
Operasi yang dijalankan ke atas sebuah ladang sawit di Sri Aman. - Gambar Facebook JIM Sarawak
SRI AMAN: Cubaan menghalang tindakan penguatkuasaan serta cabaran medan operasi tidak mematahkan semangat pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak apabila seramai 38 pendatang asing berjaya ditahan dalam ‘Operasi Sapu’ di kawasan ladang sawit Lingga di sini, pada Khamis.
Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching itu adalah hasil risikan dan pemantauan rapi bagi membanteras keberadaan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen negara.
Menurut kenyataan di Facebook JIM Sarawak, pasukan operasi berdepan cabaran getir untuk sampai ke lokasi sasaran berikutan kedudukan rumah pekerja yang terletak di tengah ladang sawit, selain bentuk muka bumi yang sukar dilalui serta laluan sempit.
“Keadaan ini memerlukan tahap ketahanan fizikal dan komitmen tinggi dalam kalangan pegawai yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, cubaan menghalang tindakan penguatkuasaan turut dikesan apabila laluan masuk ke lokasi operasi sengaja dihalang menggunakan bongkah kayu serta jentera berat yang merentangi jalan.
“Namun begitu, segala halangan tersebut tidak menjejaskan pelaksanaan operasi dan pasukan tetap meneruskan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang negara terus ditegakkan,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati seramai 57 individu telah diperiksa, dengan 38 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut dan tindakan undang-undang.
JIM Sarawak menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi mengekang pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan kedaulatan undang-undang di negeri ini terus terpelihara.
Sumber : Utusan Borneo
|