CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12Next
Return to list New
View: 8418|Reply: 22

betulke hadith2 yang terkenal ni palsu? bleh bagi masukan?

[Copy link]
Post time 11-7-2013 03:38 PM | Show all posts |Read mode
Apakah contoh-contoh hadis dhaif dan palsu yang telah tersebar dalam masyarakat?

Jawapan:

Berikut saya senaraikan beberapa contoh hadis-hadis yang popular di dalam masyarakat. Sayangnya hadis-hadis yang popular ini pada hakikatnya adalah dhaif atau palsu. Saya menyebutnya sebagai dhaif atau palsu dengan meletakkan komen dan hasil kajian para ulama hadis dulu dan kini untuk sama-sama diteliti dan difahami. Ini bermakna, bukanlah saya yang memandai-mandai mengatakan ia dhaif atau palsu, tetapi saya berpandukan kepada hasil kajian yang telah sedia ada di dalam buku-buku para ulama hadis. Bagi para pembaca, mereka dialu-alukan untuk membetulkan kesilapan saya sama ada dari segi penggunaan bahan rujukan atau kesilapan dalam terjemahan teks asalnya yang ditulis dalam bahasa arab.

Di samping itu saya juga selitkan sedikit ulasan bagi menjelaskan maksud hadis tersebut dan juga membincangkan adakah maksud hadis boleh diterima dan disokong oleh dalil-dalil daripada Al Quran atau hadis sahih. Walau bagaimana baik maksud sesuatu hadis yang dhaif atau palsu, hadis tersebut tetap tidak boleh dinyatakan atau ‘diiklankan’ sebagai ‘hadis sahih’ atau sebagai ‘sabda Nabi SAW’. Hadis tersebut mungkin boleh dianggap sebagai kata-kata hikmah atau nasihat yang baik sekiranya maksudnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Pembaca akan dapat melihat apa yang saya maksudkan dalam huraian setiap hadis.



Pertama:
Maksudnya: Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China.

Kedudukan Hadis:
Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu’at[1]. Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H)[2], al Iraqi[3], Ibn Hibban[4] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[5].

Ulasan:
Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta kelebihan mereka yang mempunyai ilmu. Terdapat ayat-ayat Al Quran yang mengiktiraf golongan yang berilmu contohnya:

Maksudnya : ALLAH mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan yang mempunyai ilmu dengan beberapa darjat[6].

Begitu juga di dalam hadis-hadis sahih terdapat saranan ke arah menuntut ilmu antaranya seperti hadis:
Maksudnya: Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka ALLAH mudahkan untuknya jalan ke syurga[7].
Maksudnya: Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim [8].

Telah diketahui umum bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan dalam kehidupan umat Islam. Apa yang ingin saya sebutkan di sini adalah kesalahan menggunakan hadis palsu dalam menyatakan sesuatu perkara yang telah sedia ada dalam Islam sama ada di dalam Al Quran atau hadis-hadis sahih. Tindakan menggunakan hadis palsu ini boleh menjadikan kita lupa bahawa ayat Al Quran atau hadis sahih sudah pun memadai dan mencukupi untuk kita menyatakan sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Berhati-hatilah dalam menggunakan sesuatu hadis. Pastikan bahawa hadis tersebut adalah sahih sebelum menggunakannya sebagai dalil atau hujah.


Kedua:
Maksudnya: Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad

Kedudukan Hadis:
Hadis ini adalah hadis palsu. Menurut Yusuf al Qaradhawi, walaupun maksud hadis ini benar, bukanlah bermakna itu adalah hadis yang benar-benar datang dari Nabi SAW[9]. Hadis ini juga ditolak kesahihannya sebagai sabda Nabi SAW oleh seorang pengkaji hadis zaman ini, Abd. Fattah Abu Ghuddah[10].

Ulasan:
Seperti yang telah disebutkan dalam komen saya terhadap hadis pertama, terdapat banyak dalil dalam Al Quran dan hadis-hadis yang sahih yang menyuruh dan menggalakkan umat Islam menuntut ilmu. Dalil-dalil itu sudah mencukupi dan kita tidak perlu lagi menggunakan hadis-hadis palsu yang direka. Penggunaan hadis-hadis palsu adalah salah walaupun dengan niat yang baik.

Wujudnya segolongan pendakwah atau penceramah yang tidak mendalami bidang hadis telah menyebabkan ramai pendengar yang terkeliru dengan hadis-hadis yang tidak sahih tetapi disangkanya sahih. Bahkan disangkanya hadis ini menjadi kaedah utama dalam agama Islam sehingga dia terlupa dalil yang sudah sedia ada dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Pendakwah atau penceramah selalunya mencari jalan singkat untuk mengumpulkan bahan ceramahnya lalu mereka menggunakan buku-buku berbentuk akhlak atau buku cerita yang kadangkala tidak memperdulikan kesahihan fakta yang dimuatkan di dalamnya. Ada yang mengambil hadis-hadis daripada buku al Ghazali iaitu Ihya’ Ulumiddin yang sememangnya mengandungi banyak hadis dhaif dan palsu. al Iraqi telah berusaha untuk menyemak kembali hadis-hadis di dalam buku Ihya’ Ulumiddin dan mengkaji kesahihannya atau kedhaifannya. Segala kajian al Iraqi itu beliau muatkan di dalam bukunya berjudul al Mughni ‘An Hamli al Asfar dan jika kita membaca kajian beliau, kita akan dapati terlalu banyak hadis yang tidak sahih ada dalam buku al Ghazali itu.

