|
Kontena Nasional cadang ubah modul perniagaan, perluas operasi\rKONTENA Nasional Bhd (KNB), syarikat logistik utama Malaysia, menyasar mencapai pertumbuhan pendapatan sebanyak 25 peratus tahun depan, didorong langkah syarikat meluaskan operasi di negara jiran selain memberikan penekanan kepada tiga teras utama perniagaannya.\r\n\n\n\n\r Sehubungan itu, Ketua Eksekutifnya, Hood Osman, berkata KNB akan menyuntik perbelanjaan modal berjumlah RM100 juta tahun depan sebagai sebahagian daripada proses mengubah modul perniagaannya supaya lebih kompetitif.\r\r\n\n\n\n\n “Kira-kira 70 peratus daripada modal itu akan digunakan untuk meningkatkan prestasi perniagaan teras iaitu pengangkutan kontena runcit, projek kontrak dan pengangkutan trak biasa,” katanya pada sidang media selepas menerima kepala treler ke-400 daripada Pengarah Urusan Scania Malaysia Sdn Bhd, James Armstrong di Shah Alam, semalam. \rTahun lalu, KNB merekodkan pendapatan berjumlah RM203.9 juta dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.4 juta.\rKNB adalah anak syarikat NCB Holdings, yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia dan juga ahli kumpulan syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB).\rSelain itu, penyedia perkhidmatan logistik yang memulakan operasi pada 1971, memiliki 500 kepala treler dan 2,400 treler selain menjalankan operasi di 17 cawangan dan 19 gudang di seluruh negara dengan 1,500 tenaga kerja.\r\n\n\n\n\rMengenai operasinya di luar negara, Hood berkata, KNB juga berhasrat menawar lebih banyak perkhidmatan di kawasan pedalaman Indonesia menerusi pengangkutan darat dan pergudangan, selain memberi tumpuan kepada perkhidmatan pelabuhan di Thailand.\r“Kami menyasar untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan supaya setanding dengan pengendali perkhidmatan logistik bersepadu bertaraf antarabangsa dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam industri logistik global,” katanya.\rKatanya, pengembangan perniagaan KNB di peringkat serantau akan membantu memperkukuh usaha Malaysia untuk menjadi hab logistik serantau, sama ada dalam perniagaan logistik halal mahupun konvensional.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|