Alor Setar: Cuaca panas yang ekstrem menyebabkan haiwan berbisa terutama ular keluar dari habitat asal untuk mencari lokasi yang lebih sejuk dan lembab.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, dalam tempoh Januari hingga semalam, jumlah kes diterima membabitkan ular adalah sebanyak 793 kes atau bersamaan 22 kes sehari.
Beliau berkata, jumlah aduan paling banyak diterima adalah di daerah Kota Setar membabitkan 140 kes, diikuti Kuala Muda (139 kes) manakala Kulim sebanyak 94 kes.
"Untuk tahun lalu, bulan tertinggi kes tangkapan ular adalah pada Julai iaitu sebanyak 1,030 kes manakala pada Ogos pula sebanyak 1,029 kes.
"Antara spesies ular yang kerap dikendalikan petugas APM adalah jenis tedung selar, sawa batik dan tedung senduk," katanya ketika ditemui di Kompleks APM Kota Setar.
Mohd Bukhori berkata, cabaran yang sering dihadapi anggota APM apabila ular sering bersembunyi di tempat sempit seperti rak rumah, siling atau di bawah kenderaan.
"Ini menjadikannya tugas sukar untuk menangkapnya lebih berisiko," katanya.
Beliau berkata, anggotanya perlu menggunakan kemahiran serta pantas berfikir cara yang paling selamat untuk menangkap reptilia itu terutama ketika cuaca panas.
"Risiko keselamatan adalah ketika berhadapan dengan ular bersaiz besar seperti ular sawa dan tedung selar serta ular tedung senduk kerana mereka bersikap agresif.
"Anggota APM memerlukan kemahiran khusus serta keberanian yang tinggi serta yakin dengan apa yang dilakukan.
Mohd Bukhori berkata, pihaknya menerima banyak panggilan kecemasan menangkap ular pada waktu malam yang menghadkan penglihatan dan meningkatkan risiko keselamatan anggota.
"Kehadiran ular pada cuaca panas ini dijangkakan lebih banyak kerana mereka keluar untuk mencari perlindungan di tempat sejuk.
"Ular tedung selar yang baru ditangkap pada 20 Januari lalu bersaiz besar seberat 10 kilogram (kg) ditangkap dalam rumah penduduk di Kampung Bukit Teriak, Telaga Mas di Langgar manakala ular sawa batik seberat 30kg pula ditangkap di Kampung Batin, Mergong," katanya.