Kepada pembaca buku Ihya’ Ulumiddin, saya nasihatkan supaya mereka melihat kajian al Iraqi dan memastikan adakah hadis itu sahih atau tidak. Terdapat beberapa versi buku Ihya’ Ulumiddin yang dicetak bersama dengan kajian al Iraqi sebagai nota kaki. Tidak ada sesiapa yang menyalahkan al Ghazali kerana kesilapannya dalam buku Ihya’ Ulumiddin kerana al Ghazali adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan. Beliau berkemungkinan besar tidak tahu bahawa sesuatu hadis itu palsu lalu menyebutnya dalam Ihya’ Ulumiddin. Tetapi kita sebagai pembaca pada zaman ini perlulah mengelak dari menggunakan hadis-hadis palsu dalam Ihya’ Ulumiddin kerana kita telah pun tahu tentang kepalsuannya berdasarkan kajian al Iraqi serta ulama lain. Kita menghormati al Ghazali tetapi kita tidak akan mengulangi kesilapan yang beliau telah lakukan iaitu tersalah dalam menyebut hadis-hadis palsu yang disangka beliau sebagai sahih.


Ketiga:
Maksudnya: Tidur selepas subuh/ waktu pagi menghalang rezeki.

Kedudukan Hadis:
Hadis ini adalah hadis palsu. Hadis ini dilabelkan sebagai palsu oleh al Hasan Ibn Muhammad al Shoghoni dan disokong oleh ahli hadis masa kini, Abd. Fattah Abu Ghuddah[11]. Manakala di antara ulama yang melabelkan hadis ini sebagai sangat dhaif pula ialah al Haithami[12], Ahmad Syakir[13], Muhammad Nasiruddin al Albani[14] dan Syuaib al Arnaouth[15].

Ulasan:
Tiada tegahan dan tiada pula suruhan ke arah perkara ini. Perkara ini dilakukan mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan. Sedangkan sesiapa sahaja yang ingin mencari hadis ini pasti akan menemui bahawa para ulama hadis yang terkenal telah mengkritik hadis ini sekaligus menjadikannya hadis yang tidak sahih. Ada pula yang berhujah bahawa logik akal menyokong hadis ini kerana orang yang bekerja akan lewat ke tempat kerja dan tidak dapat menjalankan tugas sekiranya tidur selepas subuh. Mereka seolah-olah lupa bahawa ada juga masyarakat kita yang bekerja pada waktu petang dan malam. Adakah mereka tidak dapat menjalankan tugas jika tidur selepas subuh?

Persoalan rezeki ini adalah persoalan besar dan untuk menyatakan sesuatu perkara itu menghalang rezeki, kita memerlukan hujah dan dalil yang kuat daripada Al Quran atau hadis sahih. Terdapat beberapa perkara lagi yang dikatakan menghalang rezeki seperti minum daripada gelas sumbing, menjahit baju di badan sendiri dan lain-lain lagi tetapi semuanya tidak mempunyai dalil atau hujah daripada Al Quran atau hadis sahih.



Keempat:
Kisah sahabat Nabi bernama Sa’labah ثعلبة yang tidak membayar zakat.

Kedudukan Hadis:
Hadis ini adalah hadis palsu. Maklumat lanjut ada di dalam buku al Sohih al Musnad Min Asbab al Nuzul karya Syeikh Muqbil bin Hadi al Wadii[16]. Buku ini merupakan antara hasil karya yang terbaik daripada Syeikh Muqbil yang merupakan seorang pengkaji hadis dari negara Yaman. Beliau berusaha mengumpulkan asbab nuzul (sebab-sebab ayat Al Quran diturunkan) yang sahih sahaja. Ini kerana sememangnya telah diketahui bahawa tidak semua asbab nuzul yang tercatat dalam buku-buku terdahulu adalah sahih. Menurut Syeikh Muqbil, kisah Sa’labah yang tidak membayar zakat ditolak kesahihannya oleh imam-imam hadis terkenal seperti Ibnu Hazm (al Muhalla) , al Suyuthi (Lubab al Nuqul) , Ibnu Hajar al Asqalani (Takhrij al Kasyaf dan Fath al Bari), al Haithami (Majma’ al Zawaaid), al Zahabi (Tajrid Asma’ al Sahabah), al Munawi (Faidh al Qadir) dan al Iraqi (al Mughni – takhrij Ihya’ Ulumiddin). Di dalam sanad hadis tersebut terdapat periwayat yang dikritik sebagai dhaif iaitu Ali bin Yazid al Alhani.

Syeikh Muqbil al Wadii juga menyatakan bahawa terdapat riwayat yang disebutkan daripada Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa kisah ini adalah berkaitan dengan seorang sahabat bernama Sa’labah bin Abi Hathib dan bukan Sa’labah bin Hathib. Namun riwayat itu juga tidak sahih kerana bersumberkan daripada periwayat-periwayat yang tidak diterima.

Salah seorang ulama dan pendakwah terkemuka Mesir, Muhammad Hassan telah menyenaraikan beberapa hujah yang membuktikan bahawa kisah Sa’labah ini adalah kisah yang tidak benar. Hujah-hujah untuk mendhaifkan hadis ini disebut dalam salah satu ceramah beliau dan boleh didengari dari laman web www.islamway.com.

Kisah ini juga dikritik kesahihannya oleh Yusof al Qaradhawi dalam bukunya Kaifa Nata’amalu Ma’a al Sunnah al Nabawiyyah[17], Al Iraqi[18] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[19].

