CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6503|Reply: 0

[Sarawak] Kemajuan Sarawak menjelang 2030 berkait rapat dengan kemakmuran negara jiran: Abang Johari

[Copy link]
Post time 4-2-2026 09:28 AM | Show all posts |Read mode


Abang Johari ketika menyampaikan ucaptama sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia 2026 di Jakarta, Indonesia hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Kemajuan Sarawak menjelang tahun 2030 berkait rapat dengan kemakmuran negara-negara jiran, khususnya Indonesia yang kini giat membangunkan ibu negara baharunya, Nusantara.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak sebagai rakan strategik dalam memacu pembangunan ekonomi Borneo melalui kerjasama erat dalam bidang infrastruktur, perdagangan dan tenaga.

“Pembangunan pesat Nusantara bukan sahaja menjadi mercu tanda nasional bagi Indonesia, malah bertindak sebagai pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi serantau yang memberi limpahan manfaat kepada seluruh pulau Borneo.

“Pemindahan ibu negara Indonesia merupakan satu pencapaian besar yang membuka peluang baharu kepada kerjasama ekonomi rentas sempadan, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai rakan strategik dalam kemajuan Borneo,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia (IES) 2026 bertemakan 'Idea Dari Borneo: Melabur Dalam Enjin Pertumbuhan Seterusnya' di Jakarta, Indonesia hari ini.

Abang Johari berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Borneo semakin mendapat perhatian global, khususnya berkaitan potensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

Sehubungan itu katanya, Sarawak terus memainkan peranan aktif melalui kerjasama rapat dengan Indonesia, termasuk pelaksanaan projek pembangunan hidroelektrik bersama di Kalimantan Utara.

“Kerjasama ini membuktikan keupayaan Borneo untuk memajukan agenda tenaga bersih melalui perkongsian praktikal dan berimpak tinggi merentas sempadan, sejajar dengan komitmen bersama terhadap pembangunan mampan dan tanggungjawab iklim,” tegasnya.

Beliau turut menyentuh mengenai usaha memperkukuhkan keterhubungan tenaga di rantau ini, termasuk pelancaran Projek Penyambungan Grid Tenaga Sarawak-Sabah bersama Ketua Menteri Sabah, baru-baru ini.

Abang Johari berkata, usaha itu merupakan langkah penting ke arah pembentukan Grid Tenaga Borneo (BPG) serta menyokong visi jangka panjang Grid Tenaga ASEAN (APG).

“Inisiatif ini merupakan contoh jelas bagaimana wilayah-wilayah di Borneo mampu bekerjasama demi manfaat bersama, dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk membina nilai ekonomi secara kolektif,” katanya.

Menurut beliau, tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja menjadi asas kepada bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai, malah berfungsi sebagai pemangkin strategik kepada transformasi ekonomi Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari berkata, tahap keterhubungan dan kerjasama yang semakin dipertingkatkan antara wilayah-wilayah di Borneo kini sedang mentransformasikan rantau itu menjadi platform ekonomi dan perdagangan yang lebih bersepadu, berdaya saing dan inklusif.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan dialog terbuka dengan semua pihak berkepentingan.

“Ia bagi memupuk persefahaman bersama, menangani cabaran rentas sempadan serta merangka hala tuju pembangunan yang konstruktif demi kesejahteraan serantau.

“Kita juga mengalu-alukan komuniti perniagaan dan kapten industri untuk mengiktiraf potensi pelaburan besar yang ditawarkan oleh Sarawak, khususnya dalam sektor ekonomi baharu dan tenaga bersih, di samping meneroka peluang kerjasama jangka panjang yang berasaskan manfaat bersama.

“Masa depan Borneo tidak boleh dibentuk oleh mana-mana ekonomi secara bersendirian. Ia akan ditentukan oleh sejauh mana kita mampu bekerjasama, menyelaras kekuatan serta membina nilai jangka panjang secara bersama,” katanya.

Tambah beliau, Sarawak bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Indonesia dan semua rakan serantau di Borneo bagi memajukan pertumbuhan mampan, memperkukuh daya tahan ekonomi serta membina kerjasama bermakna untuk jangka panjang.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2026 08:00 PM GMT+8 , Processed in 0.911960 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list