
WINSTON
KOTA KINABALU: Kenaikan tarif elektrik kira-kira 15 peratus berkuat kuasa 1 Februari menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah kerana bakal meningkatkan kos operasi perniagaan secara menyeluruh.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA), Datuk Seri Winston Liaw berkata, keputusan kerajaan negeri itu memberi kesan besar serta berpanjangan terhadap sektor pelancongan yang bergantung tinggi kepada bekalan elektrik, khususnya hotel dan penginapan jangka pendek.
“Ketika kos sara hidup meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kenaikan tarif baharu menambah tekanan kepada pengusaha perniagaan yang masih berusaha memulihkan operasi.
“Elektrik menjadi komponen utama dalam perbelanjaan hotel. Bil yang lebih tinggi memaksa pengusaha menaikkan kadar bilik dan harga perkhidmatan, sekali gus memberi kesan kepada pelancong,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Menurutnya, impak sama turut dirasai restoran, kafe dan kedai kopi yang berdepan peningkatan kos overhed harian.
“Kebanyakan premis makanan terpaksa menyemak semula harga jualan bagi menampung kenaikan bil utiliti.
“Apabila harga makanan dan perkhidmatan naik, pengguna menanggung beban, akhirnya keseluruhan rantaian ekonomi terjejas,” katanya.
Tambahnya, kilang serta pengusaha sektor pembuatan juga bergantung sepenuhnya kepada bekalan elektrik, sekali gus menyebabkan kenaikan tarif memberi tekanan kepada ekosistem perniagaan secara menyeluruh.
“Dalam masa sama, masalah gangguan bekalan elektrik yang berlarutan di Sabah memburukkan lagi keadaan.
“Bekalan tidak stabil menyebabkan kerugian operasi, gangguan waktu perniagaan, kualiti makanan terjejas serta jualan merosot walaupun kos tetap terus ditanggung.
“Ramai pengusaha PKS bergelut untuk terus bertahan dalam situasi mencabar ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan pengumuman kenaikan tarif pada waktu ini seperti menambah beban kepada pemain industri yang sedia tertekan.
Menurutnya, langkah berkenaan boleh menjejaskan pemulihan ekonomi negeri serta keyakinan pelabur.
“SATTA menggesa kerajaan negeri menilai semula keputusan itu dan memberi keutamaan kepada usaha menurunkan kos sara hidup rakyat di samping menstabilkan bekalan elektrik.
“Saya berharap kerajaan mengadakan libat urus bersama pihak industri supaya perniagaan di semua sektor mendapat ruang bernafas bagi meneruskan operasi.
“Sokongan dasar yang lebih mesra perniagaan penting bagi memastikan sektor pelancongan dan PKS terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|