Ulasan:
Boleh dikatakan semua ulama tafsir dan hadis yang terkenal telah mendhaifkan hadis ini. Tidak ada seorang ulama pun yang mengatakan kisah ini benar. Sayangnya hadis ini amat popular terutama dalam kalangan yang ingin mengajak masyarakat supaya membayar zakat serta tidak melengahkan pembayarannya. Kisahnya berkisar tentang seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Sa’labah bin Hathib yang pada asalnya miskin. Namun setelah didoakan oleh Nabi SAW, dia telah menjadi kaya raya. Kekayaannya menjadikannya sombong dan enggan menunaikan zakat. Akhirnya beliau tidak diterima taubatnya oleh Rasulullah SAW kerana turunnya ayat daripada surah at Taubah. Selepas baginda wafat, para khalifah tidak ingin menerima zakat yang ingin diberikan oleh Sa’labah. Kisah ini adalah kisah yang tidak benar.

Azab siksa yang dijanjikan kepada mereka yang tidak membayar zakat telah ada disebutkan di dalam nas-nas yang sahih iaitu Al Quran dan hadis sahih. Oleh sebab itu kita melihat dalam sejarah Islam berlakunya peperangan yang dipimpin oleh khalifah pertama Islam , Abu Bakr al Siddiq menentang golongan yang tidak mahu membayar zakat.


Kelima:
Maksudnya: Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.

Kedudukan Hadis:
Hadis ini adalah hadis dhaif seperti yang telah dihuraikan oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[20]. Sebelum daripada al Albani, hadis ini juga telah didhaifkan oleh al Haithami[21].

Ulasan:
Setahu penulis, tidur selepas Asar belum dibuktikan kemudharatannya dari segi perubatan. Kalaulah sekiranya dapat dibuktikan dari segi perubatan bahawa perbuatan ini memberikan kesan kepada akal manusia, maka kita akan menyatakan bahawa ia dilarang berhujahkan kenyataan dari aspek perubatan tersebut dan bukannya berhujahkan hadis yang tidak sahih ini. Hadis dhaif dan palsu tetap tidak boleh dijadikan hujah atau dalil untuk melarang sesuatu perkara yang asalnya tidak dilarang.

Terdapat satu kisah berkaitan persoalan tidur selepas waktu Asar. Seorang imam fiqh dan hadis yang masyhur, al Laith bin Saad (175H) pernah ditegur oleh salah seorang rakannya kerana beliau mendapati al Laith tidur selepas Asar pada bulan Ramadhan. Rakannya itu membacakan hadis yang telah disebutkan di atas tadi (riwayat Ibnu Adi dalam buku al Kamil) sebagai hujah untuk menegur al Laith. Apabila al Laith mendengar sanad hadis itu dibaca, maka beliau telah mengesan satu kecacatan dalam hadis tersebut iaitu terdapat periwayat bernama Abdullah bin Lahi’ah yang meriwayatkan hadis itu daripada periwayat bernama Aqil. Al Laith lalu berkata: “Aku tidak akan meninggalkan perkara yang bermanfaat kepada diriku ini (tidur selepas Asar) hanya kerana hadis yang diambil dari jalan Ibnu Lahi’ah dari Aqil”. Maksud al Laith ialah beliau tidak akan meninggalkan tidur selepas Asar yang bermanfaat baginya hanya kerana satu hadis yang tidak sahih[22].




Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 11-7-2013 03:39 PM | Show all posts
Keenam:
Maksudnya: Kebersihan itu separuh daripada iman.

Kedudukan Hadis:
Hadis ini telah dikritik dan dilabelkan sebagai hadis dhaif jiddan (sangat dhaif) oleh al Iraqi[23] dan dinyatakan sebagai palsu oleh al Albani[24] dengan lafaz yang hampir sama iaitu “kebersihan itu menyeru kepada keimanan”.

Ulasan:
Telah disepakati oleh semua orang yang mempelajari tentang Islam melalui sumber utamanya iaitu Al Quran dan hadis sahih bahawa Islam memang mementingkan kebersihan. Tetapi tidak ada hadis yang menyatakan bahawa “Kebersihan itu separuh daripada iman”. Kita perlu berhati-hati apabila menyebutkan sesuatu hadis dan tidak sekadar menyebutnya kerana maknanya bertepatan dengan ajaran Islam.

Terdapat satu perkara yang menarik yang saya pernah temui iaitu satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim[25] dengan lafaz: الطهور شطر الإيمان yang diterjemahkan dengan maksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Terjemahan sebegini saya temui di dalam salah sebuah majalah yang pernah saya baca. Sedangkan maksud hadis itu yang sebenar menurut kata para pengkaji hadis dalam buku-buku mereka ialah: “Bersuci dari hadas adalah separuh daripada solat”. Terdapat perselisihan pendapat tentang maksud hadis ini dalam buku Jami’ al Ulum wa al Hikam karya Ibnu Rejab al Hanbali (795H). Ibnu Rajab telah membincangkan maksud sebenar perkataanالطهور dan perkataan الإيمان dengan membawa banyak pendapat para ulama. Kesimpulan yang diambil oleh Ibnu Rajab ialah perkataan الطهور membawa maksud ‘bersuci daripada hadas’ dan maksudالإيمان pula ialah ‘solat’[26]. Maksud hadis ini betul, namun hakikat ini tidak bermakna kata-kata tersebut telah benar-benar diucapkan oleh Rasulullah SAW. Kita mesti berhati-hati dalam menyebut sesuatu berkaitan Rasulullah SAW[27].


Ketujuh:
Maksudnya: Perselisihan dalam umatku adalah rahmat.

Kedudukan Hadis:
Hadis ini telah dikategorikan oleh beberapa orang ulama hadis sebagai tidak ada asalnya. Perkataan ini bermaksud tidak ada asal usulnya dalam mana-mana buku hadis. Begitulah pendapat yang dikemukakan oleh al Subki sebagaimana dicatatkan oleh al Albani dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[28]. Al Iraqi juga menolak kesahihan hadis ini[29].

