap, eh? Along nak keluar kejap.”
“Eh? Nak pergi mana pulak ni? Mama kejap aje ambik barang ni.”
“Alah… along ada hal kejap. Mama tunggu. Okay, bye!” Rayyan cepat-cepat cabut lari. Dia takut kalau lama-lama nanti tak sempat nak kejar Aireen. Sementara kelibat dia masih nampak, haruslah dikejar sekarang juga.
Rayyan berlari mengikut jejak Aireen yang nampaknya sedang mengatur langkah hendak keluar dari pintu lobi. Bersungguh-sungguh Rayyan mengejar. Bila keluar dari pintu utama, Rayyan melihat Aireen menghentikan langkahnya. Nampak sedang bercakap-cakap melalui telefon bimbit. Selang beberapa saat, dia selesai bercakap dan masuk semula ke dalam bangunan. Rayyan ingat macam nak pergi dekat dan tegur, tapi tak jadi pula. Macam pelik kenapa bila dah keluar, Aireen boleh masuk balik. Tertinggal barang ke? Daripada berhajat nak menegur, langsung ditukar niat memerhati dari jauh. Nak tengok Aireen ni puas- puas dulu.
Langkah Aireen kelihatan laju berpatah semula dari pintu lobi. Tapi nampaknya dia bukan berpatah semula ke kedai emas tadi. Sebaliknya, langkah diatur masuk ke dalam sebuah restoran. Masih setia mengekori dari belakang ialah Rayyan yang sentiasa memastikan kelibat Aireen tidak hilang daripada pandangan. Dia turut masuk ke dalam restoran yang sama. Dia nampak gadis itu menghampiri sebuah meja di tengah-tengah restoran. Menyapa seorang lelaki yang sedang duduk lalu lelaki tersebut kelihatan riang menyambut kehadirannya.
Alamak… siapa pula watak lelaki tu dalam cerita ni? Ini yang buat hati jadi suspens ni.
Rayyan turut mencari meja yang agak terlindung namun masih mampu memerhati meja Aireen dan lelaki tersebut. Lelaki yang kelihatan kemas berkemeja biru dan berkaca mata. Oh, ini ke sebab kau nak cepat-cepat balik tadi? Ada temu janji ya? Nak dating punya pasal, tolong abang dekat kedai lama sikit pun tak boleh. Sakit hati pulak aku tengok!
Agak lama juga dia menjadi pengintip kedua-dua mereka itu. Aireen dan jejaka misteri itu nampaknya bukan main rancak berbual-bual. Dan perbualan mereka, sesekali diselangi dengan ketawa-ketawa kecil. Rayyan rasa macam nak tahu apalah yang sedang dibualkan oleh mereka berdua tu? Apa yang kelakar sampai Aireen boleh ketawa? Dan apa yang seronok sampai Aireen boleh tersenyum-senyum? Tengok Aireen senyum, rasa macam makin tak tentu arah pula kerana senyumannya itu ditujukan pada orang lain. Hai, bila nak habis makan ni?
Rayyan hanya memerhati dan terus memerhati. Hampir sejam, nampaknya Aireen kelihatan sudah siap sedia untuk mengakhiri sesi makan-makan tersebut. Rayyan dapat lihat Aireen yang sudah mengambil tisu, mengelap mulut dan mencapai tas tangan. Dia juga sudah angkat punggung. Tapi tiba-tiba, lengannya dicapai pula oleh lelaki tersebut. Menyebabkan Aireen duduk semula. Eh, eh, dia pegang tangan Aireen? Ini yang buat darah menyirap ni.
Rayyan perhati dengan tekun lagi. Kali ini perbualan mereka berdua nampaknya tidak semesra tadi. Ada baris-baris serius yang kelihatan pada wajah masing-masing. Jika tadi kedua-duanya sering ketawa dan tersenyum, namun kini hanya riak keseriusan yang ada. Lebih-lebih lagi Aireen. Wajahnya masam mencuka. Makin lama Rayyan tengok, makin keruh muka Aireen jadinya. Lelaki tersebut bercakap-cakap sambil tangannya
semakin kuat menggenggam tangan Aireen. Sesekali percakapannya terganggu dengan bicara Aireen yang nampaknya macam tak puas hati. Aireen menarik tangannya dari terus dipegang oleh lelaki tersebut. Dia bangun. Lelaki itu juga turut bangun. Aireen bercakap sesuatu dan kemudian terus saja melangkah keluar. Apa agaknya topik mereka berdua? Macam marah saja muka Aireen tadi.
