|
Kedudukan tunai kukuh syarikat susulan penjualan aset bukan teras\rTELEKOM Malaysia Bhd (TM) mencadangkan pembayaran semula modal 30 sen sesaham dan dividen 9.8 sen sesaham kepada pemegang saham, sekali gus menjadikan agihan tunai keseluruhan berjumlah RM1.423 bilion.\r\n\n\n\n\r Syarikat itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia berkata, cadangan pembayaran adalah selaras dengan matlamat rangka kerja pengurusan modal syarikat yang merangkumi pulangan semula lebihan keperluan TM kepada pemegang sahamnya.\r\r\n\n\n\n\n Ia dibuat selepas mengambil kira kedudukan tunai, prospek perniagaan, unjuran perbelanjaan modal dan rancangan pelaburan serta jangkaan tanggungjawab.\r“Ini adalah masa sesuai untuk melaksanakan cadangan pembayaran modal susulan kedudukan tunai yang kukuh susulan penjualan aset bukan teras oleh TM dan anak syarikatnya.\r“TM percaya dengan memberi pulangan ekuiti kepada pemegang sahamnya, ia juga menyediakan rangsang nilai serta meningkatkan kadar pulangan jangka panjang. Kecekapan lembaran imbangan TM juga dapat dipertingkatkan,” kata kenyataan terbabit.\rSementara itu, Pengerusinya, Datuk Dr Halim Shafie pada sidang media membentangkan prestasi tahun kewangan 2011 di Kuala Lumpur, semalam berkata, cadangan pembayaran semula modal terbabit akan dibiayai menerusi baki tunai sedia adanya iaitu RM4.213 bilion pada 31 Disember 2011.\r\n\n\n\r“Bersama-sama dividen akhir satu peringkat untuk tahun kewangan 2011 iaitu 9.8 sen sesaham, jumlah agihan tunai kepada pemegang saham akan berjumlah RM1.423 bilion, atau 39.8 sen sesaham,” katanya.\rHadir sama Ketua Eksekutifnya, Datuk Sri Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Bazlan Osman.\rJika tiada sebarang halangan, katanya, cadangan pembayaran semula modal dijangka selesai dalam suku ketiga pada 2012.\rTM mencatat pertumbuhan pendapatan kukuh sebanyak 4.1 peratus kepada RM9.150 bilion dalam tahun kewangan lalu berakhir pada 31 Disember 2012 berbanding RM8.791 bilion tahun sebelumnya.\rMengulas perkembangan berkenaan, Zamzamzairani, berkata peningkatan itu disumbang pertumbuhan memberangsangkan segmen Internet dan multimedia yang mencatat peningkatan 21.1 peratus kepada RM2.001 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dipacu pertambahan jumlah pelanggan jalur lebar, khususnya UniFi.\r“UniFi terus mencatat prestasi melangkaui jangkaan pada suku ke empat tahun lalu, yang mana dari segi liputan, TM sudah melaksanakan perkhidmatan ini kepada 1.16 juta premis meliputi 78 ibu sawat dengan mengaktifkan 236,501 pelanggan, iaitu penambahan bersih 43.9 peratus atau 72,000 pelanggan dari suku-ke suku.\r“Perkhidmatan HyppTV, yang adalah sebahagian daripada perkhidmatan tiga serangkai UniFi, kini menawarkan 81 saluran manakala setakat semalam TM mengaktifkan lebih 283,000 pelanggan,” katanya.\rZamzamzairani berkata, ditambah dengan perkhidmatan Streamyx, jumlah pelanggan jalur lebar TM meningkat 12.3 peratus kepada 1.92 juta tahun lalu daripada 1.71 juta tahun sebelumnya.\rBagaimanapun, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) TM dalam tahun kewangan dikaji susut sedikit sebanyak 1.3 peratus kepada RM1.191 bilion, berbanding RM1.206 bilion tahun sebelumnya.\rZamzamzairani menjelaskan penyusutan itu disebabkan terutamanya oleh kerugian tukaran wang asing yang tidak direalisasi.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|