
PETER
KUCHING: Suara ketidakpuasan hati rakyat di sini pada pelbagai platform media sosial menunjukkan tahap kekecewaan yang semakin memuncak akibat puluhan tahun pengabaian, janji yang dimungkiri dan terus terpinggir oleh kerajaan persekutuan.
Demikian kata aktivis hak Sarawak, Peter John Jaban kerana hak-hak perlembagaan yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diketepikan dan rakyat mempersoalkan sama ada suara, identiti dan masa depan mereka benar-benar dihormati dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
“Walaupun Sarawak dan Sabah kaya dengan sumber semula jadi, kepelbagaian budaya serta kekayaan warisan, keputusan-keputusan strategik yang memberi kesan besar kepada rakyat masih tertumpu di Kuala Lumpur, menyebabkan kawalan terhadap kekayaan sendiri, keutamaan pembangunan dan hala tuju masa depan berada di luar tangan rakyat di sini,” katanya.
Malah beliau menambah kata, sejak penubuhan Malaysia, dasar-dasar persekutuan dilihat lebih memihak kepada Semenanjung Malaysia mengakibatkan Sabah dan Sarawak terus ketinggalan dari segi pertumbuhan ekonomi, keterhubungan luar bandar serta pelaburan dalam sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan.
Situasi semakin buruk apabila berlakunya pertikaian undang-undang melibatkan PETRONAS, kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan berkaitan hak sumber, yang menurut beliau membuktikan bahawa hak Sabah dan Sarawak sering dicabar, bukannya dihormati.
Peter dalam kenyataannya juga mengaitkan isu tersebut dengan skandal rasuah, salah urus dana awam serta penyalahgunaan kuasa yang berprofil tinggi, yang menurutnya telah menghakis sumber negara dan menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan keyakinan rakyat, malah berpotensi mencemarkan imej khususnya Sarawak yang kini berada dalam fasa pembangunan penting dan sedang giat menarik pelaburan asing.
Pada masa yang masa, rakyat Sabah dan Sarawak juga dilaporkan semakin tidak selesa apabila terus diseret ke dalam ketegangan politik, ideologi, perkauman dan keagamaan serta ketidakstabilan yang Menurut mereka bukan dicipta oleh masyarakatnya sendiri.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, perbincangan mengenai idea ‘velvet divorce’ dan ‘referendum’ mula dibincangkan secara terbuka di media sosial, bukan lagi secara senyap atau tertutup, mencerminkan perubahan landskap wacana politik di timur negara ini.
Menurut kenyataan itu juga, ramai netizen melihat konsep ‘velvet divorce’ sebagai satu bentuk pemisahan secara aman, terhormat dan dirunding, yang menjamin perlindungan undang-undang, keadilan serta perjanjian jelas melibatkan sumber, kewangan, perdagangan dan diplomasi.
Peter menjelaskan istilah ‘Perceraian Secara Aman (Velvet Divorce)’ diambil daripada sejarah pembubaran Czechoslovakia pada 1 Januari 1993, apabila Republik Czech dan Slovakia berpisah secara rundingan tanpa konflik atau keganasan akibat perbezaan hala tuju politik dan identiti kebangsaan.
Beliau menegaskan bahawa perbincangan ini bukan didorong oleh kemarahan atau dendam, sebaliknya berteraskan tuntutan terhadap rasa hormat, keadilan, kesaksamaan dan hak penentuan nasib sendiri rakyat Malaysia Timur.
Katanya, rakyat Sabah dan Sarawak berhak kepada masa depan yang berlandaskan kesaksamaan, ketelusan dan keharmonian, di mana setiap suara dihormati dan kehendak lebih 6.9 juta rakyat di sini diambil kira.
Sumber : Utusan Borneo
|