Edited by Vellfire at 7-2-2026 10:22 PM

DERMA DARAH: Program derma darah akan berlangsung pada 8 Mac 2026 (Ahad) dari jam 8 pagi sehingga 2 petang di Lobi Pintu Masuk Utama, Sejati Walk Batu 7, di sini.
SANDAKAN: K2 Life Water Sdn Bhd dengan kerjasama YMM Cawangan Sandakan menganjurkan Kempen Derma Darah Amal bertemakan 'Satu Titik Darah, Satu Nyawa Diselamatkan' bagi membantu menampung kekurangan bekalan darah hospital sepanjang bulan Ramadan.
Program kebajikan komuniti itu berlangsung pada 8 Mac 2026 (Ahad) dari jam 8 pagi sehingga 2 petang di Lobi Pintu Masuk Utama, Sejati Walk Batu 7, di sini.
Jurucakap pihak penganjur memaklumkan jumlah penderma lazimnya menurun sepanjang Ramadan berikutan perubahan rutin harian masyarakat termasuk berpuasa dan komitmen ibadah, sekali gus memberi kesan kepada paras simpanan darah di hospital.
“Situasi ini menyebabkan stok darah bagi kegunaan kecemasan, pembedahan serta rawatan pesakit kronik berada pada tahap rendah dan memerlukan sokongan segera orang ramai.
“Sehubungan itu, kempen berkenaan menyasarkan penyertaan lebih ramai penderma, khususnya masyarakat bukan Muslim, bagi memastikan bekalan darah kekal stabil sepanjang tempoh berpuasa,” katanya.
Menurutnya, setiap beg darah mampu membantu sehingga tiga pesakit, menjadikan setiap sumbangan amat bermakna dalam usaha menyelamatkan nyawa.
“Menerusi tema ‘Satu Titik Darah, Satu Nyawa Diselamatkan’, kami berharap lebih ramai tampil menderma kerana satu sumbangan kecil boleh memberi harapan besar kepada pesakit.
“Bagi memudahkan penyertaan, pihak penganjur menyediakan kemudahan pendaftaran awal secara dalam talian supaya proses pendermaan berjalan lebih lancar dan teratur pada hari program.
“Individu yang membuat pendaftaran awal dan berjaya menderma darah turut menerima cenderamata edisi terhad sebagai tanda penghargaan, selagi stok masih ada,” katanya.
Tambahnya, kempen itu juga menggalakkan kehadiran secara berkumpulan bersama keluarga dan rakan bagi memupuk semangat kesukarelawanan serta budaya membantu komuniti setempat.
Dalam masa sama, K2 Life Water dan YMM Cawangan Sandakan berharap usaha berkenaan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pendermaan darah secara berkala, bukan hanya ketika krisis bekalan berlaku.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian 016-8338958.
Penganjur menegaskan sokongan komuniti amat penting bagi memastikan tiada pesakit tercicir daripada menerima rawatan akibat kekurangan darah, sekali gus menjadikan kempen berkenaan platform terbaik untuk menzahirkan keprihatinan dan solidariti sesama masyarakat.
|