CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 213|Reply: 2

Pikul vespa daki Gunung Kinabalu

[Copy link]
Post time 29-12-2025 08:34 AM | Show all posts |Read mode
Hendak menawan puncak tertinggi Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu tanpa membawa barangan pun sudah dianggap sukar, inikan pula memikul vespa ke puncak.

Bagaimanapun, itulah misi 'tidak masuk akal' sekumpulan pendaki iaitu Mohd Johaniff Mohamed Sohaimi, Abdul Halim Daud, Khairil Aslan Ab Rasid, Herwin Ahmad Syam, Mohamad Yasin Mahmud dan Mohd Alias Riduan yang dijalankan, baru-baru ini.

Kumpulan ekspedisi itu disertai lima wakil Kelab Vespa Malaysia bersama seorang ahli penjelajah negara.

Ia turut dibantu Sufyian Suno yang juga pemilik kepada Vespa Klasik 90cc merah yang kini sedang tular selepas dipikul sehingga ke puncak Kinabalu.

Menurut pencetus misi itu iaitu Mohd Johaniff, 'Ekspedisi Vespa ke Puncak Gunung Kinabalu 2025' mengambil masa dua bulan untuk direalisasikan selepas melakukan pelbagai persiapan.


"Matlamat ekspedisi ini ialah mahu mencipta rekod mendaki dengan memikul vespa ke puncak Kinabalu.

"Sebelum misi, kami teruja membayangkan model vespa paling 'lejen' iaitu vespa klasik 90cc ini yang beratnya hampir 80 kilogram berada di puncak Kinabalu.

MISI ‘tak masuk akal’ sekumpulan pendaki ambil masa dua bulan untuk dilaksanakan.
MISI ‘tak masuk akal’ sekumpulan pendaki ambil masa dua bulan untuk dilaksanakan.
"Walaupun mungkin ada yang berpendapat misi ini umpama tiada matlamat, namun ia berbeza daripada perspektif kami selaku peminat motosikal klasik.

"Ia satu rekod apabila kami dapat memikulnya hingga ke ketinggian 4,000 kaki dan kejayaan ini juga boleh menarik perhatian pemilik vespa dari serata dunia untuk mengenali Kinabalu.

"Vespa memiliki kumpulan peminat dari serata dunia dan dengan misi ini, kami percaya, ia dapat meningkatkan populariti Gunung Kinabalu selain Sabah di peringkat dunia," katanya.

Mohd Johaniff berkata, kejayaan misi itu adalah hasil sokongan semua pihak, terutama Kelab Vespa Malaysia selaku pertubuhan berdaftar yang menyokong penuh usaha berkenaan.

"Sebelum saya menyertai ekspedisi ini, saya pernah memecahkan rekod melakukan perjalanan solo mengelilingi Sumatera, Indonesia dengan menunggang vespa.

"Tetapi untuk pendakian, saya perlukan bantuan kerana saya bukan pendaki aktif dan tidak mengenali selok-belok pendakian ke Gunung Kinabalu.

"Saya mendapatkan bantuan serta kerjasama daripada Khairil Aslan selain rakan kelab di Sabah iaitu Sufiyan yang menjadi penghubung kepada tiga lagi pendaki di Sabah," katanya.

Dia juga mengakui trek gunung sangat mencabar selain hujan yang turut melanda.

Sementara itu, Khairil Aslan yang juga ahli jelajah negara berkata, ekspedisi menawan puncak Kinabalu kali ini lebih bermakna kerana ia menawarkan cabaran luar biasa.

"Saya 'tabik' dengan semangat luar biasa pasukan pendaki dari Kelab Vespa Malaysia yang sanggup bersama-sama memikul pecahan bahagian vespa untuk ke puncak.

"Strategi memecah vespa kepada enam bahagian iaitu badan, enjin, fork, tayar, tempat duduk, 'mudguard' dan kepala vespa adalah langkah terbaik dalam menjayakan misi berkenaan.

"Ia memberi cabaran luar biasa kerana kami perlu pikul enjin seberat 24 kilogram selain barangan peribadi.

"Meskipun perit, terutama dalam perjalanan menuju ke Laban Rata iaitu tempat persinggahan sebelum ke puncak, masih ramai yang menyangka kami gunakan AI untuk menunjukkan yang vespa berkenaan dapat dibawa hingga ke puncak.

"Kami dapat kongsikan perjalanan hingga ke puncak dengan orang ramai melalui rakaman video sepanjang perjalanan berkenaan," katanya.

Tambah Khairil Aslan, untuk hari pertama, mereka berjaya menamatkan perjalanan, jam 10.30 malam.

"Kami menyambung perjalanan menuju ke puncak jam 2 pagi dari Laban Rata menuju ke Sayat-Sayat dan tiba jam 5.30 pagi.

"Selepas itu, perjalanan diteruskan ke puncak sebelum kami memasang semula bahagian vespa yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

"Kami bersyukur dan gembira kerana misi ini berjaya malah banyak kumpulan pendaki lain turut teruja dengan merakam gambar ketika detik memikul vespa selain memasang semua bahagiannya," katanya.

Dia menyifatkan ekspedisi itu membuktikan bahawa kerja berpasukan dan keinginan tinggi dalam kalangan pendaki membolehkan mereka mencapai sasaran memikul vespa hingga ke puncak.
"Memang ia pendakian yang luar biasa. Kami juga berdepan cabaran lain semasa mendaki termasuk tali ikatan enjin vespa tiga kali putus sepanjang pendakian.

"Jika tidak cukup sabar dan komited, sukar untuk melakukan misi ini malah untuk kumpulan pendaki ini yang baru kali pertama bersua, ia memang kerjasama yang cukup baik," katanya.

Khairil Aslan turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan pendaki Kelab Vespa Malaysia yang menjemputnya untuk menjayakan misi di luar kotak itu.

Kumpulan berkenaan turut berterima kasih kepada Tourism Sabah, Taman Negara Kinabalu, komuniti vespa terutama Kelab Vespa Malaysia dan malim Gunung Kinabalu yang memberi sokongan sepanjang ekspedisi.





Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 29-12-2025 07:48 PM From the mobile phone | Show all posts
Kerja bodoh
Reply

Use magic Report

Post time 31-12-2025 01:56 PM | Show all posts
salute lah.

berapa jam la perjalanan naik turun diorang.
ke upah porter.

nak angkat badan+barang sendiri pon berat, ni kan pulak bawak extra. LOL

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2026 02:55 PM GMT+8 , Processed in 0.193548 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list