Kali ini Rayyan tidak mengikut jejak Aireen. Entah kenapa dia lebih berminat nak tengok keadaan lelaki itu. Lelaki tersebut berdiri memandang ke luar restoran sambil bercekak pinggang. Memerhati hingga kelibat Aireen hilang sepenuhnya. Bila dah betul-betul hilang, dia melangkah dengan sugul menuju ke kaunter pembayaran. Nampak sangat muka kecewa. Membuatkan hati Rayyan betul-betul membuak nak tahu kenapa pertemuan mereka berdua yang pada mulanya kelihatan mesra dan baik, tiba-tiba boleh jadi macam ribut dan berakhir begitu? Cepat-cepat Rayyan menuju ke kaunter yang sama. Sengaja berdiri bersebelahan dengan lelaki tersebut. Wajah lelaki tersebut masam mencuka. Rayyan memikirkan ayat untuk memancing perbualan.
“Bad day, ha? Gaduh dengan girlfriend ke?” Rayyan menegur mesra. Harap-harap ayat teguran ni dapat memancing sedikit maklumat.
Lelaki tersebut angkat muka. Dia pandang muka Rayyan yang sedang tersenyum lalu dia mengeluh panjang. Kepalanya digelengkan. “Not just bad. It’s the worst day. Baru proposed nak kahwin, tapi dah kena reject!”
Rayyan ternganga. Alamak, maklumat yang sangat mengejutkan diterima olehnya hanya dengan satu teguran.
Kahwin!!! Shit! Baru dia berangan nak mengurat tapi ada orang lain yang dah nak ajak kahwin? Tak boleh jadi. Oh, my God! Give me a bit more time, please. Last edited by wannienordin on 21-2-2014 12:58 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
merahsilver2U posted on 21-2-2014 02:50 PM
syoknya marathon mcm ni...
tahniah3..
SAMBUNG lagi k!!!
owh, finally ada gak y komen kt sini, ingtkan xde smbutan langsung... heheheeee....
ye, tgh berusaha utk masukkan bab2 y seterusnya as soon as possible! harap2 sudi membacanya ya? tq!
|
|
|
|
|
|
|
|
7
“EPUL, tolonglah!!!”
Lelaki yang dipanggil Epul itu buat tak tahu. Hanya menumpukan sepenuh perhatian pada orang ramai yang sedang rancak menari di lantai
tari. Buat bodoh dengan lagak lelaki yang tengah merayu-rayu di sebelahnya.
“Kau kena tolong aku, Pul. Masa dah suntuk ni!”
Masih lagi dengan lagak tidak berperasaan. Orang yang di sebelah, seolah-olah macam tak wujud langsung. 10 kali orang tu bercakap keluarkan perkataan tolong, sekali pun dia tidak menyampuk dan menyahut apa-apa.
“Epul… dia kawan kau, kan? Mesti kau tahu dia kerja dekat mana, rumah dia mana, tapi kalau boleh aku nak nombor telefon dia. Tolonglah. Aku betul-betul nak kenal dengan dia ni.”
“Nak buat apa? Banyak lagi perempuan lain yang boleh kau kenal, kenapa nak berkenalan dengan dia pulak? Tu ha! Berlambak perempuan dekat depan tu, carilah mana-mana satu yang kau nak kenal.” Barulah kali ini dia bersuara. Mungkin dah bosan mendengar suara tersebut berkali-kali meminta benda yang sama.
“Alamak Epul. Yang dekat sini nak buat apa? Aku nak Aireen tu.”
“Bro, Aireen tu tak sesuai untuk kau. Tak perlulah kau buang masa nak berkenalan dengan dia,”
Rayyan melepaskan keluhan. Menyandarkan badan sambil pandang muka Saiful dengan rasa tak puas hati. Bukan main payah pula hendak meminta pertolongan daripada Saiful kali ini. Tempoh hari dia sudah merayu, tidak dilayan langsung. Hari ini dia merayu lagi namun Saiful masih lagi keras hati tidak mahu membantu. Entah apalah yang susah sangat Saiful nak bagi maklumat pasal Aireen? Bukannya benda susah. Tolong bagi
nombor telefon pun dah lebih daripada mencukupi.
“Kau suka dia ke?” Rayyan tanya soalan pendek pada Saiful.
Zairee yang duduk di sebelah, turut sama memandang Saiful apabila mendengar Rayyan bertanyakan soalan itu kepada Saiful.
“Apasal kau tanya soalan ni pulak?” Saiful tayang muka terkejut.
“Yalah. Dah susah sangat nak tolong aku. Ingatkan kita ni kawan, tapi nak mintak bagi nombor telefon dia pun tak boleh. Kau suka dia, kan?”
Saiful melepaskan satu keluhan panjang.
“Bro… Aku kawan kau. Tapi dalam waktu yang sama, Aireen pun kawan aku juga. Dan sebagai kawan, aku bertanggungjawab untuk melindungi dia. Aku tak nak jadi apa-apa dekat kawan aku.”
