Malaysia terkulai di tangan Jepun
Oleh Helmi Talkah - Februari 6, 2026 @ 9:04pm

Beregu negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tumpas di tangan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 14-21, 12-21 pada suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Qingdao, China. – Foto Badminton Asia
KUALA LUMPUR: Skuad lelaki negara gagal sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian naib juara dua tahun lalu apabila tersingkir pada suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) selepas tewas 0-3 kepada Jepun di Qingdao, China hari ini.
Malaysia terlebih dahulu ketinggalan apabila perseorangan utama negara, Justin Hoh yang menghuni ranking ke-39 dunia, tewas kepada pemain ke-19 dunia, Yushi Tanaka dalam pertarungan sengit tiga set 17-21, 22-20, 11-21.
Kekalahan itu menyaksikan Justin tunduk buat kali ketiga berturut-turut kepada pemain Jepun berkenaan.
Harapan Malaysia untuk bangkit menerusi beregu lelaki, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tidak kesampaian selepas mereka tewas kepada pasangan nombor sembilan dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 14-21, 12-21.
Jepun kemudian mengesahkan kemaraan ke separuh akhir menerusi perseorangan kedua, Koki Watanabe yang menewaskan pemain negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin 20-22, 21-11, 21-3.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian mara ke final edisi 2024 di Shah Alam sebelum tewas 0-3 kepada China.
Keputusan berkenaan turut menyaksikan skuad negara gagal layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas di Horsens, Denmark pada April depan.
Hanya empat pasukan terbaik BATC layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas.
Bagaimanapun, peluang skuad negara untuk beraksi di Piala Thomas masih belum tertutup menerusi kedudukan sebagai antara tiga pasukan terbaik dalam kalangan negara yang tidak layak melalui kejohanan benua.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/02/1506335/malaysia-terkulai-di-tangan-jepun
|