
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sedang melaksanakan penerbitan semula buku-buku terbitan Biro Kesusasteraan Borneo.
Usaha ini bagi memastikan kelangsungan pemeliharaan, pendokumentasian dan pelestarian bahan khazanah sastera rakyat Sarawak.
Sebagai permulaan, sebanyak lima buah buku cerita rakyat dalam bahasa Iban sedang diterjemahkan ke bahasa Melayu iaitu buku berjudul buku Dilah Tanah ditulis oleh Andria Ejau, buku Keling Nyumpit ditulis oleh George Jenang, buku Pong- Kapong ditulis oleh Kadir Umbat, buku Adi Pau ditulis oleh Dunstan Entingi dan buku Jengkuan-Taju Ramaung ditulis oleh Joseph Achek.
“Sehubungan itu, DBP Cawangan Sarawak berusaha untuk mengesan waris kepada penulis buku-buku tersebut bagi melancarkan proses penerbitan semula buku-buku terbitan Biro Kesusasteraan Borneo,” menurut kenyataan DBP.
Usaha mengesan waris bukan sekadar urusan perundangan, tetapi satu tanggungjawab moral untuk memelihara amanah intelektual para penulis terdahulu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penulis buku tersebut atau yang mengenali waris kepada penulis buku, sila hubungi pihak DBP melalui talian 082-227000 atau e-mel [email protected] atau [email protected].

Sumber : Utusan Borneo
|