“Jadi apa?” Rayyan cepat-cepat memotong. “Kau nak melindungi dia daripada apa? Daripada siapa? Daripada aku? Kenapa? Kau ingat aku nak buat apa dekat dia?!” Rayyan bersuara tak puas hati.
“She’s a nice girl, bro. Aku tak nak kalau aku kenalkan dia dengan kau, nanti satu hari dia akan datang dan menangis depan aku sebab kau. Aku tak nak jadi antara orang yang buat dia sedih dan kecewa. She’s one of my best friend!”
“I’m also your best friend! Atas dasar apa kau nak tentukan yang aku akan buat dia sedih dan menangis? Sebab aku ni playboy?”
Saiful diam. Namun riak wajahnya seakan-akan mengiakan apa yang Rayyan baru cakap tadi.
Rayyan rasa sakit hati sangat dengan reaksi yang dipamerkan oleh sahabatnya itu. Nampak sangat tak percaya pada kawan sendiri.
“Hey, bro. Lelaki playboy macam aku ni bukannya jahat sangat. Kalau aku dah suka dekat sorang perempuan, mungkin aku akan sukakan dia untuk selamalamanya.”
“Mungkin. Hanya mungkin. No guarantee for that,” balas Saiful sinis.
Rayyan bangun. Bila Rayyan bangun, Zairee juga cepat-cepat bangun. Terus menyelit di tengah-tengah di antara Rayyan dan Saiful. Sebagai persiapan awal kalau jadi apa-apa. Kang tak pasal-pasal boleh bertumbuk pulak budak dua ekor ni.
“Okay, okay, that’s it! Enough both of you. Takkan pasal hal ni pun nak bergaduh.” Zairee cuba menenangkan keadaan.
Saiful turut bangun. Dia hanya pandang muka Rayyan dengan pandangan yang tenang. Tak macam Rayyan yang tayang muka tak puas hati.
“Bro… kalau kau nak main-mainkan perempuan lain, aku memang tak kisah. Kau boleh angkut mana-mana awek yang ada dekat sini, bawak balik dan aku takkan masuk campur. Janji kau jangan kacau kawan-kawan aku. Itu saja. But Aireen, you really don’t deserve her.” Lepas Saiful cakap macam tu, dia terus pergi. Tak toleh mana-mana dan terus cari pintu keluar. Meninggalkan Rayyan dan Zairee di tengah-tengah kerancakan muzik yang bingit menembusi gegendang telinga.
Rayyan rasa sakit hati betul dengan kata-kata Saiful. Kalau ikutkan hati, macam nak penumbuk saja muka Saiful. Tak pasal-pasal berderai pulak gigi orang tu. Mintak tolong sikit pun susah. Macamlah aku ni jahat sangat!
“Relaks, bro. Kalau Epul tak nak tolong, kita kena terima. Itu hak dia.” Zairee cuba menenangkan hati Rayyan. Memang tak boleh salahkan Saiful. Sama ada nak tolong ataupun tidak, itu memang hak dia. Mungkin dia ada sebab kenapa tak nak tolong Rayyan. Mungkin dia memang tak percaya langsung dekat Rayyan. Takut juga kalau budak perempuan tu akan salahkan dia kalau-kalau jadi apa-apa di kemudian hari nanti.
“Saiful tu bercakap, macamlah aku ni orang yang paling tak boleh dipercayai dalam dunia ni. Kau tengoklah nanti, aku akan buktikan. Aku akan buktikan yang playboy macam aku ni boleh berubah jadi pencinta wanita yang paling setia bila dah jatuh cinta. And that girl, she is the one! Perempuan yang aku akan setia sampai bila-bila!”
Rayyan angkat kaki dan terus keluar dari pusat hiburan tersebut. Langsung tak ada hati nak duduk lama-lama dalam tu lagi dah. Bengang, marah, sakit hati! Bodoh punya Saiful. Nantilah aku buktikan dekat kau. I don’t deserve her?
Just wait and see! Last edited by wannienordin on 21-2-2014 05:49 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
*****
RAYYAN hentak stereng kereta. Sakit hati betul dengan Saiful. Entah kenapalah bukan main susah pulak Saiful nak tolong kali ni. Rasa-rasanya, pertolongan kali ini adalah yang paling senang pernah dia minta daripada Saiful. Tak perlu keluarkan peluh setitik pun. Kalau minta tolong cuci dengan gosok baju lagi susah, ini tolong bagi nombor telefon atau apa-apa maklumat pasal Aireen sahaja. Itu pun tak boleh tolong ke? Menyirap betul!
