|
Kerajaan percepat pembangunan bakat industri melalui kerjasama strategik dengan universiti bertaraf dunia

Harden (tengah) yang mewakili Sagah, menerima cenderamata daripada Shariman (dua kiri) sebagai tanda penghargaan. Turut kelihatan Kuball (dua kanan) serta yang lain.
“Sarawak telah mengambil pendirian yang jelas untuk membangunkan ekosistem semikonduktor yang kukuh dan mampan, selaras dengan aspirasi negeri untuk menjadi pemain bernilai tinggi dalam rantaian nilai industri teknologi global.”
Dato Sri Roland Sagah Wee Inn Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat
KUCHING: Sarawak kini berada di landasan yang jelas untuk muncul sebagai hab semikonduktor bernilai tinggi di rantau ini apabila kerajaan negeri mempercepat pembangunan bakat industri melalui kerjasama strategik dengan universiti bertaraf dunia, termasuk Universiti Bristol di United Kingdom.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pembangunan ekosistem semikonduktor negeri tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur dan pelaburan, sebaliknya meletakkan pembangunan bakat sebagai teras utama bagi memastikan kelestarian industri berkenaan.
“Sarawak telah mengambil pendirian yang jelas untuk membangunkan ekosistem semikonduktor yang kukuh dan mampan, selaras dengan aspirasi negeri untuk menjadi pemain bernilai tinggi dalam rantaian nilai industri teknologi global.
“Kehadiran Universiti Bristol amat signifikan kerana ia membolehkan Sarawak berinteraksi secara langsung dengan universiti bertaraf global yang mempunyai kepakaran dalam penyelidikan semikonduktor termaju serta rekod cemerlang dalam menterjemahkan kecemerlangan akademik kepada impak industri,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menterinya Datuk Francis Harden Hollis.
Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus SMD Semiconductor bersama Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Teknikal dan Agensi Kerajaan dengan kerjasama Universiti Bristol yang turut dihadiri Pengarah Akademik Universiti Bristol Profesor Martin Kuball dan Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil di sini, hari ini.
Sagah berkata, Peta Hala Tuju Semikonduktor Sarawak meletakkan bakat sebagai komponen paling kritikal, memandangkan industri berteknologi tinggi itu tidak dapat berkembang tanpa tenaga kerja mahir walaupun minat pelabur dan kemudahan infrastruktur semakin meningkat.
Sehubungan itu jelasnya, melalui MEITD, kerajaan negeri mengguna pakai pendekatan pembangunan bakat yang tersusun dan diterajui industri, dengan sasaran melahirkan generasi baharu profesional semikonduktor menjelang tahun 2030 bagi memenuhi keperluan tempatan dan global.
Beliau berkata, antara inisiatif utama ialah Program Penguasaan Semikonduktor CENTEXS–SMD yang menyediakan latihan khusus dan intensif, khususnya dalam bidang bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC), bagi melahirkan bakat yang benar-benar bersedia untuk industri.
“Pembangunan bakat tidak boleh bergantung kepada teori semata-mata, sebaliknya perlu berpaksikan latihan praktikal dan amalan industri sebenar,” katanya.
Selain itu beliau memaklumkan kerajaan negeri turut menyediakan skim biasiswa yang disasarkan melalui Yayasan Sarawak, dengan keutamaan diberikan kepada bidang teknologi strategik termasuk semikonduktor, bagi memastikan pelajar cemerlang dapat melanjutkan pengajian selari dengan keperluan industri.
Katanya usaha memperkukuh mobiliti bakat dan pendedahan industri turut dilaksanakan melalui program latihan industri, penempatan industri dan latihan gunaan bagi membantu pelajar serta profesional muda beralih ke peranan bernilai tinggi dalam sektor berkenaan.
“Sarawak juga sedang meneroka peluang dalam sektor teknologi tinggi lain termasuk aeroangkasa, sebagai sebahagian strategi lebih luas untuk mempelbagaikan dan memperkukuh ekosistem teknologi termaju negeri,” tegasnya.
Sagah turut merakamkan penghargaan kepada SMD Semiconductor atas inisiatif menganjurkan sesi libat urus berkenaan, yang disifatkan sebagai contoh kepimpinan industri yang bekerjasama rapat dengan pihak akademia dan kerajaan.
“Apabila industri, akademia dan kerajaan bergerak seiring, dasar menjadi lebih berkesan, pendidikan lebih relevan dan graduan lebih mudah mendapat pekerjaan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|