CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 32098|Reply: 0

[Sarawak] Single ‘Dayung Bidayuh’ tampil dengan remix baharu, video muzik rasmi dilancar petang ini

[Copy link]
Post time 21-2-2026 05:28 PM | Show all posts |Read mode


Gambar kulit single Carrie, Dayung Bidayuh (2026 Remix), turut menampilkan Dashin salah seorang Bidayuh Ring Lady terakhir dari Kampung Semban.

KUCHING: Artis kelahiran Padawan yang telah meraih beberapa anugerah di persada seni tempatan, Carrie Geres tampil dengan nafas baharu menerusi pelancaran Dayung Bidayuh (2026 Remix) yang akan dikeluarkan di YouTube dan platform penstriman muzik termasuk Spotify, Apple Music, iTunes dan Tidal pada jam 6 petang ini.

Menurut Carrie dalam satu kenyataan hari ini, lagu tersebut mengangkat martabat wanita Bidayuh secara keseluruhan walaupun sebahagian liriknya menyebut Dayung Biperoh yang merujuk kepada subkumpulan Biatah di Padawan.

“Dayung Bidayuh bercerita tentang wanita Bidayuh. Walaupun ada menyebut Dayung Biperoh, lagu ini sebenarnya mewakili wanita Bidayuh dari Padawan, Bau, Serian, Lundu, mahupun Kalimantan Barat, Indonesia,” katanya.

Tambah beliau, walaupun mesej lagu itu positif dan memperkasakan wanita, susunan muziknya mempunyai elemen ‘dark’ menerusi bunyi loceng dan muted gong yang memberikan identiti tersendiri kepada karya berkenaan.

Lagu ini mula dicipta pada 2015 selepas kejayaan single pertama Carrie, Tenggie Ku’.

Ia kemudian mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara dalam Anugerah Carta Lagu Bidayuh Wai FM (ACLB2019) di RTM Kuching pada 2019.

Ditulis, digubah dan diproduksi oleh abangnya sendiri, Lester Geres lagu itu menggunakan dialek Biperoh yang disesuaikan dengan bahasa moden serta slanga dari kampung halaman keluarga mereka di Kampung Garung dan Kampung Jambu.

Proses rakaman, adunan dan mastering pula dilakukan oleh Bernie Joel Geres di studio rumah mereka, Tsitra Music.

Sementara itu menurut Lester, pemilihan bahasa Bidayuh bertujuan mempromosikan warisan etnik tersebut sambil membuktikan masyarakat Bidayuh juga bergerak seiring arus perkembangan muzik semasa.

“Kami tahu dialek ini mungkin bukan Biatah atau Biperoh yang tulen sepenuhnya, tetapi inilah cara kami bercakap sekarang.

“Lagu ini adalah diri kami yang sebenar,” jelasnya, sambil menambah genre hip-hop/R&B dipilih bagi menarik minat generasi muda.

Pada 2018, lagu tersebut pernah diremix dengan tambahan rap dalam bahasa Bidayuh oleh Lester sendiri.

Sempena ulang tahun ke-10 penciptaannya tahun lalu, keseluruhan produksi disusun semula dengan mengekalkan vokal asal serta elemen penting seperti loceng dan instrumen latar, namun menampilkan struktur drum dan bassline lebih bertenaga.

Untuk versi 2026, Carrie turut menambah rangkap rap baharu dalam bahasa Inggeris.

“Saya mahu tunjukkan bahawa saya bukan sahaja boleh menyanyi, tetapi juga boleh rap. Ramai yang tidak tahu sisi itu,” katanya.

Selain versi audio, Dayung Bidayuh (2026 Remix) turut hadir dengan video muzik rasmi yang diarahkan oleh Director GX.

Video berkenaan boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Carrie.

Menariknya, sebahagian adegan tepi sungai berhampiran Kampung Annah Rais dirakam seawal 2018.

Menurut Carrie lagi, pokok besar yang menjadi latar adegan tersebut telah hanyut dalam banjir besar beberapa tahun lalu menjadikan rakaman itu sangat bermakna buat dirinya.

“Video ini menampilkan gabungan fesyen tradisional, kontemporari, couture dan streetwear dengan rekaan MG Couture dan HafizDressmaker yang mengangkat elemen etnik Bidayuh serta kumpulan Dayak lain dari Sarawak dan Kalimantan," ujarnya lagi

Turut mencuri perhatian adalah kemunculan Dashin Ngalong, salah seorang Bidayuh Ring Lady terakhir dari Kampung Semban, selain cameo artis tempatan seperti Swaiv (Pearl & Rendall), Jasmine John dan Michael Gayut MG.

Penggambaran video muzik ini berlangsung dalam tiga fasa sepanjang sembilan tahun iaitu pada 2018 di sungai berhampiran Annah Rais, 2023 di kediaman Carrie di Kuching, dan awal 2026 di Semadang serta Kampung Garung, dengan lokasi turut ditaja oleh Que River Retreat Kampung Bunuk.

Dengan gabungan lokasi eksotik, busana unik, elemen tarian dan muzik moden yang sarat identiti etnik, Dayung Bidayuh (2026 Remix) dijangka terus mengangkat martabat muzik Bidayuh ke pentas lebih luas.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-2-2026 07:48 PM GMT+8 , Processed in 1.319137 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list