Dan apa yang membuatkan dia bertambah sakit hati ialah apabila mendengarkan kata-kata Saiful. Nampak sangat yang Saiful langsung tak percaya pada dia, sahabatnya sendiri. Adakah manusia itu apabila perangainya jahat, maka akan selamanya dianggap jahat
dan tidak boleh berubah menjadi yang lebih baik? Apabila seseorang itu dicop suka bertukar-tukar perempuan, maka adakah selamanya dia dikatakan takkan mampu menjadi orang yang setia? Memang yang baik itu akan sentiasa baik, dan yang jahat itu akan selamanya jahat? Nonsense!
Sekali air pantai melimpah, sekali pasirnya pun berubah. Inikan pula manusia. Yang jahat boleh jadi baik. Yang baik tak mustahil menjadi setan dan yang nakal, yang mata keranjang dan yang kaki perempuan macam dia pasti mampu untuk berubah menjadi lelaki yang mencintai hanya pada seorang wanita. Dia bukannya jahat sangat. Tak pernah tipu duit orang, tak pernah pecah amanah, tak pernah merompak, malahan dia juga langsung tak pernah membunuh orang! Tak pernah jadi penjenayah, jadi tak adalah jahat sangat kan?
Tapi, kau pernah tidur dengan perempuan yang bukan muhrim. Bukan sekali dua, lebih dari berkali-kali. Itu pun dah dikira jahat jugak!
Rayyan mengeluh. Kalau bab ni, dia memang terpaksa akui. Dia tak mampu nak kata apa-apa. Itu hakikat yang berlaku dalam hidupnya selama bertahun-tahun ini. Pertama kali, sewaktu sedang belajar di luar negara. Bebas sangat. Tak fikir panjang nak buat apa-apa. Bila sekali dah buat, rasa seronok dan mulalah merebak ke dua kali, tiga kali dan seterusnya hingga ia jadi satu benda yang biasa. Tak kisah dengan mana-mana perempuan. Tak peduli dekat mana-mana tempat. Bilik hotel, dekat rumah atau di dalam kereta pun boleh jadi. Sekali fikir, macam orang yang tak bertamadun
pula sampai sanggup buat macam tu. Janji ada perempuan yang sanggup dan rela hati, dia sapu. Bukannya susah sangat nak dapat. Dengan anugerah muka kacukan Melayu-Cina yang dimilikinya ini, sekali petik berpuluh nak bagi secara percuma.
Itu sebablah kenapa dia keluar duduk sendiri dan tak tinggal sebumbung dengan keluarga. Kalau ikutkan adik-beradik bukannya ramai sangat. Lebih dari luas dan selesa rumah yang papa dengan mama buat hanya untuk dia dua beradik. Tapi kalau duduk bersama, dah tentu payah nak keluar merayap sampai ke subuh. Dah tentu tak boleh nak panjang kaki ke sana sini dengan perempuan keliling pinggang. Duduk sendiri lebih memudahkan untuk dia melakukan sebarang aktiviti. Kalaulah mama dengan papa tahu dia memang kaki bawak balik perempuan dekat rumah, mesti kena serangan jantung orang tua tu. Selama ini, memang mama dan papa tak pernah tahu hobinya yang satu ini. Ya, mereka tahu dia selalu bertukar-tukar perempuan. Tapi setakat kononnya percintaan yang tidak menjadi, bukannya sampai ke tahap ke bilik tidur. Papa yang dulunya bukan Islam pun tidak seliar ini bila diselidik tentang masa silamnya. Papa baik, papa hanya cinta dan setia pada mama. Kerana itulah papa sanggup tukar agama dan memeluk Islam. Jadi tak tahulah perangai siapa yang dia ikut jadi lelaki mata keranjang ni. Nasib baiklah Myra tak ikut sama jadi liar macam abang dia.
Selama ini, hanya Myra saja yang tahu tentang hobi dia yang suka melepak di disko dan berhibur sana sini dengan perempuan keliling pinggang. Kuala Lumpur ni kecik, pernah juga sekali dua dia keluar dengan budak perempuan, tengok-tengok satu kolej dengan Myra. Memang tak habis-habis merungut Myra. Katanya malu, adik bertudung tapi abang macam setan. Apalagi bila dia selalu tengok gambar-gambar yang ada dekat Facebook, memang tak putus-putus dia membebel bila ada gambar Rayyan di tempat-tempat yang tak senonoh dengan aksi yang panas-panas. Banyak
kali dia ugut nak beritahu pada mama dengan papa. Tapi sampai sekarang tak beritahu apa-apa pun. Mujurlah papa dengan mama tu tak ada akaun Facebook, kalau tak nescaya pecah tembelang anak bujang mereka yang mata keranjang ni.
Disebabkan perangai mata keranjang inilah, sampai sekarang dia tak kahwin-kahwin lagi. Nak buat apa berkahwin kalau nikmat perkahwinan itu pun dia dah banyak kali merasa? Lebih baik hidup bujang. Lebih bebas dan senang hati. Tak perlu terikat dengan komitmen dan tak perlu setia hanya pada seorang wanita. Dia boleh dapat berpuluh perempuan yang datang menyerah, jadi nak buat apa bodohkan diri dengan setia pada yang satu?