Ulasan:
Hadis ini telah menyatakan bahawa menjadi satu rahmat bagi kita jika kita berselisih pendapat. Ini adalah pandangan yang perlu diteliti dengan mendalam kerana kita amat yakin bahawa perselisihan selalunya membawa kepada perpecahan. Ibn Hazm dalam bukunya al Ihkam Fi Usul al Ahkam telah menyatakan bahawa jika sekiranya perselisihan itu rahmat, maka sudah pasti permuafakatan pula akan menjadi satu perkara yang tidak dirahmati. Ini adalah pendapat yang tidak benar sama sekali[30].

Ada sesetengah penulis yang menafsirkan perselisihan dalam hadis ini dengan maksud perselisihan dalam bidang fiqh dan bukan perselisihan dalam bidang aqidah. Tafsiran sebegini adalah tepat tetapi pada pandangan penulis, kita tidak perlu membuat tafsiran sebegini kerana hadis ini bukanlah hadis yang sahih. Tafsiran sebegini diperlukan sekiranya hadis ini sahih dan kita tidak dapat memahami maksudnya. Ada pun sekiranya sesuatu hadis itu tidak sahih, tidak perlulah kita bersusah payah hendak memahaminya. Tumpukan usaha kita kepada hadis yang sahih sahaja. Wallahu a’lam.


Kelapan:
Maksudnya: Sabar itu separuh daripada iman

Kedudukan Hadis:
Menurut Ibn Rajab al Hanbali, ini adalah kata-kata sahabat dan bukan hadis Nabi SAW[31]. Di antara yang menyebutnya sebagai hadis Nabi SAW ialah al Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumiddin. Menurut al Iraqi yang mengkaji hadis-hadis Ihya’ Ulumiddin, hadis tersebut adalah dhaif[32]. Begitu juga dengan al Albani yang menyatakannya sebagai sangat dhaif[33]. Menurut al Baihaqi dan al Zubaidi, kata-kata ini mauquf (kata-kata sahabat)[34].

Ulasan:
Memandangkan bahawa kata-kata ini adalah kata-kata sahabat dan melihat kepada maksudnya yang tidak menyalahi mana-mana asas dalam Islam, maka boleh diucapkan dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang perlu ialah menyatakannya sebagai kata-kata sahabat atau kata-kata hikmah dengan tidak menyatakannya sebagai hadis Nabi SAW. Kita juga mesti mengutamakan ayat-ayat Al Quran yang menceritakan perihal kesabaran dan kepentingannya seperti ayat-ayat di dalam surah Luqman yang menceritakan nasihat Luqman kepada anaknya yang antara lainnya mengandungi nasihat supaya bersabar di atas segala ujian yang menimpa diri. Begitu juga dengan hadis-hadis sahih yang menceritakan soal kesabaran dan pahala orang-orang yang sabar. Itu mesti didahulukan daripada kata-kata hikmah atau kata-kata sahabat agar masyarakat sentiasa memahami kewajipan mendahulukan Al Quran dan hadis sahih dalam kehidupan.


Kesembilan:
Maksudnya: Kita telah pulang dari jihad yang kecil ( peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih besar/paling besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad yang paling besar? Rasulullah berkata: Jihad menentang hawa nafsu.

Kedudukan Hadis:
Hadis ini telah dinilai sebagai hadis dhaif oleh Syuaib al Arnaouth ketika beliau menyemak hadis-hadis di dalam buku Jami’ al ‘Ulum Wa al Hikam tulisan Ibn Rajab al Hanbali[35].Beliau telah mengambil pandangan Ibnu Hajar al Asqalani yang menyatakan bahawa kata-kata ini ialah kata-kata seorang ulama tabiin yang bernama Ibrahim Bin ‘Ablah.

Menurut al Albani dalam Silsilah al Ahadith al Dhaifah: Munkar. Al Albani telah menukilkan kata-kata Ibnu Taimiyyah (728H) dalam Majmu’ al Fatawa:

Tidak ada asalnya (hadis tersebut) dan tidak diriwayatkan oleh pakar-pakar yang mengetahui tentang kata-kata Nabi SAW dan perbuatan baginda. Dan memerangi orang-orang kafir (jihad) adalah sebesar-besar amalan bahkan merupakan amalan yang terbaik yang dilakukan oleh seseorang manusia[36].

Ulasan:
Hadis ini boleh menyebabkan sebahagian umat Islam tersalah anggap lantas memperkecilkan kefardhuan jihad dan keagungan pahala mereka yang berjihad sebagaimana yang telah disebutkan di dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Hadis ini sering digunakan oleh mereka yang bercakap atas nama kesufian untuk menunjukkan betapa pentingnya jihad melawan kehendak hawa nafsu. Tiada siapa yang menafikan perlunya kita melawan nafsu yang ingin mengajak ke arah maksiat dan sudah sedia ada di dalam hadis-hadis sahih tentang kepentingan mujahadah menentang kehendak nafsu ini seperti hadis Nabi SAW:

Maksudnya: Orang yang berjihad ialah yang berjuang menentang kehendak dirinya (yang buruk)[37].

Tetapi hadis ini tidaklah sampai bermaksud seperti yang digambarkan oleh hadis palsu tadi sehingga ke tahap menjadikan peperangan itu kecil dan melawan nafsu lebih besar mengatasi segalanya. Firman ALLAH:

Maksudnya : Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan ALLAH dengan diri mereka sendiri dan harta mereka lebih besar pahalanya (dari orang yang hanya memberikan harta dan tidak pergi ke medan peperangan) di sisi ALLAH dan itulah orang-orang yang berjaya[38].

