Jawatankuasa Pengurusan Isu Buli di Sarawak fokus isu buli di sekolah kerajaan, swasta, IPT, tempat kerja

Fatimah bersama agensi terlibat semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Isu Buli di Sarawak (JPIBS) Bil. 1 2026 di Bangunan Baitulmakmur II hari ini.
“Dalam mesyuarat ini, kita bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa bagi menguruskan isu buli di Sarawak dan menetapkan skop tugasnya dengan jelas iaitu menangani buli di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja dan sekolah swasta. Ini ruang lingkupnya.”
Dato Sri Fatimah Abdullah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti
KUCHING: Satu jawatankuasa khas bagi pengurusan isu buli di Sarawak akan ditubuhkan untuk menangani masalah tersebut di setiap institusi, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau berkata jawatankuasa itu, yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pengurusan Isu Buli di Sarawak (JPIBS) akan memberi fokus kepada isu buli di sekolah kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi (IPT) serta tempat kerja.
“Dalam mesyuarat ini, kita bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa bagi menguruskan isu buli di Sarawak dan menetapkan skop tugasnya dengan jelas iaitu menangani buli di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja dan sekolah swasta. Ini ruang lingkupnya.
“Namun, laporan mendapati isu buli dalam kalangan pelajar sekolah memerlukan tumpuan lebih tinggi, sekali gus menjadi fokus utama kita.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kes buli di tempat kerja atau tempat lain diabaikan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPIBS Bil.1 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata sekolah kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas untuk menangani kes buli, mewujudkan jurang di sekolah swasta kerana SOP mungkin tidak diseragamkan.
“Susulan wujud jurang ini, sebuah agensi peneraju khusus akan dilantik di bawah jawatankuasa ini untuk memberi tumpuan kepada isu buli di sekolah swasta tanpa mengetepikan isu buli di tempat kerja,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan pihak sekolah untuk melaksanakan sepenuhnya SOP sedia ada, termasuk menjalankan siasatan tepat pada masanya dan membuat laporan kepada pihak polis apabila perlu, bagi memastikan pelajar berasa selamat dan yakin untuk melaporkan insiden.
“Setiap kanak-kanak perlu didengari. Suara mereka mesti diambil perhatian supaya sekolah dilihat sebagai persekitaran yang selamat,” jelasnya.
Fatimah berkata, isu buli juga telah diangkat ke peringkat negeri bagi membolehkan tindakan bersepadu antara agensi melibatkan 15 agensi, termasuk pihak polis, jabatan kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan organisasi kesihatan mental.
Sementara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan sebanyak 49 kertas siasatan dibuka berkaitan kes buli melibatkan pelajar sekolah pada tahun 2025, menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya yang hanya merekodkan 15 kertas siasatan dibuka.
Kertas siasatan melibatkan lapan seksyen berlainan iaitu Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK), Sek 506 KK, Sek 507 KK, Sek 323 KK, Sek 324 KK, Sek 325 KK, Sek 507B KK dan Sek 507C KK.
Sumber : Utusan Borneo
|