Mungkin dia jadi begitu kerana selama ini dia belum betul-betul kenal apa itu erti kesetiaan. Mungkin juga kerana dia belum lagi bertemu dengan orang yang dia seharusnya untuk setia. Tak pernah rasa bagaimana perasaan jatuh cinta. Jadi macam mana nak ajar hati ini untuk setia? Suka pada seseorang wanita itu pernah. Banyak kali. Tapi hanya setakat suka. Suka tak bererti cinta, bukan? Suka nak keluar tengok wayang sama-sama, suka nak berhibur bersama dan suka nak bersuka ria bersama? Dan perasaan suka pada wanita itu tidak pernah bertahan lama. Jadi, lebih adil untuk dia katakan yang dia pernah sukakan pada seorang wanita. Bukan cintakan wanita itu. Tak cinta, buat apa nak setia? Tunggulah bila dah betul-betul
jatuh cinta nanti.
Jadi, adakah mungkin kini sudah tiba masanya? Adakah mungkin sekarang ini sudah sampai giliran untuk dia untuk mengenali seseorang yang boleh membuat dia setia dan mencintai hanya pada perempuan sahaja? Orang yang mampu untuk buat dia luahkan kata-kata ‘aku cinta padamu’. Aireen, mungkinkah dia adalah orangnya?
Rayyan tak tahu nak beri jawapan apa pada dirinya sendiri. Adakah terlalu awal untuk dia menyatakan bahawa dirinya akan setia pada gadis itu sedangkan orangnya pun belum dia kenali dengan lebih dekat. Berkawan pun belum, sudah mahu memberi kata janji untuk setia. Tetapi sesungguhnya, dia memang merasakan satu perasaan yang amat lain terhadap gadis itu. Bagai ada satu kuasa magnet yang begitu kuat terhadap
gadis itu. Dia sendiri tak tahu apa istimewanya Aireen sampai dia jadi begini. Orangnya biasa. Bukanlah secantik ratu dunia atau bergaya seperti seorang supermodel. Namun tak perlu semua itu jika hanya dengan satu senyuman manis, sudah mampu membuatkan jiwa dan hatinya berdetik
satu perasaan. Satu perasaan yang sungguh mendalam. Belum lagi mengenalinya, tetapi sudah merasai perasaan rindu padanya. Belum lagi berkawan, tetapi sudah angaukan senyum manisnya.
Dia tidak pernah merasakan segala perasaan itu sebelum ini. Dia tidak terfikir pun bahawa dia akan melalui satu frasa begini terhadap seseorang selama ini. Dengan hanya satu ciuman terbang, dia sudah menjadi kemaruk dan gila bayang begini. Dia seperti dapat rasakan, gadis itulah yang dinanti-nantikannya selama ini. Gadis itulah yang akan berjaya mengubah kenakalannya selama ini. Dan gadis itulah yang akan membuat dia, lelaki yang tak kenal erti kesetiaan berubah menjadi lelaki yang setia untuk selama-lamanya. Last edited by wannienordin on 21-2-2014 06:10 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
Penulis baru ye?
Bagus teruskan menghantar karya2 anda.. |
|
|
|
|
|
|
|
NaylaArisha posted on 21-2-2014 06:56 PM
Penulis baru ye?
Bagus teruskan menghantar karya2 anda..
heheheee... tq2!
|
|
|
|
|
|
|
|
8
KERETA Hyundai Tucson berwarna hitam diperlahankan. Diambil telefon bimbit lalu alamat yang dihantar melalui kiriman SMS dibaca sekali lagi. Kereta dibelok ke kanan mencari lorong yang tertulis. Berkerut-kerut dahinya memandang ke kiri dan kanan jalan bagi memastikan tidak
terlepas rumah yang ingin dicari. Rayyan memandu dengan kelajuan sederhana.
Dalam hati dia rasa macam tak puas hati dengan mama. Sejak kereta mama masuk bengkel, memang dialah yang kena jadi pemandu. Entah bila kereta mama tu nak siap? Bukannya accident teruk pun, setakat terlanggar tiang, bonet depan kemek dan mama nak spray satu body kereta. Paling lama pun seminggu boleh siap. Ini dah lebih dari seminggu, entah betul ke tak budak-budak bengkel tu buat. Silap-silap hari bulan tambah jahanam kereta mama.
