KBS minta FAM uruskan kemelut dengan teratur
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Februari 1, 2026 @ 4:32pm

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mengagihkan air kepada sebahagian penganut Hindu yang hadir menyambut Thaipusam di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Jalan Kuala Ketil di sini hari ini. - BERNAMA
SUNGAI PETANI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat menguruskan kemelut yang melanda badan induk itu dengan teratur, baik dan penuh hikmah demi memastikan masa depan bola sepak negara terus terpelihara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pendekatan yang baik dan berhemah amat penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap bola sepak negara.
"Saya berharap FAM dapat selesaikan perkara ini dengan teratur, baik dan penuh hikmah. Kita sentiasa faham keadaan yang dihadapi FAM dan sentiasa memberikan ruang kepada badan induk itu untuk menjalani semua proses dalaman sedang berlangsung," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramania Swami Devasthanam di Jalan Kuala Ketil di sini, hari ini.
Dr Mohammed Taufiq berkata, sokongan rakyat dan penyokong setia menjadi elemen penting dalam memastikan sukan bola sepak terus kekal sebagai antara sukan paling diminati di Malaysia.
Justeru beliau berharap semangat rakyat Malaysia terhadap bola sepak negara tidak luntur.
"Saya berharap kita mampu mengembalikan kepercayaan dan persepsi rakyat terhadap bola sepak serta menjadikannya kembali sebagai sukan yang paling diminati ramai," katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan khas sebelum sebarang pendirian rasmi dapat dibuat dan belum bersedia untuk memberikan komen lanjut.
"Sebelum sebarang keputusan dibuat dan sebelum saya menerima apa-apa pandangan rasmi, saya tidak boleh memberikan sebarang komen lebih daripada itu," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/02/1504203/kbs-minta-fam-uruskan-kemelut-dengan-teratur
|