REKAAN kemas Audi terserlah pada model wagon berkuasa tinggi ini.
MEREKA yang berada di Eropah mengambil serius mengenai kereta wagon. Pasaran di sana besar sehinggakan wajib untuk kebanyakan pengeluar kenderaan mempunyai model wagon.
Kebanyakan kereta jenis itu dibangunkan berasaskan model sedan, tetapi dengan bumbung yang dipanjangkan dan ruang bonet lebih besar. Baru-baru ini saya sempat memandu uji sebuah wagon buatan Sweden. Ya, wagon sememangnya praktikal.
Jika disebut wagon, mungkin ramai yang membayangkan Nissan AD Resort. Namun sebenarnya banyak lagi model jenis itu di atas jalan raya Malaysia. Misalnya, Volvo V50, Subaru Forester atau Mitsubishi Lancer Evolution Wagon.
Selain itu, Perodua Alza, Nissan Grand Livina, Honda Stream dan Toyota Wish sebenarnya juga boleh dikategorikan sebagai wagon. Cuma bezanya model-model tersebut mempunyai tempat duduk tambahan di barisan ketiga.
Untuk wagon yang dipaparkan kali ini, saya tidak pasti apakah label yang sesuai untuk digunakan kerana kuasanya sangat tinggi. Memetik laporan agensi berita Newspress, RS 6 Avant buatan Audi hanya mengambil masa 3.9 saat untuk memecut dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j).
Jika kereta yang laju digelar supercar, maka layaknya RS 6 Avant digelar superwagon. Masakan tidak kerana enjin yang digunakannya bersesaran 4.0 liter V8 TFSI dengan turbo berkembar! Output kuasanya pula ialah 560PS dengan tork setinggi 700Nm.
Sememangnya RS 6 Avant bukan wagon untuk kaum ibu menghantar dan mengambil anak ke sekolah. Kelajuan maksimum standard model itu ialah 249.45 km/j.
Ia boleh ditingkatkan kepada 280 km/j melalui pilihan pakej Dynamic. Jika itu masih tidak memadai, pakej Dynamic plus membolehkan pemandu memecut sehingga 304 km/j.