Kali ini kereta dibelok ke kiri pula. Nampak sebuah sekolah di hadapan. Hah, ini tandanya dah dekat nak sampai. Mama cakap, dah nampak sekolah, jalan depan sikit sampailah rumahnya. Rumah tepi sekali, warna coklat gelap. Entah rumah siapa pun dia tak tahu. Kata mama, rumah kawan. Hai, mama nak pergi makan-makan dekat rumah kawan, dia pula yang nak kena datang ambil. Kalau suruh Myra, kan boleh? Dia yang sibuk ini jugaklah mama nak arah pergi sana sini. Manja sangat Myra tu, pemalas!
Akhirnya rumah yang dicari berjaya juga ditemui. Rayyan memberhentikan kereta betul-betul di hadapan pagar rumah teres dua tingkat tersebut. Meninjau dari dalam kereta kelibat mama. Tak dapat cari, dia telefon mama. Tapi mama suruh dia masuk dulu. Entah apa-apa, kalau belum nak balik lagi kenapa tadi bukan main beria-ia suruh dia datang ambil cepat-cepat. Bukan main jauh dia nak running dari UIA Gombak ke Bukit Jelutung ni. Mama… Mama…
Rayyan mencari tempat kosong lalu dia turun dari kereta. Melintasi sebuah kereta Nissan Sentra, dia mengerutkan dahi. Kalau tak silap ini kereta Ucu Kinah. Kalau ucu ada sekali dekat sini, kenapa mama suruh dia datang ambil pula? Balik dengan ucu, kan boleh? Walaupun pelik, dia masuk juga ke dalam kawasan pagar rumah. Memberi salam lalu dia disambut oleh tuan rumah.
“Rayyan, masuklah.”
Rayyan seakan-akan terkejut. La… rumah Uncle Azmi ke ni?
Rayyan masuk ke dalam setelah dipersilakan oleh tuan rumah. Dia dibawa ke bahagian tepi rumah berhampiran laman di mana Puan Khalsom tengah duduk berbual dengan beberapa orang yang lain. Di sebelah- nya Ucu Kinah yang turut sama berbual. Kan betul kereta yang dia nampak tadi tu kereta ucu.
Tersengih-sengih mama dan Ucu Kinah apabila melihat kelibat Rayyan datang menghampiri.
“Lambatnya. Lama mama tunggu,” tegur Puan Khalsom.
Rayyan buat muka. Lama? Mama tak tahu berapa laju dia tekan pedal minyak tadi sebab mama suruh dia datang cepat. Dengar suara macam tak sabar sangat nak balik. Sampai sini boleh nak duduk borak lagi.
“Rayyan, makanlah dulu. Aunty saja buat makan-makan hari ni untuk jamu pelanggan-pelanggan tetap kedai aunty. Kalau Rayyan nak roti jala ada dekat meja tengah. Nasi lemak, mi goreng semua ada. Pergi ambik ikan bakar dekat sana tu.” Aunty Basirah menjemput tetamu yang baru sampai untuk menjamu selera.
Rayyan menganggukkan kepala lalu pergi ke ruang tengah untuk mengambil pinggan. Alang-alang dah sampai sini, makan ajelah. Dia mencedok mi goreng. Sambil-sambil mengisi makanan dalam pinggan, dia jeling-jeling kiri kanan. Cuba mencari kelibat seseorang melalui ekor mata. Sejak dia tahu ini merupakan rumah Uncle Azmi, memang bukan main meliar matanya mencari. Mesti ‘dia’ akan ada dekat sini punya. Ini kan rumah abang dia. Tapi masalahnya, tak nampak pulak sekarang ni. Tengah menyorok dalam bilik agaknya.
Pada mulanya Rayyan ingat nak join mama makan dekat luar. Tapi tak jadi. Nanti kalau duduk sekali dengan mama, tak boleh pula nak lari bila dah nampak muka orang yang dicari. Jadi akhirnya dia hanya melabuhkan punggung dekat kawasan tengah rumah sahaja. Senang sikit nak ambil makanan sambil nak tinjau kiri kanan. Kawasan penyamaran yang sungguh sesuai.
Waktu tengah makan, mata Rayyan banyak kali juga dapat menangkap telatah beberapa orang anak muda yang ada dekat situ. Mereka asyik memandang ke arahnya sambil diiringi dengan senyuman-senyuman nakal. Bercakap sesama mereka dan pandang-pandang ke arahnya. Lepas tu sengih-sengih. Kenapa pulak ni? Adakah mukanya kelihatan terlalu kacak hinggakan ramai yang asyik menjeling, pandang-memandang dan
tersenyum-senyum? Jika yang menjeling dan memandang itu sekumpulan orang perempuan tak apalah juga. Itu memang dia dah biasa. Tapi yang peliknya, dua tiga orang lelaki yang ada pun sibuk buat benda yang sama. Ini yang musykil ni.
