
Sanchez (kiri) mengiringi Akhannouch semasa upacara alu-aluan sebelum mesyuarat di Istana Moncloa di Madrid semalam. — Gambar AFP
MADRID: Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Maghribi di Madrid semalam bagi mengadakan rundingan dengan jiran strategik Kesatuan Eropah di Afrika Utara, khususnya mengenai isu sensitif Sahara Barat.
Bekas jajahan Sepanyol yang luas dan kaya sumber itu kebanyakannya dikawal oleh Maghribi, namun telah lama merumitkan hubungan lebih erat antara Rabat dan blok tersebut, dengan Front Polisario yang disokong Algeria menuntut kemerdekaan wilayah itu.
Sepanyol memperbaiki hubungan tegangnya dengan Maghribi pada 2022 selepas menyokong rancangan Rabat untuk memberikan Sahara Barat autonomi di bawah kedaulatan Maghribi, satu pendirian yang turut disokong oleh Amerika Syarikat dan Perancis.
Sanchez dan Perdana Menteri Maghribi, Aziz Akhannouch, dijadual membincangkan Sahara Barat sebelum menandatangani beberapa perjanjian termasuk dalam bidang pertanian dan perikanan.
Rabat turut berusaha mendapatkan hak dalam pengurusan ruang udara Sahara Barat, yang kini dikawal oleh Sepanyol dari kepulauan Canary di Atlantik.
“Apabila ada wilayah di bawah kedaulatan sesebuah negara, adalah lebih baik negara itu menguruskan semua urusan udara, darat atau maritim,” kata Menteri Perdagangan Maghribi, Ryad Mezzour, kepada akhbar El Mundo.
Isu imigresen juga dijangka menjadi topik utama. Maghribi merupakan rakan penting EU dalam menguruskan migrasi tidak teratur, berkongsi satu-satunya sempadan darat blok itu dengan Afrika di enklaf Sepanyol, Ceuta dan Melilla.
“Maghribi memainkan peranan besar dalam memerangi imigresen haram,” kata Mezzour kepada El Mundo.
“Kami melakukan segala usaha, bersama rakan kongsi kami, untuk melakukan apa yang perlu supaya ia tidak menjadi masalah.”
|