Post Last Edit by isabel at 9-12-2011 16:04
2011, 6 December - Bertempat di Hotel Mandarin Oriental, bagaikan bulan jatuh ke riba. ONEHD telah memberi kejutan hadiah hujung tahun kepada peminat Malaysia dengan kehadiran sepasangan kekasih dari drama yang menyayat hati “Scent of Woman”. Kedua tunggak utama ini telah diterbangkan khas oleh ONEHD rangkaian hiburan utama dibawah Sony Pictures Television Network, Asia dan dengan kerjasama SBS Contents Hub. ONE HD juga mensajikan program hiburan yang terkini dan terpilih dengan disertakan alihbahasa dalam Bahasa Malaysia. Drama hit ini “Scent of Woman” kini sedang hangat ditayangkan di Astro BeyondHD (saluran 393) setiap hari Rabu dan Khamis, jam 09:05 malam.
Tidak dinafikan kedua pelakon ini sangat serasi didalam siri “Scent of Woman” sehinggakan ada gossip mengatakan mereka adalah pasangan kekasih di luar drama juga. Pelakon yang dimaksudkan itu adalah Lee Dong-Wook, jejaka berusia 30 tahun dan Kim Sun-Ah, wanita ayu 36 tahun dimana angka hanyalah sekadar nombor pada beliau. Mereka didatangkan khusus ke Malaysia untuk mempromosikan drama “Scent of Woman” sekaligus menjenguk peminat-peminat mereka dengan mengadakan sesi bertemu peminat “Meet & Greet with Lee Dong-Wook and Kim Sun-Ah”.
“Scent of Woman” adalah drama lakonan pertama Lee Dong-Wook selepas kembali dari menjalani latihan tentera selama 2 tahun.
"Sebelumnya benarkan saya memperkenalkan diri dahulu. Hi, saya Lee Dong-Wook dan terima kasih. Pada mulanya saya agak kekok untuk menyesuaikan diri dengan set drama dan bertemu pelakon-pelakon dan staff yang baru sebaik sahaja menamatkan latihan ketenteraan. Tetapi Kim Sun-Ah dan pelakon yang lain termasuk staff produksi sangat membantu dan membuatkan saya merasa selesa di set. Saya sangat lega dan gembira memilih projek ini untuk drama kemunculan semula saya selepas 2 tahun”
Beliau juga sangat gembira kerana drama ini bukan sahaja mendapat sambutan di Korea tetapi juga di negara-negara lain. Sehari sebelumnya mereka telah berkunjung ke Singapura untuk mempromosikan “Scent of Woman”. Walaupun beliau kelihatan agak keletihan kerana dibebani dengan jadual yang padat untuk penggambaran drama baru “Wild Romance” bersama Lee Shi-Young dan dimasa yang sama juga mempromosikan “Scent of Woman”, beliau masih tetap mampu bergurau dan tersenyum bersama media dan peminatnya di sini.
Ditanya lagi scene manakah yang paling diingatinya, dan beliau menjawab:
"Semestinya tango scene, saya tidak dapat ingat secara tepat tetapi yang paling saya suka ialah scene di mana, Kang Ji-Wook and Lee Young-Jae berada di depan rumah Young-Jae dan sambil kami memeriksa hati kami, cinta kami dan dia bertanya jika mereka boleh jatuh cinta dan menjadi pasangan kekasih”
Tersipu malu beliau mengiakan bila ada seorang media yang menjerit membetulkan babak tersebut adalah daripada Episode 9. Manakala Kim Sun-Ah juga kelihatan tersipu malu tersenyum disamping beliau. Dan akhir sekali apabila ditanya apakah "bucket list" beliau? Beliau mengharapkan drama “Scent of Woman” akan menjadi hit dan popular di sini dan juga berharap dapat kembali lagi ke Malaysia.
Kim Sun-Ah pula kelihatan sangat ceria dan anggun bersama busana putih yang menghiasi tubuhnya yang kecil molek. Sikapnya yang comel, bersahaja dan penuh berjenaka menghidupkan lagi suasana sesi bersama media dan peminat. Ramai mungkin yang mengenali beliau sebagai Kim Sam Soon di dalam “My Love Kim Sam- Soon” yang suatu ketika dulu sangat popular di awal 2005. Tetapi Kim Sun-Ah yang kini adalah seorang yang sangat elegan dan berjaya membawakan wataknya di dalam “Scent of Woman” dengan baik sehingga meruntun hati jutaan penonton diluar sana. Membawakan watak penghidap kanser dan hanya memiliki 6 bulan sahaja untuk hidup adalah suatu yang mungkin kita semua tidak dapat lalui didunia nyata. Namun beliau menyatakan bahawa karakter Lee Young-Jae mengajarnya tentang makna hidup dan harapan (life and hope).
"Ini adalah pertama kali saya datang ke Malaysia dan terima kasih kerana telah menyambut kami dengan semeriah ini. Saya berharap malam ini akan menjadi malam yang terindah buat semua yang hadir. Sebelum ini saya tidak pernah memainkan watak seperti Lee Young-Jae, seorang gadis yang hanya mempunyai 6 bulan utk hidup. Tetapi watak ini telah mengajar saya tentang harapan dan makna kehidupan yang berbeza dan kerana itu ia sangat dekat di hati saya dan bermakna kepada diri saya dan juga karakter Lee Young-Jae”
Kerana itu juga beliau menerima watak Lee Young-Jae tanpa berfikir panjang sebaik sahaja membaca skrip dan scenario daripada penulisnya, No Ji Seol dan pengarah yang berkaliber, Park Hyung Ki. Beliau berharap peminat di Malaysia akan mencintai “Scent of Woman” dan menghayati mesej yang ingin disampaikan di dalam drama ini. Dan sebagaimana juga Lee Dong-Wook, Kim Sun-Ah juga menyatakan bahawa "bucket list" beliau yang paling utama adalah berharap "Scent of Women" akan disayangi oleh semua peminat Malaysia.
Pertemuan singkat peminat bersama Lee Dong-Wook dan Kim Sun-Ah dihangatkan lagi dengan nyanyian duet pasangan kesayangan ini. Lagu yang dipilih adalah dari runut bunyi (OST) “Scent of Woman” bertajuk 우리다시 (Our Reunion). Mereka telah merakamkan lagu ini bersama dan dimuatkan didalam runut bunyi (OST) “Scent of Woman”. Mereka mungkin bukan penyanyi yang hebat tetapi keikhlasan didalam lagu itu dapat dihayati sepenuhnya oleh semua peminat yang hadir dan mereka tidak berhenti menjerit dan bersorak memberi sokongan kepada pasangan ini.
Dilain waktu dan ketika peminat menaruh harapan mereka akan kembali lagi dan kali ini dapat menikmati juga mengenali Malaysia dan peminat mereka dengan lebih dekat lagi. Kepada peminat pasangan comel ini, diharapkan semua akan terus memberi sokongan dan menonton drama ini di saluran 393, Astro BeyondHD.
Note: Sila nantikan temubual ekslusif bersama Lee Dong-Wook dan Kim Sun-Ah
Artikel oleh : sara
Editor oleh : isabel Last edited by isabel on 15-10-2012 12:53 PM
|