
Sebahagian daripada warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM di Miri.
MIRI: Seramai 76 warga asing dan seorang warga tempatan ditahan dalam beberapa siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Miri dari Khamis hingga Jumaat.
Operasi bersepadu yang dilaksanakan hasil maklumat awam itu melibatkan seramai 30 pegawai dan anggota, bermula 5 Februari hingga jam 6 pagi 6 Februari, dengan menyasarkan beberapa lokasi di sekitar bandar raya Miri yang disyaki menjadi tempat tumpuan warga asing tanpa dokumen.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 17 premis diperiksa merangkumi tapak pembinaan, premis makanan, bilik sewaan serta kediaman persendirian.
Menurut kenyataan JIM yang dimuat naik di laman Facebook rasmi jabatan itu pada Jumaat, seramai 185 individu telah diperiksa dan hasilnya 76 warga asing ditahan.
“Daripada jumlah itu, 66 adalah warga Indonesia dan 10 warga Filipina yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan yang sama memaklumkan, seorang warga Malaysia yang dipercayai bertindak sebagai majikan kepada sebahagian warga asing terbabit turut ditahan dalam operasi tersebut.
Jelasnya, pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.
“Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JIM untuk membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta majikan yang melanggar peraturan,” tambahnya.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut prosedur perundangan sedia ada.
Dalam pada itu, JIM menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.
|