Di dalam Islam terdapat pelbagai jenis jihad dan di antaranya ialah jihad peperangan mempertahankan Islam daripada musuh, jihad dalam menuntut ilmu, jihad membangunkan ekonomi, jihad menentang hawa nafsu yang menjurus ke arah maksiat dan lain-lain lagi. Namun begitu, hadis yang disebutkan tadi adalah dhaif atau lebih rendah kedudukannya dan kita dilarang menggunakan hadis sedemikian dalam menyatakan sesuatu hukum. Marilah kita menggunakan hadis-hadis sahih dalam menentukan sesuatu perkara atau hukum. Inilah perkara yang telah disarankan oleh para ulama sejak dahulu hingga kini.


Kesepuluh:
Maksudnya: Berbual di masjid memakan pahala seperti binatang liar memakan rumput.

Kedudukan Hadis:
Menurut beberapa orang ulama hadis, hadis ini adalah palsu. Hadis ini disebut di dalam buku-buku seperti Ihya’ Ulumiddin karya al Ghazali. Al Iraqi telah memberikan komennya terhadap hadis ini dengan kata beliau: “Aku tidak menemui asalnya”[39]. Pendapat tersebut disokong oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[40]. Di antara ulama hadis lain yang menyatakan bahawa hadis ini palsu ialah al Zubaidi, al Fairuz Abadi, Ibn Hajar al Asqalani, Ali al Qari dan Abd. Fattah Abu Ghuddah[41].

Ulasan:
Hadis ini secara zahirnya seolah-olah melarang kita daripada berbual atau berbincang di masjid. Sedangkan di dalam hadis-hadis yang sahih, kita dapati Rasulullah SAW seringkali berbincang dan berbual dengan para sahabat di dalam masjid. Bahkan lebih dari itu, sekumpulan orang Islam dari Habsyah telah bermain di dalam Masjid Nabawi dengan permainan pisau. Permainan tersebut bertujuan mengisi masa lapang dan juga melatih kemahiran bersenjata. Maka Rasulullah SAW dan isterinya Aisyah bersama-sama melihat kepakaran orang-orang Habsyah bermain senjata dan tidak melarangnya[42].

Masjid merupakan tempat untuk kita berbincang, menuntut ilmu, merancang perkara-perkara kebaikan dan juga bertegur sapa serta beramah mesra. Inilah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan ia berlainan dengan apa yang disebutkan oleh hadis yang tidak sahih ini. Seharusnya masjid berperanan seperti zaman Rasulullah SAW bagi memastikan umat Islam terus maju dan berjaya seperti pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Last edited by unhas on 11-7-2013 03:41 PM

Reply

Use magic Report

Post time 13-7-2013 11:55 PM | Show all posts
Maksudnya: Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China.

ramai yg kata ini palsu
dan dari riwayat juga mengatakan ada kabilah2 berdagang hingga ke cina
dan perjalanan pergi balik memakan masa lebih kurang setahun
dan di masa itu cina adalah salah satu destinasi yg cukup jauh dr jajahan arab

jadi NABI bersabda sebegitu, agar manusia sentiasa belajar dan mengajar(sebarkan agama)


Reply

Use magic Report

Post time 13-7-2013 11:58 PM | Show all posts
Maksudnya: Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad

sama prinsip seperti hadith diatas kannnn

Ketiga:
Maksudnya: Tidur selepas subuh/ waktu pagi menghalang rezeki.

NABI bermaksudkan sesiapa yg tidor pagi adalah pemalas
kerana SIANG DIJADIKAN  SEBAGAI MASA MENCARI REZEKI
Reply

Use magic Report

Post time 14-7-2013 10:20 AM From the mobile phone | Show all posts
So apa masalahnya?
Reply

Use magic Report

Post time 14-7-2013 03:26 PM | Show all posts
wan72 posted on 14-7-2013 10:20 AM
So apa masalahnya?

TT sekadar nak memaklumkan ....itu kot maksudnya...

yg terbaru dalam satu  thread yg  PitMeit nyatakan : cerai tu gegar arasy hadith tu i baru tahu ...
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 14-7-2013 03:55 PM | Show all posts
takde masalah pun. cuma nak memaklumkan dan mengharapkan masukan daripada forumer2 yang mungkin lebih mengerti dalam hadith. cuma tu la saya tak habis fikir kenapa sampai ade yang sanggup memalsukan hadith? walaupun kadang2 mengandungi tujuan yang baik tapi bukankah itu dah masuk dalam berdusta? tak habis fikir dengan pemalsu2 hadith ni. last2 kita sebagai masyarakat yang ilmu seciput juga yang jadi mangsa penipuan. mati2 ingat sesetengah kata2 tu betul dari rasulullah padahal tidak.

p/s - kalau terdapat kesalahan dalam pandangan saya kat atas harap dibetulkan. i dont know im no pro.
Reply

Use magic Report

Post time 14-7-2013 04:00 PM | Show all posts
syurga dia bawah kaki ibu dan wanita yg rela dimadukan dapat payung emas pun disyaki hadis palsu  
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 14-7-2013 06:23 PM | Show all posts
banyak kata-kata yang baik, tetapi palsu.....maksud palsu ialah jika ditujukan bahawa nabi yg kata, maka itu dakwaan palsu....sebab nabi tak kata...
nak buat macamana....

sabo jer la....kerana ia tidak mustahil seorang itu berkata2 baik, tetapi, bukan dari nabi....

mungkin disangka dari nabi kerana ramainya org yg menyebarkannya...dan menyukainya...

wallahua'lam.. Last edited by ussopp on 14-7-2013 06:24 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-7-2013 07:59 PM | Show all posts
ussopp posted on 14-7-2013 06:23 PM
banyak kata-kata yang baik, tetapi palsu.....maksud palsu ialah jika ditujukan bahawa nabi yg kata,  ...

