Alor Setar: Kes membabitkan kebakaran terbuka meningkat dua kali ganda di negeri ini susulan fenomena cuaca panas atau kemarau panjang yang menyebabkan api lebih cepat merebak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, peningkatan itu ketara iaitu sebanyak 776 kes kebakaran terbuka membabitkan api lalang, sampah tidak dikawal, hutan dan belukar hanya pada bulan Januari lalu.
Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 118 kes saja dalam tempoh sama bulan lalu.
Katanya, ini menunjukkan isu cuaca panas dan kering membabitkan pembakaran terbuka berisiko lebih tinggi pada awal tahun.
"Keadaan ini memberi cabaran kepada anggota bomba di setiap balai di negeri ini apabila kami menerima banyak kes membabitkan kebakaran terbuka kesan cuaca panas.
"Banyak kita terima panggilan daripada orang awam yang mengatakan keadaan di negeri Kedah ini kurang terkawal disebabkan penambahan indeks pencemaran udara (IPU) yang meningkat disebabkan kebakaran yang berlaku terutamanya di Kulim baru-baru ini membabitkan kebakaran pelupusan sisa pepejal di Kampung Padang Cina dan kawasan bukit di Seri Ternas daerah Sik.
"Begitu juga kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Besah, Mukim Tawar yang berjaya dipadamkan selepas berhari-hari operasi dilakukan.
"Bomba mengambil masa sembilan hari memadamkan kebakaran di Kulim.
Biasanya ia berlaku disebabkan cuaca panas.
Sampah di tapak pelupusan itu akan menghasilkan gas yang akan menyebabkan kebakaran berlaku," katanya.
Azhar berkata, ketika berlaku musim kemarau ini, pihaknya melebihkan persediaan peralatan untuk kebakaran api hutan, belukar dan sebagainya.
Katanya, pihak bomba juga berharap kerjasama orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.
"Kalau boleh jangan buang puntung rokok yang masih menyala di merata tempat terutama di kawasan rumput kering kerana ia adalah antara faktor yang boleh menyebabkan kebakaran lebih besar.
"Untuk mereka yang melakukan aktiviti perkhemahan dan sebagainya di kawasan gunung, jangan tinggal bara api atau benda nyalaan...
Kadang-kadang kita rasa tak ada apa-apa, tapi kalau didorong dengan angin kuat, memang boleh berlaku kebakaran," katanya.
Azhar berkata, sekiranya keadaan cuaca panas terus berpanjangan, berkemungkinan kes kebakaran terbuka akan terus meningkat.
Katanya, dari segi cabaran anggotanya, mereka terdedah dengan asap tebal dan memerlukan tenaga yang banyak," katanya.