
KUCHING: Aktivis sosial Sarawak Voon Shiak Ni (gambar) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Sarawak susulan kenyataannya mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang didakwa menafikan peruntukan berkaitan pemilikan dan kawal selia sumber minyak dan gas.
Menurut Voon, kenyataan Azalina yang menyebut bahawa MA63 tidak mengandungi sebarang peruntukan mengenai pemilikan atau kawal selia minyak dan gas serta penegasannya bahawa pengurusan industri tersebut sepenuhnya tertakluk kepada undang-undang Persekutuan, khususnya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144) dan hak eksklusif PETRONAS, telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Sarawak.
Justeru, beliau menegaskan bahawa tafsiran terhadap hak minyak dan gas Sarawak tidak boleh dibuat secara terpisah.
Sebaliknya katanya, ia perlu dibaca dan difahami secara menyeluruh bersama dokumen perundangan lain yang berkaitan, termasuk MA63, Kanun Tanah Sarawak, Ordinan Perlombongan Minyak 1958, Akta Pelantar Benua 1966 (Pindaan 1972), Perlembagaan Persekutuan serta perjanjian-perjanjian sebelum dan selepas pembentukan Malaysia.
“Kanun Tanah Sarawak secara jelas mentakrifkan tanah termasuk dasar laut (seabed) dan sumber luar pesisir.
"Akta Pelantar Benua 1966 pula mentakrifkan pelantar benua sebagai dasar laut dan sub-tanah yang bersebelahan dengan pantai, melepasi perairan wilayah sehingga kedalaman 200 meter, yang memberikan Sarawak asas perlembagaan untuk menuntut hak terhadap sumber semula jadi di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Voon menambah, isu minyak dan gas adalah perkara berkaitan tanah dan negeri, yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada dan mempunyai kedudukan istimewa bagi Sarawak dan Sabah sebelum pembentukan Malaysia.
Justeru, beliau menyifatkan kenyataan Azalina sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak selari dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Undang-Undang yang sepatutnya memahami sensitiviti serta asas perlembagaan berkaitan hak Sarawak.
“Adalah tidak wajar isu sebesar ini dipermudah dan diperkecilkan. Kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah mencetuskan kemarahan rakyat Sarawak yang berusaha mempertahankan hak perlembagaan mereka,” tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo
|