CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 31521|Reply: 0

[Sarawak] Pertembungan KL-Kuching berhubung isu kuasa, tadbir urus bukan luar biasa

[Copy link]
Post time 21-2-2026 05:37 AM | Show all posts |Read mode


MIRI: Pertembungan antara Kuala Lumpur dan Kuching berhubung isu kuasa serta tadbir urus bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan ciri semula jadi dalam sistem Persekutuan Malaysia yang bersifat unik dan tidak simetri, kata Datuk Prof Dr Jayum Jawan (gambar).

Beliau berkata, struktur Persekutuan Malaysia berbeza secara perlembagaan kerana Sabah dan Sarawak diberikan perlindungan serta kuasa khas yang tidak dinikmati negeri-negeri lain.

Jayum mengulas pertanyaan The Borneo Post berhubung hala tuju hubungan Persekutuan-Sarawak dan perkembangan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), susulan ketegangan terkini berhubung tadbir urus minyak dan gas, dalam suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka diadakan tahun ini.

Menurut beliau, geseran antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak tidak wajar dianggap luar biasa, sebaliknya mencerminkan realiti sistem Persekutuan Malaysia yang memberikan kuasa tambahan kepada Sabah dan Sarawak.

“Persekutuan Malaysia adalah unik kerana kerajaan wilayah seperti Sabah dan Sarawak diberikan kuasa khas dan tambahan berbanding wilayah lain dalam Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jayum merujuk kepada Perlindungan Tambahan di bawah Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan sebagai antara peruntukan khas tersebut, termasuk kuasa Sabah dan Sarawak untuk menolak kemasukan individu ke wilayah masing-masing termasuk rakyat dari Semenanjung Malaysia tanpa perlu memberikan alasan.

Katanya, ketidaksimetrian itu mencerminkan perlindungan yang dirunding dan dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan berhubung rangka kerja perundangan dan kawal selia yang mentadbir operasinya di Sarawak, susulan pertikaian bidang kuasa di negeri ini.

Kerajaan Sarawak menegaskan ia mempunyai kuasa di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, manakala rundingan antara PETRONAS dan syarikat tenaga milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) berhubung hak pengagihan gas dilaporkan masih menemui jalan buntu sejak 2024 berikutan tuntutan kawal selia yang bertindih.

Mengulas isu minyak dan gas secara lebih menyeluruh, Jayum berkata Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 memperuntukkan hak perlombongan petroleum kepada Kerajaan Persekutuan menerusi undang-undang yang diluluskan dengan persetujuan kepimpinan Sarawak ketika itu.

“Perbahasan tentang mengapa keputusan itu dibuat pada waktu tersebut kini lebih bersifat akademik,” katanya, sambil menegaskan situasi semasa perlu difahami dalam kerangka perlembagaan yang masih mengiktiraf kedudukan khas Sarawak.

Menurut beliau, hasil kekayaan minyak dan gas Sarawak telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara sejak beberapa dekad lalu, termasuk projek-projek utama di Lembah Klang seperti Menara Berkembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Bagaimanapun katanya, banyak kawasan luar bandar di Sarawak masih berdepan cabaran infrastruktur termasuk akses jalan terhad serta bekalan air bersih dan elektrik yang tidak mencukupi.

Jayum turut menyifatkan adalah tidak realistik untuk mengharapkan pemimpin Persekutuan dengan mudah membalikkan susunan yang dibuat di bawah PDA 1974.

Tambahnya, mana-mana perdana menteri, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu mengambil kira implikasi pilihan raya dan pertimbangan politik di peringkat nasional.

“Pemimpin Persekutuan perlu mengimbangi perpaduan nasional dan kelangsungan politik,” katanya.

Beliau menegaskan pertikaian antara PETRONAS dan PETROS ketika ini tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan mencabar, sebaliknya sebahagian daripada proses rundingan berterusan dalam kerangka sistem Persekutuan Malaysia.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2026 01:33 PM GMT+8 , Processed in 0.041602 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list