Makin lama, Rayyan rasa macam makin tidak selesa. Sekali dua boleh juga dia lemparkan senyuman bila mereka semua memandangnya. Tapi kalau dah asyik pandang nak kena senyum, pandang aje nak senyum, dia rasa kekok pula. Bila dua pinggan mi dan seekor ikan bakar habis dia telan, terus dia tak kembali ke tempat duduknya sebentar tadi. Dia menukar langkah ke tempat lain pula. Lagipun dah lama duduk dekat
situ, tak nampak-nampak juga bayang-bayang orang tu. Kena cari port lain pulak ni.
Rayyan melangkah ke bilik air yang terletak di laluan untuk ke dapur. Dia pusing tombol pintu tapi nampaknya pintu tersebut berkunci. Terpaksa dia tunggu sementara orang yang di dalam menghabiskan urusan terlebih dahulu. Tengah menunggu giliran, dia bertembung dengan Kak Basirah yang hendak keluar membawa makanan dari dapur.
“Rayyan, nak masuk bilik air?” tegur Kak Basirah Apabila melihat Rayyan berdiri di depan pintu bilik air.
Rayyan mengangguk. “Ada orang,” katanya sambil menunjuk ke arah pintu bilik air.
“Kalau macam tu, gunalah bilik air dekat dapur. Situ kosong,” arah Kak Basirah.
“Pergilah. Tak apa, masuk aje dapur tu,” katanya lagi apabila menengok Rayyan hanya tersengih-sengih. Dia kemudian, meneruskan agendanya membawa makanan ke luar.
Rayyan mengatur langkah ke dapur. Lama pulak nak tunggu orang tu ‘buang hajat’. Baik dia selesaikan urusan dekat dapur aje. Masuk dapur, mata Rayyan bulat. Dia melihat susuk tubuh Aireen yang tengah sibuk membelek sesuatu dekat atas kabinet dapur. Aiseyman… menyorok
dekat dapur rupa-rupanya dia ni. Patutlah dari tadi tunggu dekat luar, tak nampak muka. Kenapalah tak terfikir dari tadi? Kalau tahu, awal-awal lagi dah bawa makanan dan makan dekat dapur.
Rayyan melangkah merapati Aireen yang nampaknya tidak perasan akan kehadirannya. Hari ni dia tak kira. Dia mesti tegur Aireen juga. Dah lama sangat buang masa. Cerita pun dah masuk berapa puluh muka surat. Tapi kisah hero dengan heroin belum ada perkembangan lagi. Mana boleh jadi.
“Hai.” Lembut saja Rayyan menegur. Tidak mahu memeranjatkan gadis yang tengah sibuk tengok benda lain.
Aireen toleh muka. Tak terus membalas sapaan sebaliknya memandang muka Rayyan tiga empat saat terlebih dahulu. Kemudian barulah dia membariskan senyuman dan membalas teguran.
“Hmm. Anak Aunty Khalsom, kan?” Aireen meneka.
Rayyan mengangguk. Wah, ingat juga minah ni siapa aku ya?
Tengah buat apa ni? Tak makan dekat luar?” soal Rayyan untuk memulakan perbualan. Soalan-soalan pancingan.
“Tengah nak buat roti. Selagi belum siap, tak ada selera nak makan,” jawab Aireen dengan mesra.
“Buat roti?” Rayyan tayang muka pelik.
Aireen angguk. “A’ah, roti. Kenapa? Tak pernah dengar orang buat roti ke?”
Rayyan geleng. “Kalau pergi beli roti, pernahlah. Buat roti macam tak pernah dengar aje. Bukan roti ni selalu buat dekat kilang ke?”
Aireen ketawa. “Itu roti yang nak buat jual satu Malaysia, cik abang. Memanglah kena buat dekat kilang. Yang saya nak buat ni untuk makan sikit-sikit aje. Bukan nak buat roti Gardenia pun,”
“Oh… memang pandai buat roti eh? Pandai memasaklah ni.”
“Tak adalah pandai sangat. Saja nak cuba-cuba. Minggu lepas ada ikut kawan pergi kelas, jadi sekarang ni kononnya tengah gian nak cubalah. Tapi tengah pening. Dari tadi mesin ni tak nak hidup pulak. Nak uli tepung ni.”
“Let me see…” Rayyan semakin datang mendekati. Meninjau-ninjau apa yang patut untuk menghidupkan mesin penguli tepung. Gaya macamlah tahu sangat, padahal dia sendiri tak tahu apa benda nak buat untuk kasi mesin tu hidup dan berjalan. Depan perempuan,
beb. Kenalah tunjuk macam serba tahu sikit. Namun akhirnya dia terpaksa mengalah. Tak tahu apa punca dan cara untuk hidupkan mesin itu semula.
