|
MEMANG GEMPAK! Cukup hanya sebuah, namun bunyi enjin motosikal berkuasa tinggi mampu didengari dari jauh. Apatah lagi jika bergerak secara konvoi, sudah tentu ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat keunikannya dari dekat.
Memilih hitam sebagai warna tema motosikal Virago milik ahli kumpulan Braders, namun sebarang pengubahsuaian pada motosikal berkenaan adalah bergantung kepada kreativiti pemiliknya.
Lambang Braders ialah setiap Virago mempunyai pemegang motosikal yang tinggi (dikenali sebagai Monkey-Bar), namun reka bentuk atau ketinggiannya, terpulang kepada kehendak dan keselesaan masing-masing.
Ketinggian Monkey-Bar pada setiap motosikal Virago yang diubahsuai adalah mengikut peraturan undang-undang iaitu di bawah 54 sentimeter.
Wingmen Braders kawasan utara, Zamberi Othman, 35, berkata, kumpulan terbabit ditubuhkan sejak 2008, berpusat di Butterworth, Pulau Pinang, dengan keahlian hampir 40 orang.
Menurutnya, minat terhadap motosikal berkuasa tinggi timbul sejak zaman persekolahan, yang mana selain selesa, menunggang motosikal seperti itu memberikan satu kepuasan kepada dirinya.
“Dua motosikal saya sebelum ini sudah dijual, dan motosikal ketiga yang sama miliki ketika ini dibeli pada harga mencecah RM12,000, manakala kos pengubahsuaian pula menelan belanja hampir separuh daripada itu.
“Namun, pengubahsuaian dilakukan secara berperingkat, bergantung kepada masa, sumber kewangan dan bekalan peralatan yang diperlukan untuk menghiasinya,” katanya.
Bijak bahagi masa
Zamberi berkata, dari segi pembahagian masa antara kerjaya, keluarga dan aktiviti kumpulan, dia dan rakan-rakan lain tidak menghadapi masalah memandangkan ramai di kalangan mereka bekerja sendiri.
“Kami akan berkumpul seminggu sekali, iaitu pada Jumaat malam, di lokasi yang ditentukan. Ada kalanya kami turut berkonvoi untuk menyertai aktiviti di negeri lain, seperti Kuala Lumpur Bike Week.
“Setakat ini, konvoi paling jauh ialah ke beberapa destinasi di Thailand, seperti Phuket dan Pattaya, selain konvoi ke selatan tanah air,” katanya.
Mohd Nawawi Mohd Hassan, 45, yang juga anggota Braders, berkata, kegilaannya terhadap motosikal Virago timbul sejak lima tahun lalu, dan mula menyertai kumpulan itu sejak dua tahun lalu.
“Apabila bercakap mengenai minat, pada saya faktor usia bukanlah penghalang malah menunggang motosikal seperti ini membuatkan saya rasa “steady” dan “cool”.
“Saya memiliki tiga motosikal Virago dan yang paling mahal ialah Suzuki Intruder 750 yang dibeli pada harga RM15,000,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rani Mat Ludin, 36, anggota Braders, berkata, kepuasan yang dirasainya ketika menunggang motosikal virago berbeza dengan superbike.
“Memang sukar untuk saya gambarkan perasaan seronok dan puas apabila dapat menunggang motosikal idaman,”
|
|