itulah ustaz ussop. saya sebagai orang awam bingung sebenarnya. macam semalam dekat masjid tempat saya ada tazkirah yang mencaritakan tentang kisah tsa'labah. sedangkan dari penjelasan yang saya dapat kat atas bahawa kisah tsa'labah tu tak benar sebenarnya. saya bingung sebenarnya ustaz. dalam satu hal, sebenarnya benda ni positif nak menasihati jemaah kepada kebaikan sedangkan dalam hal lain plak nampak macam tak betul sebab mereka2 cerita yang nabi tak cerita pun. saya pun tak tau nak react macam mana. banyak sangat ke ustaz hadith2 palsu yang beredar dalam umat islam sekarang ni? macam penjelasan kat atas tu even kitab ihya ulumuddin pun ade hadith daif jugak. atau mungkin ini ade hikmah yang menunjukkan manusia ni tak lari dari kesalahan walaubagaimana hebat pun. semoga ALLAH tetapkan kita semua pada jalan yang lurus insyaALLAH.
Reply

Use magic Report

Post time 15-7-2013 01:14 AM | Show all posts
Assallamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdullillah

Uncle terasa perlu utk memberi penambahan tentang hadith pertama yg Tt bawa....spt TT tulis :
Pertama:
Maksudnya: Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China.

Kedudukan Hadis:
Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu’at[1]. Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H)[2], al Iraqi[3], Ibn Hibban[4] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[5].



Menurut penelitian Uncle....Hadith ini banyak diperbincangkan ulama ulama...dan Alhamdullillah....Hadith ini TIDAK SAMPAI DIKATAKAN PALSU....BUKAN HADITH PALSU.



Berikut Uncle bawakan keterangan :

« اطلبوا العلم ولو بالصين ، فإن طلب العلم فريضة على كل مسلم »

“ Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China, karena sesungguhnya menuntut ilmu sangatlah wajib atas setiap orang muslim”.

Nash di atas adalah matan dari hadits dhoif tetapi diriwayatkan melalui banyak sanad, di antaranya Imam Baihaqi dalam kitab syi’bul iman. Ahli hadits menyatakan di antara perowi hadits tersebut adalah Abu ‘Atikah yang dikatakan oleh ulama’ hadits sebagai perowi dhoif, sehingga muncul banyak pendapat dalam menilai hadits ini sebagai hadits dhoif, bathil atau tidak bersanad.

Namun demikian, menurut al-hafidh al-Mazi : karena hadits ini memiliki banyak jalan (sanad), maka
dari dhoif naik ke derajat hasan lighoirihi. Oleh karena itu tidak boleh bagi kita mengatakan bahwa itu bukan hadits.



p/s :  drp keterangan di atas....Hadith ini dihujahkan sebagai dhoif atau Hasan lighorihi...TIDAK SAMPAI HADIH PALSU...Jadi, Apa pun kita bukannya hendak mensahihkan hadis ini dan menjadikannya sebagai hujah. Tujuannya adalah agar kita tidak mencemuh dan mendabik dada apabila melihat orang lain menyebutkannya, seperti kita berkata:
”Apa ustaz ni? Pakai hadis palsu!” ...

wAllahu a'lam...





Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 15-7-2013 01:20 AM | Show all posts
kalau di jepun keretapi terbalik menteri pengangkutan letak jawatan ...

berarti jika kedapatan satu hadis yang cela atau palsu, yang lain juga
haruslah diberi penilitian yang sedalam-dalamnya ...

gunakanlah yang baik-baik dan yang mempermudahkan ibadah ...
Reply

Use magic Report

Post time 15-7-2013 01:22 AM | Show all posts
Alhamdullillah...

Ini pulak Uncle petik kesimpulan Ustaz Zamihan tentang hadith yg sama :


KESIMPULAN :

Hasilnya, semua keterangan ini membuktikan kepada kita bahawa para ulamak tidak seia sekata dalam menentukan hadis ini. Apa yang jelas ialah status hadis ini ditentukan berdasarkan kepada susur galur periwayatan sanad-sanadnya yang banyak. Hasilnya, ada riwayat yang berstatus dhaif dan palsu. Walaupun dhaif jika dihimpunkan dengan beberapa periwayatan dan kesaksian yang lain ia akan mencapai taraf hasan. Apabila ia bertaraf dhaif ataupun hasan ternyata ia boleh diamalkan menerusi disiplin ilmu hadis.

Buktinya, Al-Imam al-Nawawi –secara masyhur- di dalam al-Arba’in mengatakan bahawa para fuqaha’ dan muhaddithin telah bersepakat untuk menerima pakai hadis dhaif dalam bab Fadha’il a’mal (kelebihan untuk beramal) dan Bab Etika serta tidak ianya tidak berstatus palsu.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-7-2013 01:30 AM | Show all posts
burungantu posted on 15-7-2013 01:22 AM
Alhamdullillah...

Ini pulak Uncle petik kesimpulan Ustaz Zamihan tentang hadith yg sama :

waalaikum salam warahmatullahi wabarakatuh.

terima kasih uncle atas masukan yang bermakna itu. jadi hadith yang tentang menuntut ilmu sampai kenegeri cina itu masih boleh dikategorikan sebagai hadith la ek? ok la camtu. terima kasih kerana memberi penerangan. sangat bererti apatahlagi pada orang awam macam saya ni. semoga bermanfaat untuk kita semua.
Reply

Use magic Report

Post time 15-7-2013 02:38 AM | Show all posts
saya sependapat dengan burung malam. penjelasan burung malam amat detail dari segi menerangkan hal ehwal ini.

apapun, ini sekadar cadangan. carilah Sunnah Rasullullah yg lebih jelas dari para2 imam yg muktabar (imam berempat). itu pun sudah terlalu byk yg kita sudah lupa2kan.

