Bunyi misteri seakan ngauman 'dinosaur' RAKAMAN CCTV yang memperdengarkan suara misteri dari luar rumah Nur Habibah Najwa. FOTO Tangkap Layar TikTok Nur Habibah Najwa Abidin
Putrajaya: "Saya tak pernah dengar bunyi menakutkan seperti itu sepanjang lima tahun menetap di sini, jadi memang meremang bulu roma waktu kejadian."
Begitu kata Nur Habibah Najwa Abidin, 36, ketika menceritakan kisahnya yang mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi video rakaman kamera litar tutup (CCTV) yang jelas kedengaran bunyi ngauman suara misteri dari luar rumahnya dekat Presint 9, di sini.
Berkongsi kisah sebenar, Nur Habibah Najwa berkata, video itu dirakam pada Sabtu lalu jam 7.19 malam ketika dia tiada di dalam rumah.
"Saya baru sampai di lobi dan duduk bersama tiga anak sementara menunggu suami meletak kenderaan serta kembali untuk kami naik ke rumah bersama.
"Ketika tunggu suami, saya terdengar bunyi misteri itu selepas kilat berdentum hingga tergamam juga. Ingatkan saya seorang saja yang dengar tapi anak pun sama.
"Selepas suami datang, saya tanya untuk dapatkan kepastian dan dia ada dengar dan ingatkan bunyi motosikal.
"Jadi selepas naik ke rumah, suami periksa rakaman CCTV dan dengar jelas suara ngauman itu… suami bukan jenis yang melayan tapi dia mengakui berdebar juga waktu mendengarnya," katanya kepada Harian Metro.
NUR Habibah Najwa bersama suami dan tiga anaknya. FOTO Ihsan Nur Habibah Najwa AbidinNur Habibah Najwa berkata, dia ada bertanya dengan jiran dan menunjukkan rakaman video berkenaan kepada mereka.
"Bila tunjuk (video), mereka pun tergamam dan ada yang dengar cuma tak pasti bunyi apakah itu kerana kedengaran sekali lalu saja. "Waktu di lobi memang lebih jelas kedengaran bunyi itu berbanding dalam CCTV dan suaranya besar.
"Ibaratnya macam bunyi dinosaur dan harimau tapi lagi kuat tapi amat menakutkan," katanya.
Berhubung perkongsian di TikTok, Nur Habibah Najwa berkata, niatnya berkongsi video itu sekadar mencari jawapan dan kepastian mengenai suara misteri yang didengarnya.
Ada bermacam komen… ada yang kata dengar bunyi sama pada hari kejadian tapi tinggal di Kajang. Ada juga mengatakan bunyi itu datangnya daripada siren atau penggera bangunan tapi tak pernah pula saya dengar bunyi sebegitu.
"Tapi dalam ribuan komen, salah satunya berkongsi pautan satu video di YouTube yang mengaitkan dengan elemen Sains. "Mungkin ada benarnya cuma tak ada jawapan yang sahih sehingga kini," katanya yang mencari rezeki sebagai pembuat kek siap dengan dekorasi.
|