London: Liverpool bakal berdepan tuntutan bayaran besar kepada Arne Slot sekiranya mereka memecat pengurus dari Belanda itu susulan prestasi buruk ketika ini.
Juara Liga Perdana Inggeris itu hanya meraih satu kemenangan dalam tujuh aksi liga terakhir dan kini jatuh ke tangga ke-11 selepas tewas 0-3 kepada Nottingham Forest di Anfield.
Walaupun membelanjakan £450 juta (RM2.4 bilion) untuk pemain baharu, Liverpool tewas lapan daripada 11 perlawanan terakhir dan tekanan kini semakin mengasak Slot, biarpun beliau membawa kelab itu menjulang gelaran liga ke-20 awal tahun ini.
Bekas pengurus Jurgen Klopp kini menjadi pilihan utama pembuat taruhan untuk kembali menggantikan Slot jika lembaga kelab mengambil keputusan menamatkan khidmatnya.
Namun, kecuali Slot sendiri meletak jawatan, beliau berhak menerima bayaran pampasan besar. Kontraknya hanya tamat pada 2027 selepas menandatangani perjanjian tiga tahun untuk meninggalkan Feyenoord dan mengambil alih tugas Klopp pada 2024.
Slot belum menandatangani kontrak baharu dan difahamkan menerima gaji sekitar £6.6 juta (RM35.8 juta) setahun selain bonus berkaitan trofi.
Secara mudahnya, jika Liverpool memecat Slot dalam masa terdekat sebelum keputusan berubah, mereka dijangka perlu membayar lebih £10 juta (RM54 juta) kepada pengendali berusia 47 tahun itu.
Liverpool akan kembali beraksi awal pagi Khamis ini dengan menentang PSV dalam Liga Juara-Juara sebelum berkunjung ke West Ham dalam aksi liga seterusnya.
Slot kini dianggap antara pengurus paling tertekan di dunia bola sepak dan selepas kekalahan kepada Forest, beliau mengakui tanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi buruk itu.
"Kalau benda baik atau teruk berlaku, semuanya tanggungjawab saya," kata Slot selepas perlawanan.
"Kami tak mampu mencipta peluang secukupnya. Saya cuba ubah beberapa perkara, tetapi tidak menjadi. Kami tak dapat menjaringkan gol.
"Kami berada dalam tempoh yang sangat buruk. Itu sahaja. Kami juga tahu beberapa hari lagi kami bermain dalam Liga Juara-Juara."
Ditanya mengenai pendekatan untuk perlawanan mendatang, beliau berkata: "Terus angkat kepala. Bekerja keras dan cuba ubah keadaan. Setakat ini memang sukar.
"Kami ada pemain berkualiti. Tugas saya untuk dapatkan yang terbaik daripada mereka. Buat masa ini saya gagal. Sebab itu saya kata ia tanggungjawab saya."