
PADAH: Warga asing terbabit ditahan dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
TAWAU: Tindakan seorang lelaki menghantar pesanan suara berbaur ugutan dan ancaman melalui aplikasi WhatsApp membawa padah apabila dia ditahan polis, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di Hospital Tawau sebelum menerima mesej suara daripada lelaki dikenali yang menuntut sejumlah wang.
Suspek dikatakan bertindak mengugut kerana mangsa enggan memenuhi permintaannya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa tampil membuat laporan polis susulan menerima ugutan berkenaan.
“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menjalankan risikan dan berjaya menahan suspek.
“Suspek seorang lelaki warga asing berusia 42 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas selepas disyaki terbabit dalam kes ugutan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk ugutan atau jenayah pemerasan dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa jika berdepan situasi sama,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|