KPDN Pulau Pinang tumpaskan kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi
Oleh Nur Izzati Mohamad - Februari 6, 2026 @ 2:22pm

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan (tengah) menunjukkan rampasan lebih enam tan minyak masak bersubsidi yang gagal diseleweng dalam serbuan di sebuah stor haram di Tasek Gelugor, malam tadi. - Foto ihsan KPDN Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas lebih enam tan minyak masak bersubsidi yang ingin diseleweng menerusi Op Tiris 3.0 dalam serbuan di sebuah stor di Tasek Gelugor, dekat sini, malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, dua lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai pekerja premis berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan, berkata operasi itu dijalankan melalui hasil risikan yang dijalankan sejak sebulan lalu selepas memperoleh maklumat berhubung kegiatan penyelewengan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi berlaku di stor terbabit.
"Modus operandi yang digunakan adalah aktiviti pemotongan minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram (kg) dan memindahkannya ke dalam tong.
"Tindakan ini dipercayai bertujuan mengubah bentuk asal barang kawalan terbabit bagi tujuan penjualan semula secara tidak sah atau penyimpanan tanpa kebenaran," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan susulan mendapati pemilik stor gagal mengemukakan dokumen berkaitan lesen atau permit untuk memiliki dan menguruskan barang kawalan berjadual seperti diwajibkan di bawah undang-undang.
"Pemeriksaan lanjut menemui anggaran sejumlah 5,092 kilogram minyak masak peket satu kilogram serta 1,500kg cecair disyaki minyak masak yang disimpan di dalam botol jerry can berwarna kuning," katanya.
Siasatan mendapati sindiket itu menyeleweng hingga enam tan minyak masak bersubsidi setiap minggu atau 24 tan sebulan dengan keuntungan antara RM50 hingga RM70 bagi setiap tong yang dijual kepada restoran.
Beliau berkata beberapa serbuan sebelum ini termasuk yang dilakukan hari ini, didapati mempunyai kaitan dengan dalang utama dipercayai individu yang sama dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Dua lelaki yang ditahan mendakwa menerima upah RM4,000 sebulan, manakala siasatan lanjut mendapati ketua sindiket turut memiliki rangkaian restoran di wilayah utara dan membekalkan minyak masak berkenaan kepada premis berkenaan.
Jegan berkata pemeriksaan lanjut mendapati stor itu tidak memiliki sebarang lesen atau permit sah untuk menyimpan serta mengendalikan barang kawalan berjadual, dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/02/1506146/kpdn-pulau-pinang-tumpaskan-kegiatan-seleweng-minyak-masak-bersubsidi
|