Reply

Use magic Report

Post time 15-7-2013 08:27 AM | Show all posts
unhas posted on 15-7-2013 01:30 AM
waalaikum salam warahmatullahi wabarakatuh.

terima kasih uncle atas masukan yang bermakna itu.  ...

Menurut muhaddithin yang 'strict', hadith itu dikatakan palsu (tuntut ilmu sampai negeri China)

Namun tidak ada persetujuan dari sebahagian besar muhaddithin tentang mengisytiharkan hadith tersebut palsu, maka di situ ada khilaf pendapat tentang kesahihan hadith tersebut. Bila kita dengar pendapat yang mengatakan hadith itu palsu, maka kita ambil pendapat itu berdasarkan keterangan muhaddithin yang kata hadith itu palsu sebagai langkah berjaga-jaga, takut-takut riwayat itu bukannya dari Nabi

Bila kita dengar pendapat lain yang menyebarkan hadith tersebut, kita terima hadith itu sebagai hadith dhaif mengikut penerangan Ulama hadith yang menyatakan sedemikian, dan dalam bab Fadhaail telah dipersetujui oleh Ulama hadith yang di i'tiraf, bahawa hadith dhaif boleh diterima pakai. Sebaik-baiknya kita juga sebut, hadith ini darjatnya dhaif (lemah sanad periwayatannya), tetapi matannya (konteks, isi, dan maksudnya) tidak terpesong dari ajaran Islam

WAllahu a'lam
Last edited by mnm77 on 15-7-2013 08:28 AM

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-7-2013 02:48 PM | Show all posts
mnm77 posted on 15-7-2013 08:27 AM
Menurut muhaddithin yang 'strict', hadith itu dikatakan palsu (tuntut ilmu sampai negeri China)

...

sorry double post.................
Last edited by unhas on 15-7-2013 02:51 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-7-2013 02:49 PM | Show all posts
mnm77 posted on 15-7-2013 08:27 AM
Menurut muhaddithin yang 'strict', hadith itu dikatakan palsu (tuntut ilmu sampai negeri China)

...

terima kasih ustaz mnm atas ilmu yang disampaikan dan kdit yang diberikan...............undefined
Reply

Use magic Report

Post time 15-7-2013 08:23 PM From the mobile phone | Show all posts
Tapi Tanya masih boleh dijadikan amalan @ pedoman. Cuma tak boleh dibuat berhujah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-7-2013 10:15 PM | Show all posts
KENALI HADIS PALSU MENERUSI MATAN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Menyebarkan hadis palsu tanpa menerangkan tentang kepalsuannya adalah merupakan satu dosa yang amat besar. Penipuan dan bersekongkol dengan penipuan adalah dosa menurut ajaran Islam. Apatah lagi jika pembohongan itu menggunakan nama Allah dan RasulNYA. Kesannya besar dan bahaya. Mereka yang terpedaya dengan penipuan tersebut akan mengamalkan sesuatu yang disangkakan bersumber dari Tuhan sedangkan hakikatnya tidak demikian. Jika isi pembohongan itu sesuatu yang jelas bercanggah dengan hakikat fakta, ataupun sesuatu yang ‘lekeh’ maka Tuhan ataupun RasulNya akan dipersalahkan. Mungkin ia akan menghilangkan keimanan manusia terhadap ajaran agama.
Justeru itu, Islam mengharamkan sama sekali perbuatan mengadakan hadis palsu seperti penegasan Nabi s.a.w dalam hadis mutawatir:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
Bukan sahaja mengadakan hadis palsu itu dosa besar, menyebarkannya juga berkongsi dosa besar yang sama. Dalam era teknologi ini, begitu mudah sesuatu hadis palsu itu tersebar. Menerusi sms, email, facebook, twitter dan pelbagai lagi, ramai yang terlibat dengan kegiatan dosa menyebarkan hadis palsu ini. Maka berhati-hatilah. Beberapa klik tanpa penelitian boleh membawa anda menjadi pendusta yang menggunakan nama Allah dan RasulNYa.

