Alor Setar: Krisis politik yang melanda Perlis baru-baru ini dilihat sebagai ujian besar terhadap disiplin dan ketegasan PAS dalam memastikan kelangsungan perjuangan parti sebagai entiti politik masa hadapan negara.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, Perlis adalah negeri strategik dalam perancangan jangka panjang PAS untuk muncul sebagai parti teras utama Malaysia.
Justeru katanya, sebarang usaha yang boleh menggugat kestabilan pentadbiran negeri perlu ditangani secara tegas dan berprinsip.
"Tindakan disiplin terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang didakwa terbabit dalam usaha menjatuhkan Menteri Besar Perlis membuktikan PAS tidak berkompromi dalam soal kepatuhan kepada kepimpinan dan keputusan parti.
"Tindakan ini bukan sekadar ditujukan kepada tiga ADUN berkenaan, sebaliknya menjadi peringatan jelas kepada semua wakil rakyat PAS agar sentiasa kembali kepada disiplin dan kepimpinan parti dalam menangani isu besar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Haim yang juga ADUN Jitra berkata, PAS menekankan proses tarbiyah berteraskan al-Quran dan Sunnah yang panjang dalam membentuk kepimpinan, bermula dari peringkat ahli biasa hingga ke pucuk pimpinan pusat, sekali gus menolak pendekatan politik berasaskan emosi dan sentimen semata-mata.
Katanya, krisis Perlis ini diharap dapat mengukuhkan keyakinan ahli, penyokong serta rakyat yang masih berada di atas pagar kerana mereka dapat melihat sebuah parti yang tegas, berdisiplin dan berprinsip.
Beliau turut mengakui situasi itu turut dimanfaatkan pihak lawan untuk menyerang PAS.
Mengulas tindakan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang melepaskan jawatan, Haim menyifatkannya sebagai cerminan kejayaan tarbiyah PAS yang menanam kefahaman bahawa jawatan bukan lambang kemegahan sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
"Ketenangan Cikgu Shukri melepaskan jawatan tanpa kata-kata penuh kemarahan atau kekecewaan menunjukkan jiwa besar dan sifat tawaduk yang lahir daripada 'sekolah politik' PAS.
"PAS mendidik ahlinya agar tidak mengejar jawatan dan tidak mencintai kedudukan, sebaliknya takut kepada amanah serta tekun berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa," katanya.
Beliau turut menegaskan, PAS menolak sebarang penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga atau parti kerana perbuatan itu bukan sahaja merosakkan individu malah boleh menghancurkan parti dan kerajaan.
Dalam masa sama katanya, PAS menyedari tuntutan rakyat khususnya golongan muda yang mahukan pemimpin bersih, ikhlas dan berwawasan, justeru parti itu tampil mengetengahkan lebih ramai agamawan dan profesional berpendidikan dari dalam dan luar negara.
"PAS bukan sekadar mahu mentadbir Malaysia, tetapi berhasrat menjadikan negara ini tonggak kestabilan dan pertumbuhan ekonomi di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, tawaran kepimpinan berasaskan gabungan nilai agama dan profesionalisme membuktikan kesungguhan PAS untuk menawarkan yang terbaik kepada negara.
"PAS komited membina Malaysia yang lebih adil, progresif dan maju, selari dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua," katanya.