Segala benda dia dah belek. Wayar dah dicabut dan pasang balik, tapi tak hidup-hidup juga. Memang tak ada can mesin ni nak kasi dia tunjuk skil. Kalau hidup nescaya dia boleh bangga sikit dengan Aireen.
“I rasa mesin ni dah rosaklah,” ujar Rayyan bila dah habis idea nakmenghidupkan mesin tu semula.
Terdengar suara Aireen mengeluh.
“Tulah… mesin ni pinjam kawan punya. Dia memang beritahu dah lama tak guna. Tapi tak sangka pula dah lama tak guna maksudnya dah tak boleh nak guna.”
Rayyan tengok muka Aireen macam kecewa. Alahai, kesian pula dia ni bila mesin penguli tak boleh nak hidup.
“Kalau tak pakai mesin, tak boleh buat ke? Tak ada cara lain?” soal Rayyan.
“Ada. Kena uli manual pakai tangan. Tapi I surrender. Tak larat. Nak uli tepung untuk roti ni penat,” jawab Aireen dengan sekali lagi disertai sedikit keluhan. “Tak apalah. Tak jadi buatlah kalau macam ni. Tak ada rezeki,” katanya perlahan. Masih lagi dengan muka yang ala-ala kecewa.
“Let me help!” Cepat-cepat Rayyan menyampuk. Rasa macam rugi pula kalau Aireen tak jadi buat roti. Nak juga merasa air tangan dia.
Aireen pandang muka Rayyan dengan kerutan.
“Tolong? Tolong apa?”
“Tolong you uli tepunglah. You ajar aje macam mana nak uli, I buatkan.”
Aireen sengih. “You nak tolong uli tepung dengan pakai baju cantik-cantik ni? Nanti kotor kena tepung.”
“It’s okay. Baju ni memang I dah nak buang dah. Kalau kotor pun, tak kisah. I dah tak nak pakai.” Mak ai… ini kemeja baru okey? Baru bulan lepas beli, dah nak buang konon. Ceh!
Aireen geleng kepala. “Tak naklah. You tetamu, pergi duduk depan. Nanti I panggil budak-budak tu tolong uli.” Aireen pusing badan. Nak melangkah ke depan. Tapi cepat-cepat dihalang oleh Rayyan yang terus saja berlari dan berdiri depan Aireen.
“Tak apa. I nak tolong. It’s a big honour if you let me help. I teringin nak tahu dan merasa macam mana orang uli tepung untuk buat roti…”
Aireen yang tadinya menyengih, terus kerut dahi. Mungkin pelik kenapalah tiba-tiba rajin sangat orang ni nak menolong? Dahlah baru pertama kali berborak, tiba-tiba boleh baik pulak nak tolong dekat dapur.
“Please… I’m begging you. Let me help. I tolong percuma, tak mintak upah delivery Pizza Hut pun.”
Rayyan sengaja merujuk upah yang diminta oleh Aireen kepada abangnya di kedai emas tempoh hari. Bersungguh-sungguh betul dia meminta kebenaran untuk membantu. Dia mahu berada lebih lama di sini. Dia mahu lebih banyak masa untuk terus dekat dan berbual-bual dengan Aireen.
Dan ini, adalah kesempatan yang sangat baik untuk merebut peluang tersebut.
Aireen nampak macam ragu-ragu. Tapi bila dah Rayyan nampaknya bersungguh sangat, akhirnya dia benarkan. Lagipun, kalau ikutkan dia memang perlukan pertolongan sekarang ini. Nak uli tepung sendiri, dia memang tak larat. Kalau uli tepung untuk buat biskut, tak apa juga. Untuk roti? Penat tau! Pernah cuba tak? Betul-betul pakai tenaga. Surrender!
Nak harap pertolongan sepupu-sepupu di luar, memang tak boleh harap. Masing-masing dah cakap awal-awal yang mereka tak nak turun dapur hari ni. Jadi bila dah ada orang yang sanggup nak hulur tangan membantu sekarang ni, terima sajalah dengan hati yang terbuka. Lagipun tolong percuma kan.
“Kalau tak jadi roti yang I buat hari ni… You take the responsibility. I cakap you yang tak pandai uli tau,” kata Aireen sambil tersenyum. Tanda kebenaran untuk membantu sudah diberi.
Rayyan sengih selebar-lebarnya. Rasa macam nak melompat sambil menjerit kesukaan sekuat-kuat hati. Nasib baik boleh kontrol. Kalau ikutkan hati, rasa macam nak peluk aje Aireen ni sebagai tanda terima kasih. Terima kasih sayang, sebab sudi duduk dekat dapur ni lama-lama dengan abang.
Sayang? Abang? Rayyan, kau memang gelojoh! Last edited by wannienordin on 22-2-2014 05:00 PM
|
|
|
|
|
|
|
|
i pun nak minta tolong juga....
tolong sambung!!!! |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|