Mengkritik Matan
Pembaca internet juga terdedah kepada pelbagai sumber hadis palsu. Saya mengajar di USM kursus Analisa Kritis Matan Hadis untuk para pelajar ijazah tinggi. Saya rasa orang awam juga wajar dibekalkan sedikit sebanyak pengetahuan tentang analisa matan hadis.
Secara umumnya, hadis palsu dapat diketahui melalui dua cara; pertama: kajian terhadap sanad (rangkaian perawi). Kedua; kajian terhadap matan atau kritik teks (textual criticism). Untuk mengkaji para perawi adalah sesuatu yang bukan mudah melainkan mereka yang terbabit langsung dalam bidang hadis. Apakah ada cara untuk seseorang biasa mengagak sesuatu hadis itu mungkin palsu hanya dengan membaca matan (teks) sahaja? Maka di sini datang peranan naqd al-matn (kritik teks) atau kajian teks tadi.
Pengetahuan ini amat penting kepada para pengguna internet hari ini, kerana ia sekurang-kurang dapat menjadikan mereka berhati-hati apabila melihat ataupun mendengar teks hadis yang pelbagai. Jika pun mereka tidak dapat memutuskan kedudukan hadis-hadis tersebut, sekurang-kurangnya mereka akan menangguhkan dulu sebelum mempercayainya sehingga ternyata kedudukannya.
Ibn Qayyim
Ilmuan hadis yang terbilang iaitu Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) pernah ditanya apakah mungkin untuk mengetahui hadis palsu tanpa melihat kepada sanadnya? Untuk menjawab persoalan yang besar itu, beliau telah menghasilkan buku yang amat penting dalam sejarah ilmu mengkritik teks hadis iaitu karya beliau Al-Manar Al-Munif fi al-Sahih wa al-Da’if. Sesiapa yang berkemampuan membaca teks arab, saya mencadangkan mereka membaca buku ini bersama komentar yang dibuat oleh al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Bagaimana pun, bagi yang tidak menguasai, saya ingin memetik beberapa noktah menarik yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam buku tersebut bersama sedikit ulasan.
Antara yang disebut oleh Ibn Qayyim; hadis palsu itu antara cirinya mengandungi unsur mujazafah iaitu berlebih-lebihan dalam penetapan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar, ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah. Contoh yang dibawa oleh Ibn Qayyim iaitu hadis palsu: “Sesiapa yang mengucap Lailaha illaAllah; Allah ciptakan kalimah itu menjadi seekor burung yang mempunyai 70,000 lidah, setiap lidah ada 70,000 bahasa yang beristighfar kepadanya”.(m/s 51. Halab, Syria: Maktabah al-Matbu‘at al-Islamiyyah)
Lojik
Antara ciri lain bagi hadis palsu ialah bercanggah dengan fakta yang nyata. Banyak contoh yang disebut oleh beliau; antaranya hadis palsu: “Terung itu ubat bagi segala penyakit”. Contoh lain: “Hendak kamu memakan kacang dal kerana ia berkat dan melunakkan jantung hati. Membanyak airmata dan ia disucikan oleh 70 nabi”. (m/s 52)
Antara lain beliau menyebut ciri hadis palsu itu ia kelihatan selekeh dan boleh dipersendakan. Banyak contohnya, antara yang disebut; hadis palsu “Jika beras itu lelaki nescaya dia seorang yang penyantun”. Contoh lain; “Hendaklah kamu memakan garam kerana ia ubat bagi 70 penyakit”. Contoh lain: “Tiada buah delima melainkan bijinya berasal dari syurga”. (m/s 55)
Contoh lain: “Sesiapa yang membela ayam jantan putih, maka dia tidak akan dihampiri oleh syaitan dan sihir”. Kemudian Ibn Qayyim membuat kesimpulan tentang hadis ayam jantan: “Kesemua hadis ayam jantan adalah dusta kecuali satu hadis iaitu “Sesiapa yang mendengar kokokan ayam jantan hendaklah dia memohon kurniaan dari Allah kerana ia melihat malaikat” (riwayat Bukhari dan Muslim). (m/s 56)


Dalam masyarakat melayu, terdapat juga mereka yang mempercayai kelebihan ayam jantan putih. Kepercayaan itu mungkin berasal dari hadis-hadis palsu yang seumpama ini.
Canggah Sumber Sahih
Ciri hadis palsu yang lain yang dinyatakan oleh Ibn Qayim apabila sesuatu hadis itu bercanggah dengan hadis sahih yang lain secara nyata. Ini seperti hadis-hadis palsu yang memuji orang yang bernama Muhammad ataupun Ahmad bahawa sesiapa bernama seperti itu tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip ajaran Nabi s.a.w yang menegas bahawa neraka itu bukan dapat dielakkan dengan nama dan gelaran sebaliknya dengan iman dan amalan soleh. (m/s 57)
Antara ciri palsu lain ialah hadis yang menyebut Nabi Khidir masih hidup. Kesemua hadis yang membawa maksud tersebut adalah palsu dan dusta. Kemudian al-Imam Ibn Qayyim mengemukan banyak hujah dari al-Quran dan al-Sunnah yang membuktikan bahawa cerita Khidir masa hidup sehingga kini adalah dusta dan palsu. (m/s 67-76)
Pelik
Contoh hadis palsu lain: “Pelangi di langit itu adalah tengkok ular yang berada di bawah Arsy”. Juga hadis palsu: “Jangan mandi air yang terdedah kepada matahari kerana ia menyebabkan sopak” (m/s 60)
Antara ciri hadis palsu ialah apabila terdapat dalamnya penetapan tarikh tertentu seperti pada tahun sekian dan sekian, pada bulan sekian dan sekian akan berlaku peristiwa itu dan ini. Ini ciri kepalsuan sesuatu hadis. Ini seperti hadis bahawa akan berlaku gerhana dalam Bulan Muharram kemudian berlaku peristiwa itu dan ini. (m/s 64).
Banyak hadis yang seperti ini tersebar dalam internet lalu dipercayai oleh mereka yang dangkal akal dan pengetahuan.
Antara ciri yang lain hadis yang seakan ucapan ahli perubatan, bukan ungkapan seorang nabi. Ini seperti hadis palsu: “Memakan ikan melemahkan jasad”. Contoh lain: “Ada seseorang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tiada anak. Nabi menyuruhnya memakan telur dan bawang”. Contoh lain: “Berikan isteri-isteri kamu memakan tamar semasa nifas”. (m/s 65). Banyak hadis yang seperti ini kadang-kala dibaca oleh mereka yang bergelar ‘ustaz dan ustazah’ yang tidak meneliti ilmu hadis ini. Para peniaga suka hadis- hadis seperti itu untuk melariskan peniagaan mereka.
Banyak lagi ciri-ciri yang disebut oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karya itu. Begitu banyak hadis-hadis palsu yang beliau sertakan sebagai contoh untuk pembaca. Tulisan saya ini sekadar memberikan kesedaran awal untuk mereka yang kurang memberikan perhatian dalam hal ini. Anda boleh rujuk juga beberapa artikel saya tentang hadis palsu sebelum ini. InshaAllah, selepas ini akan saya ikuti dengan beberapa coretan yang lain untuk membantu memahami isu hadis palsu ini.
Reply

Use magic Report

12Next
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-2-2025 05:01 PM GMT+8 , Processed in 1.922550 second(s), 41 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list