Kuala Lumpur: Skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita Malaysia mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara dalam acara e-Sukan itu, hari ini.
Skuad kebangsaan dibarisi Qurratul Ain Nurfarisha Nizam, Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, Hanis Wahidah Dashuki, Queenie Lim dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi menewaskan pasukan pilihan yang juga musuh tradisi, Filipina, di Universiti Chulalongkorn, Bangkok.
Mereka mengejutkan pasukan pilihan itu 4-3 dalam perlawanan penentuan pingat emas untuk menghadiahkan kejayaan bersejarah kepada Malaysia.
Kejayaan ini adalah emas pertama negara dalam saingan MLBB wanita sejak acara itu diperkenalkan pada Sukan Sea 2023 di Phnom Penh.
Ia juga emas pertama Malaysia dalam MLBB sejak sukan berkenaan dipertandingkan buat kali pertama pada Sukan Sea 2019 di Manila.
Pingat emas ini turut menjadi emas pertama Malaysia dalam e-Sukan sejak Sukan Sea Manila 2019, ketika Dr Yew Weng Kean muncul juara dalam acara Hearthstone.
Sebelum itu, skuad lelaki negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 0-4 kepada Filipina.